FALSAFAH MELAYU DALAM HIKAYAT HANG TUAH
Maka oleh Tun Tuah dielaknya sambil bertelut menyalahkan tikam Taming Sari itu; maka kena papan khambi dinding paseban itu. Maka keris Taming Sari pun lekat. Maka Tun Tuah pun segera berbangkit lalu berdiri bertitar-titar di hadapan Taming Sari. Maka dihunus kerisnya. Maka oleh Taming Sari itu ditendangnya; papan khambi itu roboh. Maka keris pun tercabut pada khambi itu maka diusirnya akan Tun Tuah, dipertubi-tubi tikam. Maka Tun Tuah pun melompat ke kanan dan ke kiri menyalahkan tikam Taming Sari itu, seperti tidak berjejak di bumi lakunya. Maka Tun Tuah pun lelah ternganga-nganga seperti anjing lelah. Maka Tun Tuah pun melompat serta ditikamkannya dada Taming Sari, serta katanya, “Ceh, mati perajurit Taming Sari olehku. Maka ditikamnya, kena dadanya terus terbayang-bayang ke belakangnya.”
Dari sudut falsafah, Hang Tuah diibaratkan sebagai nadi kekuatan yang menjadi pujaan masyarakat Melayu kerana keberanian dan budi pekerti yang ditunjukkan seperti di dalam hikayat. Sebagaimana yang terdapat dalam Hikayat Hang Tuah, penonjolan Hang Tuah sebagai seorang yang kuat, gagah serta berani merupakan satu makna falsafah yang sengaja ditonjolkan oleh penulis sebagai salah satu lambang kekuatan kepada masyarakat Melayu itu sendiri. Sebenarnya, perlambangan Hang Tuah itu sendiri merupakan satu falsafah yang telah digerakkan dengan pelbagai keistimewaan yang tersendiri dan memiliki pelbagai kelebihan.
Segala tindak tanduk Hang Tuah dalam Hikayat Hang Tuah memiliki makna yang tersendiri serta yang tersirat. Di sini dapat dilihat bahawa begitu banyak falsafah yang diselitkan oleh penulis karya Hikayat Hang Tuah. Hal ini demikian kerana, Hang Tuah digambarkan sebagai seorang yang begitu hebat semasa menghadapi sebarang pertarungan sehingga kadang-kadang penulisannya hampir bersifat hiperbola. Namun demikian, motif penulisan yang disampaikan melalui watak Hang Tuah ini hanyalah satu, iaitu berkaitan tentang seorang pejuang bangsa, kekuatan, kesetiaan.
Selain itu, melalui petikan tadi juga, kita dapat melihat bahawa pemilihan frasa dalam penulisan Hikayat Hang Tuah juga sebenarnya melambangkan keunikan falsafah yang digunakan dalam bentuk penceritaan:
Maka keris pun tercabut pada khambi itu maka diusirnya akan Tun Tuah, dipertubi-tubi tikam. Maka Tun Maka Tun Tuah pun melompat ke kanan dan ke kiri menyalahkan tikam Taming Sari itu, seperti tiada berjejak di bumi lakunya. Maka Tun Tuah pun lelah ternganga-nganga seperti anjing lelah”.
Frasa ini ditonjolkan dalam bentuk falsafah yang bermaksud bahawa bangsa Melayu tidak akan mudah untuk menyerah kalah dan mampu berjuang berhabis-habisan walaupun berada dalam kepenatan. Namun, ini hanyalah sebahagian daripada frasa yang melambangkan falsafah. Namun, apa yang ingin ditekankan ialah ketokohan Hang Tuah atau penulisan karya ini merupakan salah satu sumber kekuatan dan kemasyuran bangsa Melayu yang telah disampaikan dengan bentuk falsafah yang tersirat dan masih lagi diguna pakai sehingga ke hari ini.
Falsafah seterusnya yang terdapat dalam Hikayat Hang Tuah ialah falsafah ilmu persilatan. Seni silat seperti yang telah diketahui kebiasaannya dikaitkan dengan kepahlawanan dan keberanian seseorang pendekar. Antara tokoh hebat dalam ilmu tersebut adalah Hang Tuah Lima Bersaudara. Dalam hikayat ini terdapatnya penyataan mengenai ilmu peperangan yang berkaitan rapat ataupun sememangnya sama dengan silat walaupun perkataan silat itu sendiri tidak pernah tercatat. Berkemungkinan istilah silat itu sendiri diperkenalkan pada abad yang lebih awal seperti abad ke-17 hingga 20 Masihi. Dalam hikayat ini, penulis tidak pernah menyatakan jenis silat yang dipelajari oleh Hang Tuah. Tetapi yang disebut adalah mengenai ilmu-ilmu tertentu yang berkaitan dengan pertahanan diri dan pertempuran seperti ilmu perajurit, ilmu hulubalang dan ilmu isyarat hulubalang serta ilmu firasat.
