Selamat Datang Ke Blog Kami =)

ayat bergerak

MARI MENYELUSURI KEAGUNGAN SEJARAH LAMPAU BERSAMA KAMI =)

Thursday, April 24, 2014

PEMIKIRAN ISLAM DAN PELAKSANAAN UNDANG-UNDANG DALAM HUKUM KANUN MELAKA DAN UNDANG-UNDANG LAUT MELAKA.

PEMIKIRAN ISLAM DAN PELAKSANAAN UNDANG-UNDANG DALAM HUKUM KANUN MELAKA DAN UNDANG-UNDANG LAUT MELAKA.
Oleh: MUHAMAD IZWAN BIN TARMIN @ RASIMIN
UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS

ABSTRAK
Kajian ini merupakan kajian ke atas Karya Agung Hukum Kanun Melaka Dan Undang-undang Laut Melaka bagi mengupas undang-undang yang dilaksanakan di Melaka pada masa itu sama ada seiring dengan syariat Islam atau masih banyak lagi terpengaruh dengan undang-undang adat yang disampaikan secara turun-temurun oleh orang-orang terdahulu. Kajian ini dilakukan melalui pembacaan terhadap karya agung iaitu Hukum Kanun Dan Undang-undang Laut Melaka. Melalui pembacaan yang dilakukan, pengkaji akan mengeluarkan undang-undang yang digunakan pada zaman kegemilangan Melaka itu di mana keutamaannya diberikan terhadap undang-undang yang menggunakan hukum Islam sebagai sebahagian  daripada undang-undangnya. Kajian ini juga akan melihat kepada pelaksanaan undang-undang Islam sama ada diambil terus daripada al-Quran atau menggunakan juga pendapat daripada ulama yang mempunyai ilmu yang tinggi berkaitan hal keagamaan serta mempunyai pengetahuan yang mendalam dalam hukum-hakam berkaitan agama Islam. Unsur-unsur Islam yang wujud dalam Hukum Kanun Melaka menunjukkan pengaruh Islam sangat kuat di Melaka pada ketika itu dan masyarakatnya menjalani kehidupan seharian mereka dengan berlandaskan syariat Islam





1.0              PENGENALAN
Undang-undang di Melaka dapat dirujuk melalui teks undang-undangnya selain dapat juga dilihat sebagai teks sejarah. Setakat yang diketahui, teks undang-undang di Melaka terbahagi kepada dua. Pertama adalah tentang undang-undang negeri atau undang-udang kerajaan yang dikenali sebagai Hukum Kanun Melaka atau Undang-undang Melaka. Bidang kuasa undang-undang ini merangkumi negeri Melaka pusat sendiri termasuk anak sungai dan dusun yang menjadi takluk negeri itu. Kandungannya antara lain meliputi tanggungjawab raja serta pembesar, pantang larang di kalangan anggota masyarakat, perhukuman sebab kesalahan jenayah dan awam, undang-undang keluarga, permasalahan ibadah dan muamalat yang amat jelas, dan hukum penghumaan.
Kedua ialah Undang-undang Laut Melaka. Peruntukannya adalah bersabit dengan hal-hal di laut seperti tanggungjawab pegawai-pegawai kapal, tatacara pelayaran dan perniagaan, hukuman terhadap kesalahan jenayah atau syariah Islam, dan juga bidang kuasa nakhoda kapal. Oleh sebab terlalu banyak hal-hal yang tidak selaras dengan perkara-perkara yang diperuntukkan dalam kedua-dua undang-undang tersebut, maka isu hukuman yang dijatuhkan itu selalu bercampur-aduk. Hukuman pada kesalahan syariah berzina umpamanya, dicampuradukkan dengan tatacara berjual beli menurut muamalat Islam. Oleh yang demikian, jika tidak diteliti setiap fasal dalam kedua-dua undang-undang tersebut dengan terperinci, memanglah sukar untuk dibuat pembahagian yang umum antara hukum adat dengan undang-undang Islam. Dasar hukum adat yang nampaknya digunakan adalah adat Temennggung dan hukum Islam pula jelas menampakkan unsur undang-undang Syafie
Asal-usul undang-undang yang wujud dalam kedua-dua teks tersebut masih belum dapat dipastikan. Pembentukannya mungkin berlaku di sepanjang zaman pemerintahan Iskandar Syah, Sultan Muhammad Syah dan Sultan Muzaffar Syah. Walau bagaimanapun, adalah jelas bahawa hukum-hakam Islam telah dijadikan sebahagian besar daripada Undang-undang Melaka dan Undang-undang Laut Melaka selepas pemerintahan Megat Iskandar apabila proses rasionalisasi berlaku dengan undang-undang temurun yang “…terhimpun pada segala menteri”, yang ditulis semasa pemerintahan Sultan Muzaffar Syah. Dari semasa ke semasa, Undang-undang Melaka telah ditokok tambah. Daripada Sembilan belas fasal yang asal, undang-undang ini menjadi dua puluh fasal dan berkembang lagi sehingga menjadi empat puluh empat fasal seperti yang terdapat pada hari ini. Undang-undang Laut Melaka pula terdiri daripada dua puluh lima fasal. Secara am, fasal-fasal yang bersabit dengan hukum dan undang-undang Islam dapat dilihat daripada kenyataan teks-teks itu sendiri yang di antara lain menyebut “…mengikut hukum Allah…” atau “…mengikut dalil Allah” dan “…pada hukum Tuhan”. Walau bagaimanapun pada banyak tempat perkara yang disebut sebagai ‘hukum’ atau ‘dalil’ Tuhan itu sebenarnya bukanlah undang-undang Allah atau undang-undang Islam.
Undang-undang keluarga dalam Hukum Kanun Melaka kerap dikatakan sebenarnya adalah terjemahan terus daripada undang-undang Islam. Tetapi untuk hukuman kesalahan jenayah yang berat seperti membunuh, memotong tangan atau kaki, pelaksaannya sering disesuaikan atau dialternatifkan antara hukum Islam dengan hukum adat. Hal ini terkecuali pada bahagian tentang ibadah, muamalat dan undang-undang keluarga yang terangkum dalam aspek munakahat Islam sebagaimana yang terhadap pada bahagian pertengahan dan penghujung Hukum Kanun Melaka. Hukum terhadap kesalahan jenayah yang mengikut undang-undang Islam sering dialtenatifkan dengan hukum adat. Umpamanya pada Fasal 14.2 yang bersabit dengan tuduhan dan pembunuhan kepada seseorang pesalah. Hukum Kanun Melaka menentukan bahawa;
“adapun jikalau menuduh orang mengambil isteri orang, maka menang yang dituduh itu, dibunuh orang yang menuduh itu, sebab hukum mengambil isteri orang itu mati hukumnya. Jikalau tiada dibunuh, didenda sepuluh tahil sepaha. Di dalam pada itu melainkan syafaat segala hakim juga; sebab mati hukumnya mati. Adapun kepada hukum Allah tiada demikian, hanya disuruhkan hakim bersumpah atau bertaubat daripada perbuatan itu. Demikinlah hukum Allah”.
Hakim mempunyai kuasa penentuan sama ada memlilih hukum adat atau menjatuhkan hukuman kepada sesiapa yang bersalah itu menurut hukum Islam. Walau bagaimanapun, kesalahan yang disabitkan oleh hakim hanyalah lebih kepada orang kebanyakan sahaja.




