Selamat Datang Ke Blog Kami =)

ayat bergerak

MARI MENYELUSURI KEAGUNGAN SEJARAH LAMPAU BERSAMA KAMI =)

Wednesday, April 30, 2014

UNSUR MITOS DALAM SULALATUS SALATIN



MITOS, sebagaimana yang diketahui umum, adalah suatu unsur dongeng atau kejadian luar biasa yang tidak dapat diterima logik akal tetapi diketengahkan sebagai suatu peristiwa yang benar-benar terjadi. Peristiwa yang berlaku itu sama ada yang berlegar di sekitar kehidupan manusia, haiwan, ataupun alam semesta - kelihatan pelik, janggal, dan melampaui lumrah alam. Walau bagaimanapun, penilaian terhadap ketakwajaran unsur mitos itu adalah mengikut acuan zaman moden sedangkan pemilik unsur tersebut, yakni masyarakat silam, meyakini bahawa mitos tersebut memang benar-benar berlaku.
Dalam konteks Sulalatus Salatin Sejarah Melayu, unsur mitos merupakan sebahagian daripada ciri yang signifikan, terutama pada bahagian awal teks tersebut. Kewujudan unsur mitos dalam teks tersebut berkait rapat dengan realiti kehidupan masyarakat Melayu pada zaman itu yang masih berada dalam lingkungan pengaruh Hindu dan animisme yang kuat.

CIRI-CIRI MITOS
1. Mitos dianggap sebagai kejadian atau peristiwa yang benar­benar berlaku - cerita mitos dianggap benar-benar berlaku pada zaman silam. Keyakinan tersebut, sesetengahnya, telah membentuk sistem nilai mereka dan seterusnya diwarisi dari satu generasi ke satu generasi. Mitos berbeza daripada unsur­unsur dongeng.

2. Mitos dianggap suci - kesucian ini terbit kerana mitos kaya dengan unsur-unsur kedewaan yang diyakini oleh masyarakat Melayu pada zaman silam. Kepercayaan tersebut terbentuk sebagai hasil daripada pengaruh animisme dan ajaran agama Hindu.

3. Mitos kaya dengan unsur-unsur alam ghaib - keyakinan masyarakat Melayu zaman silam terhadap kewujudan alam ghaib sangat tebal. Mereka percaya bahawa sesuatu yang ghaib itu, seperti kewujudan kuasa makhluk-makhluk halus (jin, syaitan, penunggu, puaka) dan alam kayangan atau alam dewa dewi dapat mempengaruhi kehidupan mereka. Malah, dalam konteks alam kayangan, masyarakat Melayu pada zaman itu yakin bahawa mereka dapat Baling berhubungan (bersahabat atau berseteru) antara satu sama lain.

4. Mitos kaya dengan peristiwa atau kejadian yang luar biasa, ganjil, dan aneh - masyarakat Melayu zaman silam mempercayai bahawa setiap kejadian luar biasa, ganjil, atau aneh mempunyai tujuan-tujuan atau alamat-alamat yang tertentu. Hal ini berlaku sebagai hasil daripada keakraban hubungan masyarakat Melayu dengan flora dan fauna di sekeliling mereka.

JENIS-JENIS MITOS
Mitos dalam Sulalatus Salatin Sejarah Melayu dapat dibahagikan kepada empat jenis, iaitu:
1 mitos asal usul raja;
2 mitos pembukaan negeri;
3 mitos kedatangan Islam; dan
4 mitos-mitos lain.

Mitos Asal Usul Raja
Sulalatus Salatin Sejarah Melayu, dalam upaya hendak meningkatkan martabat dan kedudukan raja-raja Melayu, khususnya raja Melaka, telah mengaitkan bahawa raja-raja tersebut berasal usul daripada keturunan Raja Iskandar Zul­Karnain, Nabi Sulaiman, clan Nusyirwan Adil. Pertalian ini bermula apabila Raja Suran (cucu Raja Sulan) telah masuk ke dasar laut dan berkahwin dengan Puteri Mahtabu'l-Bahri dari negeri Dika. Perkahwinan tersebut telah menghasilkan tiga orang putera - Nila Pahlawan, Krisyna Pandita, dan Nila Utama. Ketiga-tiga putera ini telah naik ke bumi dan mendarat di Bukit Si Guntang, Palembang. Keistimewaan dan keluarbiasaan yang dimiliki mereka telah membolehkan mereka menjadi raja - Nila Pahlawan menjadi raja di Minangkabau; Krisyna Pandita menjadi raja di Tanjung Pura; Nila Utama pula menjadi raja di Palembang dan seterusnya di Temasek dengan gelaran Seri Teri Buana. Seri Teri Buanalah yang kemudiannya mengembangkan keturunan raja-raja Melaka.