Perguruan silat oleh Hang Tuah berlaku dalam dua peringkat. Peringkat pertama menurut Hikayat Hang Tuah ialah di Bentan, beliau telah berguru dengan Sang Aria Putera. Peringkat kedua pula ialah dengan Sang Persanta Nala di Majapahit. Perguruan silat peringkat pertama adalah setelah kejayaan beliau dan empat saudaranya menewaskan sekumpulan lanun. Hang Tuah telah mengajak empat saudaranya berguru kepada ahli pertapaan Sang Aria Putera dari Majapahit. Petikan daripada hikayat adalah seperti berikut:
Maka Hang Tuah pun berkata pada Hang Kasturi dan segala sahabatnya, “Hai saudaraku keempat. Baiklah, kelima marilah kita berguru ada seorang ia bertapa Sang Aria Putera namanya, adapun kita ini pada fikiran orang tua-tua akan menjadi hulubalang di Tanah Melayu, maka kata Hang Jebat dan Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu, baiklah”.
Ini menunjukkan bahawa mereka berlima bersetuju untuk menuntut ilmu kepahlawanan dan pertahanan diri. Pada peringkat ini Hang Tuah dan saudaranya telah diajar oleh Sang Aria Putera tentang ilmu isyarat hulubalang, ilmu firasat dan ilmu perajurit. Tidak terdapat ayat atau perkataan yang menyatakan mengenai silat. Namun begitu, berkemungkinan besar ilmu perajurit dan ilmu isyarat hulubalang itulah ilmu pertahanan diri dan peperangan atau silat, dan ilmu firasat itu adalah ilmu kebatinan. Sudah menjadi kebiasaan kepada ahli-ahli pertapaan pada zaman dahulu untuk mempunyai ilmu kebatinan dan supra-natural seperti dapat meramal perkara-perkara yang akan berlaku. Terdapat petikan di dalam Hikayat Hang Tuah yang mengesahkan mengenai perkara ini, iaitu:
“Setelah sudah maka kata Sang Aria Putra, “Apa kehendak cucu kelima telah ku ketahui. Adapun cucuku kelima ini akan diperhamba raja dan jadi pegawai besar di Tanah Melayu, tetapi banyak orang-orang besar sakit hati lagi dengki akan cucuku; maka ditunjukkan kepada Hang Tuah katanya tidak mengapa kerana cucuku orang benar, ketiga cucu akan digelar Raja”.
Di dalam dunia Melayu, seorang yang mahir dalam ilmu peperangan atau pertarungan digelar sebagai pendekar. Untuk mencapai tahap pendekar, seseorang itu haruslah menghadapi ujian yang amat payah. Sebagai contoh, Hang Tuah tidak terkecuali dalam hal ini. Hang Tuah telah menghadapi ujian pertamanya setelah tamat berguru dengan Sang Aria Putra, iaitu terpaksa menghadapi seorang yang amuk dan mengganas secara membabi buta di pasar dengan bersenjatakan keris. Menurut Hikayat Hang Tuah, beliau telah menyerang Hang Tuah dengan beberapa tikaman namun setiap tikaman itu berjaya disalahkan atau dielakkan oleh Hang Tuah dengan berkesan hasil daripada pelajarannya dengan Sang Aria Putra mengenai ilmu perajurit dan hulubalang. Hang Tuah dikatakan tidak tergopoh-gapah dalam menyerang dan akhirnya berjaya membunuh si pengamuk itu dengan sebilah kapak.
Terdapat beberapa pengajaran mengenai ilmu pertempuran dan bela diri yang dapat diambil daripada karya ini. Salah satunya ialah ketika berhadapan dengan musuh seorang pendekar Melayu itu haruslah berhati-hati dan tidak tergopoh-gapah dalam membuat serangan balas. Hal ini mempunyai kaitan rapat dengan falsafah seni bela diri Melayu, iaitu silat yang menekankan penggunaan akal fikiran dan mengutamakan pergerakan mempertahankan diri atau self defence daripada pergerakan menyerang. Ilmu hulubalang atau silat ini juga digunakan oleh Hang Tuah dan Hang Jebat untuk mematahkan lima orang pengamuk yang ingin membunuh Bendahara Paduka Raja. Selain itu, teks Hikayat Hang Tuah juga ada memaparkan beberapa lagi peristiwa pertarungan penting yang menunjukkan bahawa masyarakat Melayu pada zaman dahulu telah mempunyai satu set ilmu atau seni pertahanan dan peperangan yang sama hebatnya dengan seni peperangan bangsa-bangsa utama lain seperti China dan India.
sumber ini daripada ;
http://karyaagung234.blogspot.com/2013/05/falsafah-melayu-dalam-hikayat-hang-tuah.html
No comments:
Post a Comment