2.0              OBJEKTIF KAJIAN
Kajian ini bertujuan mengenal pasti pengaruh Islam yang terkandung di dalam Hukum Kanun dan Undang-undang Laut Melaka. Justeru, kajian ini menjurus secara spesifik perkara-perkara seperti berikut:
2.1.Mengenal pasti bahagian-bahagian atau fasal-fasal dalam Hukum Kanun dan Undang-undang Laut Melaka yang banyak dipengaruhi oleh hukum-hakam Islam.

2.2  Mengetahui jenis-jenis hukuman yang diperuntukan di bawah undang-undang Islam ke atas setiap kesalahan yang telah dilakukan.


3.0              PERSOALAN KAJIAN
Dalam kajian ini, pengkaji mengemukakan beberapa persoalan kajian bagi menentukan objektif yang akan dicapai, iaitu:
3.1  Pada bahagian atau fasal manakah dalam Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka yang banyak dipengaruhi oleh undang-undang Islam?

3.2  Apakah jenis-jenis hukuman yang diperuntukan dalam undang-undang Islam yang termaktub dalam Undang-undang Melaka ke atas pelaku jenayah?


4.0              KEPENTINGAN KAJIAN
Undang-undang merupakan satu bentuk peraturan yang telah ditetapkan dalam sesebuah masyarakat dan tamadun untuk dipatuhi. Tujuan undang-undang ini dibuat bagi memudahkan pemerintah mengawal segala tingkah laku orang-orang di bawah pemerintahannya. Dengan adanya undang-undang ini, pentadbiran sesebuah negara akan berjalan lancar dan pemerintah juga berupaya mengekalkan keamanan di kawasan jajahannya. Hukuman juga telah termaktub di dalam undang-undang terhadap pelaku-pelaku jenayah dan hakim secara selaras boleh menjatuhkan hukuman ke atas kesalahan-kesalahan yang telah dilakukan.
            Dalam dunia hari ini, boleh dilihat bahawa undang-undang terbahagi kepada dua jenis iaitu undang-undang yang dibuat oleh manusia dan undang-undang Islam iaitu undang-undang yang ditetapkan oleh Allah S.W.T. sendiri melalui wahyuNya kepada Nabi Muhammad S.A.W. Sebenarnya bukan pada masa sekarang sahaja berlakunya pembahagian antara undang-undang manusia dengan undang-undang Islam ini. Jika dikaji dengan lebih mendalam lagi, dalam Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka yang ditulis bermula tahun 1446M lagi, sudah terdapat pembahagian kedua-dua undang-undang ini. Kita sebagai orang Melayu dan sebagai orang Islam seharusnya lebih menitikberatkan soal berkaitan dengan Islam. Hal ini disebabkan tidak akan ada orang selain Islam yang akan mengangkat dan memartabatkan sistem perundangan Islam.
            Oleh itu, kajian ini dibuat dengan alasan agar dapatan kajian ini akan mendatangkan kebaikan kepada semua pihak sama ada masyarakat di negara ini mahupun pihak atasan kerajaan yang mungkin berkesempatan terserempak dengan kajian ini supaya sedar betapa pentingnya memartabatkan semula perundangan Islam di Malaysia. Kita harus sedar bahawa undang-undang Islam yang diangkat pada masa dahulu sebenarnya masih relevan digunakan pada masa ini dan pada masa-masa akan datang kerana undang-undang ini datangnya daripada Allah S.W.T. sendiri. Seterusnya, pengkaji mengharapkan pendedahan yang dibuat ini dapat memberi gambaran bahawa Islam merupakan agama yang hebat kerana Islamlah yang menjadi wadah berpaksinya keagungan Empayar Melaka pada suatu masa dahulu.

5.0              METODOLOGI KAJIAN
Kaedah yang digunakan oleh pengkaji dalam kajian ini ialah melibatkan kaedah kepustakaan dan juga kaedah analisis kandungan. Melalui kaedah kepustakaan, bahan-bahan ilmiah yang berkaitan dengan kajian ini dijadikan rujukan oleh pengkaji. Bahan yang paling utama ialah Karya Agung Undang-undang Melaka  di samping buku-buku, kertas kerja dan dapat melalui capaian internet berkaitan tajuk yang dikaji.
            Seterusnya melalui kaedah analisis kandungan pula, pengkaji merujuk kepada undang-undang yang ada kaitan dengan hukum-hukum Syariat Islam dan juga perkara-perkara lain yang ada dalam kehidupan masyarakat Islam seperti hal muamalat dan perkahwinan selain undang-undang kesalahan jenayah dalam Islam. Semua undang-undang yang terdapat dalam Undang-undang Melaka yang ada berkaitan dengan perundangan Islam akan dikupas oleh pengkaji untuk kefahaman yang lebih jelas.

6.0              DAPATAN KAJIAN
Berdasarkan pembacaan dan kajian yang dibuat, pengkaji mengelompokkan undang-undang Islam kepada beberapa bahagian. Pengelompokan undang-undang adalah seperti berikut:
6.1              Undang-undang jenayah Islam terbahagi kepada 3 bahagian
1.      Hukum Hudud
Berhubung dengan kesalahan zina, Qazaf, mencuri, minum arak dan murtad. Sebagai contoh hukuman zina akan direjam sampai mati bagi orang yang telah berkahwin dan akan disebat seratus kali bagi yang belum berkahwin. Hal ini selari dengan surah an-Nur ayat kedua dan juga daripada penjelasan hadis oleh Rasulullah. Bagi kesalahan Qazaf pula pesalah akan disebat sebanyak 80 kali sebatan. Bagi kesalahan meminum arak, pasalah akan disebat sebanyak 40 kali.

2.      Hukum Qisas
Dinyatakan sesiapa yang mengambil nyawa atau membunuh orang akan dibalas bunuh. Orang Islam yang membunuh orang kafir tidak dikenakan Qisas. Dalam soal mencederakan anggota juga akan dibalas perbuatan yang sama dan setimpal. Hal ini selari dengan surah al-Maidah ayat ke-45. Hukum Diat Fasal 17 pula menyatakan pembunuh dengan sengaja diberi maaf oleh waris akan dikenakan Diat ataupun denda. Hal ini selari dengan mazhab Shafiee.