Mitos Pembukaan Negeri
Sulalatus Salatin Sejarah Melayu banyak juga mengetengahkan mitos yang berkaitan dengan pembukaan sesebuah negeri. Dalam hal memilih dan memberikan nama negeri ini, penamaan tersebut dibuat berdasar kepada keyakinan para raja terhadap sesuatu keganjilan dan kejadian luar biasa yang pada pandangan mereka akan mendatangkan keberuntungan kepada negeri tersebut. Antaranya termasuklah:

1. Pembukaan negeri Singapura yang dikaitkan dengan peristiwa kemunculan seekor binatang yang bernama “Singa”
2. Pembukaan negeri Melaka yang dikaitkan dengan peristiwa seekor pelanduk putih yang telah mengalahkan anjing;
3. Pembukaan Semundra yang dikaitkan dengan peristiwa Merah Silu bertemu dengan seekor semut besar seperti kucing.
4. Pembukaan Pasai yang dikaitkan dengan peristiwa anjing Sultan Maliku's-Salleh yang bernama si Pasai menyalak di suatu kawasan tanah tinggi.

Mitos Kedatangan Islam
Sebagaimana mitos asal usul, tujuan mitos kedatangan Islam ini diselitkan dalam Sulalatus Salatin Sejarah Melayu adalah untuk mengangkat darjat raja-raja Melayu. Ada dua peristiwa yang memerihalkan mitos kedatangan Islam ini, iaitu:
1. kedatangan Islam di Semundra yang dikaitkan dengan peristiwa Merah Silu bermimpi bertemu dengan Nabi Muhammad s. a. w. Dalam mimpi itu, Nabi Muhammad s. a. w. telah meludah ke dalam mulut Merah Silu dan sebagai hasilnya, Merah Silu dapat mengaji pada keesokan harinya manakala tubuhnya pula berbau narawastu.
2. kedatangan Islam di Melaka yang dikaitkan dengan peristiwa Raja Kecil Besar (Sultan Muhammad Syah) telah diislamkan oleh Nabi Muhammad s. a. w. melalui mimpi. Dalam mimpi itu, dikatakan bahawa Raja Kecil Besar telah diajar mengucap dua kalimah syahadat, dikhatankan, dan diberi nama Islam. Keesokannya, semua yang dimimpikan oleh baginda menjadi kenyataan dan tubuh baginda turut berbau narawastu.

Mitos-mitos Lain
Dalam teks Sulalatus Salatin Sejarah Melayu, terdapat beberapa peristiwa berunsur mitos yang ditulis untuk tujuan yang khusus. Antaranya termasuklah untuk menggambarkan kepercayaan sesuatu anggota masyarakat ataupun untuk mengkritik raja secara halus. Yang berikut adalah antara beberapa contoh mitos tersebut :

1. Peristiwa Badang menjadi gagah setelah makan muntah hantu - Badang telah beroleh kekuatan dan kegagahan yang sangat luar biasa setelah memakan muntah hantu yang mencuri hasil tangkapannya. Kegagahan Badang yang luar biasa itu telah membolehkan dia mencabut pokok-pokok kayu Yang besar dengan akarnya sekali dan hal ini menggembirakan majikannya kerana ladangnya telah dapat dibersihkan dalam masa yang singkat.
2. Peristiwa ikan todak menyerang Singapura - peristiwa ini berlaku semasa Singapura diperintah oleh Paduka Seri Maharaja. Banyak rakyat negeri itu yang mati ditikam oleh ikan todak yang mampu melompat hingga ke pantai. Untuk mengatasi serangan tersebut, Paduka Seri Maharaja telah memerintahkan rakyatnya berkubukan betis tetapi perintah itu lebih banyak menyebabkan kematian dan kecederaan kepada rakyat yang terlibat. Akhirnya, serangan ikan todak itu dapat diatasi melalui kebijaksanaan seorang budak yang menyarankan penggunaan batang pisang sebagai kubu. serangan ikan todak tersebut ada kaitannya dengan pembunuhan Tuan Jana Khatib yang "mahir akan ilmu khayal lillah lagi tamam dua belas".
3. Peristiwa Sang Rajuna Tapa menjadi batu - peristiwa ini menimpa Sang Rajuna Tapa kerana dia telah mengkhianati Raja Iskandar Syah. Pengkhianatan itu dilakukannya selepas Raja Iskandar membunuh anak perempuannya dengan cara yang sangat memalukan dirinya. Untuk membalas perbuatan Raja Iskandar Syah itu, dia telah bersekongkol dengan Majapahit yang menyebabkan Singapura jatuh ke tangan kuasa besar itu.

