Selamat Datang Ke Blog Kami =)

ayat bergerak

MARI MENYELUSURI KEAGUNGAN SEJARAH LAMPAU BERSAMA KAMI =)

Thursday, April 24, 2014

RAJA CULAN (PERANANNYA SEBAGAI PENGARANG MISA MELAYU)



 Misa Melayu ditulis di istana oleh seorang pujangga istana yang bernama Raja Culan. Nama penuhnya ialah Raja Culan ibni Raja Abdul Hamid ibni Yang diPertuan Muda Sultan Mansur Syah Bergelar Marhum Pulau Juar, Kampung Gajah, Perak. Walaupun Misa Melayu ini mempunyai banyak versi, tetapi para pengkaji Misa Melayu bersepakat menyatakan bahawa Raja Culan merupakan pengarang asal Misa Melayu ini. Raja Culan mengarang Misa Melayu ini semasa pemerintahan Sultan Iskandar  Zulkarnain (1752-1765), iaitu sultan Perak yang ke-15. Oleh sebab itu, sebahagian besar kisah yang diceritakan dalam Misa Melayu berkaitan kisah pemerintahan baginda.
Raja Culan dinyatakan menjadi pengarang Misa Melayu ini disebabkan pada masa itu ramai mengatakan Raja Culan sebagai seorang yang bijak dalam mengarang hikayat dan bijak memilih kata yang sesuai. Seperti dalam penulisan hikayat-hikayat dahulu, pengarang akan memperbesarkan kehebatan dan kekuasaan sultan yang memerintah. Begitu juga dengan Misa Melayu, pada keseluruhannya, Raja Culan berperanan untuk memberi tumpuan kepada Sultan Iskandar Zulkarnain yang disanjung dan dipuji sebagai raja yang agak luar biasa kepahlawanannya dan kebijaksanaanya. Contohnya Sultan Iskandar menjadi perunding semula negeri Perak yang berpecah dua iaitu di hulu dan hilir. Setelah Perak bercantum, Raja Iskandar ‘amat berkuasa’.
Selain itu, peranan Raja Culan sebagai pengarang Misa Melayu adalah sebagai perakam apa yang berlaku dalam masa tersebut sama ada dari segi adat-istiadat yang dilakukan termasuk istiadat perkahwinan, upacara melenggang perut, istiadat membayar kaul dan lain-lain lagi. Kesemua ini dicatatkan dalam Misa Melayu di mana pengkaji pada hari ini dapat mengetahui apa adat-istiadat yang digunakan pada masa tersebut sehinggakan ada yang masih diamalkan oleh masyarakat pada hari ini dan pengkaji juga dapat membongkar segala peristiwa yang berlaku pada masa tersebut. Apa yang tercatat dalam Misa Melayu ini menurut pengkaji adalah berdasarkan sejarah yang benar berlaku dan tiada unsur mitos yang diselitkan dalam manuskrip ini.
Raja Culan memainkan peranan penting dalam hal ehwal adat-istiadat dan protokol kerajaan Perak. Sebagai contoh, Raja Culan pernah diminta oleh Raja Iskandar untuk merisik dan meminang Raja Budak Rasul. Raja Culan membawa sekati emas semasa meminang Raja Budak Rasul. Sebagai seorang yang mempunyai darah keturunan raja, semestinya beliau terlibat dalam sistem pentadbiran dan pemerintahan negeri Perak. Pada tahun 1750, Raja Culan dipercayai telah pun remaja . Beliau telah diangkat sebagai waris takhta kerajaan Perak dan dikurniakan gelaran Raja Kecil Besar, iaitu suatu jawatan anak raja yang bergelar yang kanan. Perlantikan ini membuktikan ketokohan Raja Culan pada abad itu.
Raja Culan telah berkhidmat dengan beberapa orang sultan Perak dipercayai sebanyak 9 orang sultan. Beliau dilantik menjadi Raja Kecil Besar pada tahun 1750 semasa pemerintahan Sultan Muzaffar Syah (1728-1752), iaitu ayahanda saudaranya. Beliau lama berkhidmat pada masa pemerintahan sepupunya Sultan Iskandar Zulkarnain (1752-1765). Apabila Raja Muda (Raja Kimas) menjadi Sultan Perak yang ke-16 (1765-1773), Raja Culan diangkat menjadi Raja Bendahara Perak. Terdapat dua versi riwayat pengakhiran hidup Raja Chulan. Maxwell menyatakan:
“penyair yang ulung ini, pada akhirnya menerima nasib yang menyedihkan, beliau mati ditikam oleh seorang suami yang menuntut bela, dan dengan kematiannya itu terjadilah huru-hara dalam negeri perak sehingga keris tiga lok iaitu senjata yang membunuh raja chulan itu, dilarang menggunakannya di seluruh negeri perak. beliau digelar marhum pulau juar.”

Walau bagaimanapun. R.O. Winstedt telah membuat pembetulan semasa penerbitan sulung Misa Melayu. Winstedt dapat menerima pembetulan daripada Raja Chulan ibni Sultan Abdullah, salah satunya ialah Raja Culan pengarang Misa Melayu itu bukanlah terbunuh, sebaliknya mangkat cara biasa semasa memegang jawatan Raja Muda. Kemungkinan baginda mangkat semasa memegang gelaran Raja Muda ini ternyata ada kebenarannya kerana ketika baginda Raja Culan begitu tua pada masa itu. Semasa Sultan Alauddin Mansur Syah, Sultan Perak ke-17 menaiki takhta pada tahun 1773, Raja Culan telah diangkat menjadi waris takhta terkanan, iaitu selaku Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak.
Namun begitu tarikh kemangkatan Raja Culan ini tidak diketahui. Berdasarkan pendapat pengkaji, Raja Culan dipercayai mangkat sebelum tahun 1786, kerana pada tahun itu Sultan Perak yang ke-18 ialah Sultan Ahmadin Syah (1786-1806). Terdapat kekeliruan sama ada Raja Culan pernah menjadi Sultan Perak ataupun sekadar Raja Muda sahaja. Masalah ini timbul disebabkan kelemahan utama yang terdapat dalam Misa Melayu adalah pertarikhan yang berbeza dengan sumber lain seperti buku History Of Perak di mana terdapat banyak perbezaan tarikh dan tempoh tahun pemerintahan Sultan Perak yang pernah ada. Contohnya Misa Melayu menyebut Sultan Alauddin Riayat Syah memerintah selama 20 tahun sedangkan History Of Perak menyatakan 8 tahun sahaja (1720-1728). Malahan ada juga Sultan Perak yang pernah memerintah tetapi tidak tercatat namanya dalam Misa Melayu ini.
Secara ringkasnya, Raja Culan telah meninggalkan sesuatu yang amat berharga untuk masyarakat Melayu khususnya masyarakat di Perak untuk kita terokai dan mengkaji apa yang ada dalam Misa Melayu ini. Peranan yang dimainkan oleh Raja Culan sebagai pengarang yang mencatatkan segala pentadbiran negeri dan adat-istiadat membolehkan Misa Melayu diangkat sebagai sumber sejarah yang boleh dikaji sebagai salah satu bahan dalam membuktikan ketokohan bangsa Melayu pada masa dahulu.

Bibliografi

Ahmad Fauzi Mohd Basri (Eds) (1992). Misa Melayu / diselenggara oleh Ahmad Fauzi Mohd                         Basri. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Raja Chulan Raja Hamid. (1962). Misa Melayu. Kuala Lumpur: Pustaka Antara.

No comments:

Post a Comment