3.      Hukum Ta’zir
Hukuman ini dikenakan bagi kesalahan yang tidak dikenakan hudud dan qisas seperti mencuri tak cukup nisab akan dikenakan ta’zir. Sebagai contoh pesalah akan diminta memulangkan semula barang yang dicuri atau digantung lileher kemudiannya diarak ke keliling kampung sebagai pengajaran kepada pesalah dan juga sebagai peringatan kepada orang lain.
Di atas merupakan ringkasan yang dibuat berdasarkan hukum-hukum jenayah Islam yang terkandung di dalam Undang-undang Melaka. Jika disoroti dengan lebih dalam lagi berkaitan perundangan Islam yang terdapat di dalam Undang-undang Melaka, Dalam Undang-undang Laut Melaka, hukum yang menurut undang-undang Islam hanya jelas pada satu fasal sahaja, iaitu berhubung dengan kesalahan zina. Pesalah sama ada dihukum bunuh ataupun didera sebat, mengikut perkelaminan seseorang. Hukuman dan tatacara undang-undang yang ain lebih banyak bertradisikan adat, resam dan undang-undang setempat. Tetapi dalam Hukum Kanun Melaka daripada jumlah empat puluh empat fasal yang diperuntukkan, lapan belas atau hampir 40.95% daripada perhukumannya adalah menurut undang-undang Islam.
Undang-undang Islam dalam beberapa fasal terawal Hukum Kanun Melaka kelihatan jelas, terutama yang berhubung dengan kesalahan jenayah, contohnya membunuh orang. Antara lain hukuman yang diperuntukkan kerana membunuh orang adalah seperti berikut;
“Fasal yang kelima menyatakan orang yang membunuh dengan tiada setahu raja-raja atau orang besar-besar. Jikalau dibunuhnya dengan tiada dosanya sekalipun, dibunuh pula ia pada hukum Allah, maka adil namanya”.
Peruntukan ini amat nyata disusun berdasarkan hukum jenayah Islam berabit dengan soal Qisas atau ‘nyawa atau darah dibalas nyawa atau darah’. Dalam al-Quran ada menyebutkan bahawa;
“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu (hukum qisas) buat membela orang-orang yang mati dibunuh (iaitu) orang merdeka dengan orang yang mendeheka dan hamba dengan hamba dan perempuan dengan perempuan. Tetapi barang siapa dapat sebahagian keampunan daripada saudaranya (yang membela si mati) maka (hendaklah) ia dibalas kebaikan serta serahkan (diyat) kepadanya dengan cara baik…”.
(Terjemahan al-Quran surah al-Baqarah 2:178)
Walau bagaimanapun, dapat dilihat peruntukan dalam Hukum Kanun Melaka di sini mempunyai cirri yang agak ketat. Pelaksanaan hukum Islam dilakukan dengan sewenang-wenangnya dan tidak terdapat sifat tolak ansur sebagaimana yang terdapat dalam al-Quran surah al-Baqarah ayat 178 yang bermaksud, “…Tetapi barang siapa dapat sebahagian keampunan daripada saudaranya (yang membalas si mati) maka (hendaklah) ia balas kebaikan serta serahkan (diyat) kepadanya dengan (cara) baik…”. Al-Quran juga menegaskan konsep ‘balas hak’ individu di sisi undang-undang Islam dalam masyarakat tetapi nampaknya hal ini digugurkan sama sekali oleh Hukum Kanun Melaka.
Perkara yang menarik di sini ialah tentang masalah membunuh sebab hukum adat nampaknya masih diberikan perhatian. Berkenaan fasal yang lain dalam Hukum Kanun Melaka, hukum adat melarang dikenakan hukuman bunuh sekiranya si pembunuh tadi didapati membunuh sebab empat keadaan, iaitu membunuh madu, membunuh pancuri yang lari dengan syarat-syarat tertentu, membunuh orang yang member aib atau malu dan membunuh orang yang membuat angkara. Berkenaan hal ini Hukum Kanun Melaka menyebut bahawa;
“Adapun yang membunuh tiada setahu raja dan menteri itu di atas empat perkara. Pertama, membunuh madu, kedua membunuh orang yang angkara, tetapi ia ditangkap dahulu maka dibawa kepada hakim, akan adatnya setahil sepaha. Jikalau tiada tertangkap, sebab ia dengan makarnya, maka patutlah ia mati. Ketiga membunuh orang yang mencuri yang tiada dapat ditangkap. Keempat, membunuh orang yang member aib seperti menampar orang atau barang yang member aib: itu pun jikalau belum sampai kepada menteri. Jikalau sudah sampai kepada menteri, maka diperbuat juga, maka ia didenda sepuluh tahil sepaha. Inilah hukumnya”.
Jelaslah bahawa hukum adat menentukan orang membunuh dalam kategori ini didenda sahaja. Contoh seterusnya dapat dibuktikan daripada kesalahan mencuri. Hukum Kanun Melaka telah menetapkan bahawa;
“Adapun jikalau ia mencuri, maka tertangkap lalu dibunuhnya, maka kenalah denda akan dia setengah harganya, dan setengah akan menteri, dan setengah akan tuannya, sebab taksirnya tiada setahu menteri. Adapun pada hukum Allah orang yang mencuri itu tiada harus dibunuhnya, melainkan dipotong tangannya”.
Fasal ini juga memberikan alternatif terhadap kesalahan mencuri. Si pencuri akan didenda sama ada mengikut lunas hukum adat atau dikuhum mengikut undang-undang syariah, iaitu dipotong tangannya. Hukuman memotong tangan yang menurut perintah Allah ini amat jelas diterangkan dalam al-Quran:
“Lelaki yang mencuri dan perempuan yang mencuri itu, hendaklah kamu potong tangan-tangan mereka, sebagai balasan bagi apa yang mereka telah lakukan (dan) sebagai contoh yang menakutkan daripada Allah; dan adalah Allah itu Mahakuasa (lagi bijaksana)”.
(Terjemahan al-Quran surah al-Maidah 5:38)
Terdapat ciri alternatif yang menunjukkan bahawa pihak hakim tidak semestinya wajib menjatuhkan hukuman memotong tangan si pencuri, walaupun bukti-bukti jelas dalam teks Sejarah Melayu menunjukkan ketika Melaka diperintah oleh Sultan Alauddin, sesuatu undang-undang dikeluarkan supaya memotong tangan pencuri yang dapat ditangkap dan sabit kesalahannya.
Pihak penyusun Hukum Kanun Melaka sedar tentang manfaatnya menjatuhkan hukuman mengikut hukum adat dan sebaliknya, dengan meneliti kesan sosial yang mungkin timbul sekiranya mematuhi seratus peratus hukum Islam. Mereka mengambil sikap berkecuali dengan harapan supaya pihak hakim yang bijaksana dapat memberikan pertimbangan dengan seadil-adilnya. Oleh yang demikian, sewajarnyalah sikap adil ini didasarkan pada konsep ‘hak’ (haq) dan adil saksama (adl) antara individu dalam mesyarakat dengan pihak hakim menurut pandangan Islam. Jelas sebagaimana Allah berfirman dalam al-Quran;
“Sesungguhnya Allah memerintah kamu menunaikan amanat-amanat kepada yang berhak dan (Ia memerintah) apabila kamu menghukum di antara manusia, supaya kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah menasihati kamu dengan sebaik-baik perkara, sebab sesungguhnya Allah itu adalah Mendengar (dan) Melihat”.
(Terjemahan al-Quran surah An-Nisa’ 4:58)
Suatu hal yang agak menghairankan ialah tentang peruntukan hukum adat yang bersabit dengan kesalahan yang melibatkan jantina. Pada asasnya, undang-undang Islam memanglah dipatuhi, lalu disalurkan mengikut hukum hadd dalam Islam. Hukuman terhadap orang yang berzina umpamanya, Hukum Kanun Melaka jelas mengambil terus daripada undang-undang Islam. Jika si pelaku itu seorang yang telah berkahwin (muhsan) hukumannya ialah direjam sampai mati, jika yang belum berkahwin (ghair-muhsan) disebat sebanyak lapan puluh kali. Hukuman ini sebenarnya diambil terus daripada al-Quran;
“Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, maka deralah tiap-tiap seorang daripada mereka seratus kali dera, dan janganlah kamu dikalahkan dengan (menjalankan) agama Allah oleh kasihan kamu kepada mereka berdua, jika (benar) kamu beriman kepada Allah dan hari kamudian; dan azab mereka itu hendaklah disaksikan oleh segolongan daripada mukmin”.
            (Terjemahan al-Quran surah An-Nur 24:2)
Hukuman mengikut hukum adat masih tetap diperuntukkan sebagai pilihannya. Walau bagaimanapun, hukuman berdasarkan tradisi adat setempat ini nampaknya amat ringan. Seorang lelaki (yang sabit) melakukan rogol (wati’) terhadap seorang dara, dia cuma dikehendaki untuk membayar sedikit denda kemudian diminta berkahwin dengan mangsanya tadi. Yang anehnya, Hukum Kanun Melaka bukan meletakkan pada kesalahan kerana perbuatan merogol itu, tetapi kesalahan sebab ‘memaksa’ orang.
Begitu juga pada kesalahan menawar (menceroboh) kehormatan wanita, jika isteri orang yang diceroboh, si penceroboh Cuma dikehendaki sujud menyembah suami wanita berkenaan di khalayak ramai. Sekiranya enggan, dia dikehendaki membayar denda sepuluh tahil sepaha sahaja. Jika yang diceroboh itu seorang gadis, dendanya ialah dua tahil sepaha; dendanya kurang sedikit jika yang diceroboh itu seorang hamba, iaitu lima emas sahaja; tetapi meningkat menjadi sepuluh emas sekiranya dara si abdi itu hilang.
Selain kesalahan jenayah yang tersebut, Hukum Kanun Malaka juga menekankan kesalahan-kesalahan hadd yang jelas terpengaruh dengan hukum Islam. Antara bentuk kesalahan hadd yang dimaksudkan termasuklah kesalahan minum arak, mencuri, membunuh, menyamun, qisas pada nyawa dan murtad.bagi semua kesalahan itu, Fasal 37:2 Hukum Kanun Melaka menentukan supaya mestilah ada dua orang saksi yang baligh dan tidak gila bagi membuktikan sahih atau tidaknya perbuatan itu. Selain itu, penyelarasan pelaksanaan hukum Islam dan hukum adat diperuntukkan juga pada fasal tentang kesalahan menuduh orang berzina tanpa saksi. Orang itu mestilah dirotan sebanyak lapan puluh kali. Hukuman tanpa saksi ini jelas diambil daripada hukum Islam sebagaimana yang ditentukan oleh Allah dalam al-Quran;
“Dan orang-orang yang menuduh perempuan-perempuan yang baik-baik (berzina), kemudian mereka tiada dapat hadirkan empat saksi, maka deralah mereka delapan puluh kali deraan; dan jangnlah kamu terima persaksian mereka (yang didera) itu selama-lamanya, sebab mereka itu orang-orang yang fasiq”.