KEPENTINGAN MITOS
Penerapan mitos dalam teks Sulalatus Salatin Sejarah Melayu ini mempunyai matlamat dan kepentingannya yang tersendiri dan khusus, sesuai dengan zaman teks ini dihasilkan. Di pihak pemerintah, peristiwa yang berunsur mitos itu secara umumnya dapat meningkatkan darjat dan kedaulatan mereka. Di pihak hamba rakyat pula, unsur mitos tersebut dapat mendidik serta meyakinkan mereka tentang kehebatan dan kedaulatan raja serta perkara-perkara yang berkaitan dengan institusi beraja. Kepentingan mitos dalam penulisan teks Sulalatus Salatin Sejarah Melayu ini dapat dijelaskan seperti yang berikut:

1. Menunjukkan Keagungan Keturunan Raja
Iskandar Zulkarnain berbangsa Rom dan berasal dari Makaduniah.  Sebagaimana yang tercatat dalam sejarah, beliau merupakan seorang raja yang agung dan penakluk dunia yang terbilang.  Berdasarkan Sulalatus Salatin Sejarah Melayu, raja-raja Melayu dikatakan berasal daripada keturunan beliau walaupun menurut Sejarah, Iskandar Zul-Karnain (Alexander The Great) tidak pernah menakluki India. Oleh itu, mitos yang mengaitkan raja-raja Melayu bersusur galur daripada keturunan Iskandar Zul-Karnain itu mempunyai kepentingannya yang tersendiri, iaitu untuk mengangkat darjat raja-raja Melayu ke tahap yang tinggi, yakni memiliki ciri-ciri kepahlawanan, kehebatan, dan keagungan, sama seperti yang dimiliki oleh datuk nenek mereka yang bernama Iskandar Zul-Karnain itu.
Menunjukkan Sifat Luar Biasa Raja
Salah satu mitos yang terdapat dalam Sulalatus Salatin Sejarah Melayu adalah tentang pengembaraan Raja Suran ke dasar laut. Baginda dikatakan telah tiba di sebuah negeri yang bernama Dika dan seterusnya berkahwin dan hidup di negeri itu. Hal ini memang di luar mats fikir manusia dan melampaui hukum alam, namun penerapan mitos yang sedemikian ada kepentingannya. Penerapan unsur tersebut adalah untuk menggambarkan bahawa raja-raja Melayu sangat luar biasa dan berbeza daripada manusia biasa dan oleh itu, merekalah yang layak memimpin manusia lain.

2. Menyindir atau Mengkritik Raja
Mitos lain yang terdapat dalam Sulalatus Salatin Sejarah Melayu ialah serangan ikan todak terhadap Singapura. Penerapan mitos ini bertujuan untuk menyindir atau mengkritik golongan raja atau pembesar yang menzalimi rakyat. Mitos itu juga bertujuan untuk menyedarkan raja dan pemerintah bahawa setiap hamba rakyat, tidak kira sekecil mana pun mereka itu, perlu dihormati dan disayangi kerana mereka mempunyai kelebihan masing-masing. Jelas dalam hal ini, budak yang menyarankan rakyat Singapura menggunakan batang pisang sebagai kubu untuk meredakan serangan todak, mempunyai kelebihannya walaupun masih kecil.

3. Mendidik dan Menakutkan Rakyat
Sesetengah mitos dalam teks Sulalatus Salatin Sejarah Melayu ini sengaja diterapkan bagi mendidik rakyat supaya senantiasa menghormati dan mentaati raja sebagaimana yang dipersetujui dalam waad antara Demang Lebar Daun dengan Seri Teri Buana dahulu. Dalam hal ini, mitos yang memaparkan Sang Rajuna Tapa menjadi batu setelah mengkhianati Sultan Iskandar Syah menunjukkan bahawa sumpahan Seri Teri Buana yang mengatakan bahawa rakyat yang derhaka akan "dibalikkan Allah bumbungan rumahnya ke bawah kaki ke atas" menjadi kenyataan. Peristiwa itu juga dapat menimbulkan rasa gerun di hati rakyat supaya tidak mengkhianati waad tersebut.

4. Mempelbagaikan Kaedah/Teknik Penulisan
Penerapan unsur mitos dalam teks Sulalatus Salatin Sejarah Melayu juga bertujuan untuk mewujudkan variasi dalam stail penulisannya. Penerapan itu juga memperlihatkan kekreatifan pengarang dalam usaha hendak menarik hati para pembaca.

Sumber daripada : http://kmtppuintan.blogspot.com/2011/08/unsur-mitos-dalam-sulalatus-salatin.html

No comments:

Post a Comment