(Terjemahan al-Quran surah An-Nur 24:4)
Walau bagaimanapun hukum adat masih tetap diberi pertimbangan. Jika sabit kesalahan pihak yang menuduh, ia akan didenda mengikut taraf sosial si pesalah.
6.2 Undang-undang Muamalat
Undang-undang ini lebih berhubung dengan peraturan jual beli, riba, sewa, kaedah pinjaman ada dinyatakan dalam fasal 30 Hukum Kanun Melaka. Contoh juga disebut dengan jelas iaitu berkaitan haramnya riba dan larangan untuk berniaga dengan orang gila. Contoh yang menarik tentang muamalat Islam berhubung dengan soal ‘bunga’ atau ‘faedah’ atau ‘riba’ dalam urusan perniagaan terdapat dalam Fasal 30. Telah ditegaskan bahawa;
“…pada menyatakan hukum orang yang berniaga itu dan haram atas segala yang mengambil riba’…hukum berniaga itu tiada sah berniaga melainkan daripada ‘akil, tiada sah berniaga itu bagi orang yang gila, kanak-kanak yang belum baligh.”
Hukum haram melakukan riba adalah diasaskan terus daripada hukum dalam al-Quran yang menerangkan bahawa;
“Orang yang memakan riba itu tidak akan berdiri melainkan sebagaimana pendirian orang yang diharu syaitan dengan tamparannya. Yang demikian, lantaran mereka berkata, ‘Perdagangan itu tidak lain melainkan seperti riba’. Dan Allah halalkan perdagangan dan haramkan riba. Lantaran itu, barang siapa kedatangan nasihat dari Tuhannya, lalu ia berhenti, maka baginyalah apa yang telah lalu dan urusannya (terserah) kepada Allah, tetapi barag siapa kembali lagi, maka mereka itu (jadi) ahli neraka yang mereka (akan) kekal di dalamnya”.
(Terjemahan al-Quran surah al-Baqarah 2:275)
Pada fasal-fasal yang lain dalam Hukum Kanun Melaka, diperuntukkan juga undang-undang menurut Muamalat Islam seperti dalam Fasal 32:2 Hukum Kanun Melaka menentukan hukuman sah tuntutan atas harta (sulh) yang dikanunkan dalam ayat, “Sah sulh kemudian daripada ikrar di dalam segala harta, tiada sah sulh di dalam mungkir dan pada orang yang tiada bertentu” hinggalah ke ayat, “Tiada sulh melainkan pertama hendak bertentu”. Undang-undang berjual beli yang dibentuk juga adalah berlandaskan undang-undang Islam. Fasal 30 Hukum Kanun Melaka juga menentukan barang-barang yang boleh diperniagakan serta dilarang oleh Islam seperti arak, babi, anjing dan tuak.
Dalam undang-undang muamalat ini, terdapat juga sedikit kelainan kerana ada sedikit percanggahan dengan undang-undang Islam namun  telah dinyatakan sebagai undang-undang muamalat di dalam Undang-undang Melaka. Perkara tersebut bersabit dengan muamalat berniaga antara barangan, Fasal 30 Hukum Kanun Melaka memperuntukkan;
“…Dan tiada sah berniaga  emas dan perak dengan perak melainkan (dengan) suatu jenis lain iaitu emas dengan suatu jenis lain yakni perak tunai dan berniaga makanan janji tunai, maka sah”.
Di sini pun, Hukum Kanun Melaka menyalurkan kedua-dua perniagaan antara emas dengan perak, sedangkan dalam hukum Islam yang sewajarnya memperuntukkan dua syarat yang terpisah itu, iaitu bahawa:
1.      Tidaklah sah berniaga antara emas untuk emas dan perak untuk perak, melainkan berat kedua-dua adalah sama dan transaksi tersebut berjalan dengan serta-merta.
2.      Adalah berniaga emas ditukarkan dengan perak dengan timbangan yang berlainan dan dilakukan transaksi ini dengan serta-merta juga.
Penyusunan dalam syarat dan peruntukan perniagaan tersebut dalam Hukum Kanun Melaka nampaknya dilakukan dengan sewenangnya.
Bukti yang kedua dapat dikesan daripada Fasal 32:2 Hukum Kanun Melaka berhubung dengan hukum sah Sulh iaitu hukum sah atau tidaknya peraturan berniaga, dicampuradukkan syarat-syarat pengesahan tersebut tanpa mengikut lunas hukum Islam yang sewajarnya. Begitu juga pada Fasal 49:1 yang memperuntukkan tentang konsep atau pengertian muhsan dalam Islam. Hukum Kanun Melaka memberikan empat kriteria muhsan, iaitu Islam, baligh, berakal dan tidak gila. Kriteria yang ketiga dan keempat itu sebenarnya serupa sahaja. Tetapi menurut pendapat ahli fiqah Islam, undang-undang tidak semestinya memasukkan kriteria Islam itu, bahkan sewajarya adalah merdeka.
Adalah sukar untuk mencari sebab berlakunya kelainan dan penyimpangan ini. Tidak mungkin hendak dibebankan kesalahan kepada penyusun atau penggubal undang-undang negeri ini kerana penyusun itu adalah tokoh dalam bidang perundangan Islam yang menggunakan dan berpeluang merujuk pada kitab-kitab yang berkaitan. Zaman yang patut disalahkan dalam hal ini kerana undang-undang ini digubal ketika masyarakat Melaka masih melalui zaman awal terhadap agama Islam. Atau sebagaimana nasib yang menimpa naskhah-naskhah Melayu lama, kerana hampir kesemuanya disalin dengan kesalahan sama ada disengajakan atau tidak yang dilakukan oleh penyalin-penyalin naskhah undang-undang ini.

6.3 Undang-undang Keluarga
Undang-undang ini berhubung dengan tatacara perkahwinan, penceraian, wali talah dan sebagainya. Dalam hal ini, semua perkara yang berkaitan dengan keluarga selari dengan hukum Islam. Hukum syarak dalam undang-undang nampaknya lebih banyak mempengaruhi bahkan diambil sepenuhnya dalam bahagian akhir Undang-Undang Melaka, terutama yang berhubung dengan undang-undang keluarga dan peribadi seperti muamalat dan munakahat. Umpamanya, telah dijadikan undang-undang tentang orang berwali. Wali seorang perempuan itu mengikut Hukum Kanun Melaka, ‘mengikut tertib’ adalah bapanya, datuk sebelah bapanya dan saudara lelakinya. Wali-wali yang sedemikian jika merujuk pada hukum Islam, dikenali sebagai wali aqrab dan wali mujbir. Diterangkan juga bahawa tidak seorang wali pun dibenar untuk mengahwinkan si perempuan yang belum baligh. Pengertian baligh dihuraikan sebagai genap umur lima belas tahun, telah datang haid dan telah tumbuh bulu ari-ari (ikhtilam).
Fasal 25:2 Hukum Kanun Melaka juga memperuntukkan syarat dan tatacara ijab dan kabul dalam nikah dan kahwin serta hukum dan syarat menjadi saksi dalam tatacara tersebut yang dijelaskan pada Fasal 26. Hukum tentang hak pembatalan (khiyyar), hukum bertalak sama ada talak raji’i atau ba’in serta syarat-syarat yang berhubungan dengannya, termasuklah masalah melakukan ‘cina buta’, terangkum ke dalam Fasal 27 dan Fasal 28:1 teks Hukum Kanun Melaka.
Peruntukan yang berteraskan hukum-hakam dan aqaid Islam jelas terdapat dalam Fasal 25:1 hingga Fasal 30 yang menyentuh tentang masalah “lafaz ijab dan qabul dalam acara nikah”, “saksi-saksi dacara nikah’, “hukum ‘iddah dalam penceraian”’ juga pada Fasal 34:1 tentang ‘hukum amanah’. Undang-undang pada ‘hukum ikrar’ pula ditentukan;
“…pada menyatakan hukum ikrar itu dua perkara; suatu pada hak Allah S.W.T. seperti minum arak dan tuak dan zina; kedua pada hak manusia. Adapun hak Allah S.W.T. itu dikabulkan, jikalau ia kembali daripada ikrarnya. Bermula pada hak manusia tiada harus dikabulkan, jikalau ia kembali daripada ikrarnya.”
Begitulah juga undang-undang Islam sebagai syarat sah seorang menjadi saksi;
“…harus di atas empat martabat. Pertama, tahu ia akan halal dan haram, kedua tahu ia akan sunat dan fardu, ketiga tahi ia akan baik dan jahat”.
Dan syarat yang membolehkan seseorang itu menjadi saksi adalah;
“…lima perkara. Pertama Islam, kedua baligh, ketiga akil, keempat adal (‘adl), kelima hendaklah menjauhi daripada dosa yang bear dan dosa yang kecil”.

6.4 Peraturan Beribadah
Perkara yang paling menarik ialah struktur dan sebahagian daripada kandungan Hukum Kanun Melaka itu sendiri. Ada hukum dan undang-undang fiqah Islam yang diserap dan diperundangkan terus dalam undang-undang negerinya, seolah-olah teks tersebut menjadi sumber rujukan hukum-hakam Islam pula. Umpamanya tentang hukum ibadat sembahyang dituliskan pada Fasal 36:2;
“Bermula orang yang sembahyang itu atas dua perkara, meninggalkan dan tiada iktikadnya pada fardu sembahyang. Dalam iktikadnya bahawa sembahyang fardu itu disuruh ia sembahyang. Jika tiada ia sembahyang oleh kesakitan, tiada ia mungkar, disuruh taubat murtad tiga kali. Jikalau sembahyang, baik jalan itu”.
Begitu berkesan dan berpengaruh sekali hukum Islam terhadap Hukum Kanun Melaka sehingga terdapat bentuk ekspresinya dipetik terus daripada ayat al-Quran, contohnya pada Fasal 43:2 yang berbunyi;
“Bismi’l Lahi al-Rahman al-Rahim. Qala’ ILahu Ta’ala: Ati’u Allaha wa ati’u ur-rasula wa uli’l amri minkum…”
Dan di sana sini diambil terus hadis Nabi S.A.W yang antara lain pada fasal yang sama menyebut;
“…sebab sabda Nabi salla’I Lahu ‘alai wa sallam: kulluhum rain wa kulluhum mas’ulun ‘an ra’iyatihi…”
Begitulah juga suatu ekspresi dalam bahasa Melayu pada ayat yang berbunyi “Bermula sama dihukumnya ikrar pada hal sihat dan sakit”. Setelah dikaji ayat ini, nyatalah ia merupakan terjemahan terus daripada sepotong ayat Arrab yang mengatakan bahawa, “wa huwa fi hali al-sihati wa al-marad suwan.” Beberapa ayat bersabiit dengan beberapa peruntukan hukum juga digunakan terus dalam bahasa Arab, umpamanya pada Fasal 14:1,
“Wa’ILahu khalaqakum wa ma ta’malun. ILahi bi barakati Jibra.il wa Mika il Israfil wa Izrail.
Fasal 25:2 pula menyatakan;
            “Qabiltu tazwijaha”.
Serta pada Fasal 38:1 yang menyatakan;
            “Albayyinatu ‘ala’I-mudda’ I wa alyaminu ‘ala man ankar”.
Sewajarnya sumber daripada al-Quran dan Hadis ini diserap serta digunakan sebagai paduan dan untuk kekuatan rohaniah. Sumber ini boleh dijadikan sebagai tunjang pada peraturan, adat dan undang-undang tempatan supaya selaras dengan aspirasi dang tanggunjawab raja, pembesar dan rakyat Melayu yang telah pun beragama Islam. Hukum Kanun Melaka sendiri telah menentukan hal ini.

6.5. Penglibatan Ulama
Ulama memainkan peranan yang penting dalam soal pentadbiran negeri dan hal ini disebut dengan nyata. Ulama dan kadi terlibat aktif dalam soal pertabalan, perkahwinan dan soal pemakaman seseorang raja atau sultan. Peranan ulama dan kadi dalam sejarah perundangan Melaka amatlah penting. Hampir seluruh daripada fasal-fasal yang diperuntukkan dalam Hukum Kanun Melaka adalah bercorak dan berasaskan perhukuman Islam. Ini membuktikan bahawa semasa kecemerlangan Kesultanan Melayu Melaka dahulu, undang-undang Islam telah diamalkan dengan luasnya dalam kalangan masyarakat tempatan dan jajahan takluk, dusun serta anak Sungai Melaka. Walaupun begitu tidak ada bukti yang jelas bahawa di Melaka pada masa itu telah wujud institusi syariah untuk mengendalikan  hal ehwal agama Islam dan penganutnya seperti yang terdapat pada hari ini. Namun, jelas raja atau sultan ialah penaung undang-undang tersebut. Tokoh yang memelihara undang-undang ini adalah kadi ataupun hakim. Pendapat mereka akan dirujuk apabila timbul sebarang pembicaraan dan masalah pengadilan, terutama terhadap undang-undang Islam dalam kalangan masyarakat tempatan itu.
Begitu bermakna dan berkesan sekali Hukum Kanun Melaka serta ciri-ciri dan perundangan Melayu-Islam yang termaktub di dalamnya sehinggakan banyak undang-undang negeri Melayu sebelum penghujung abad ke-19 terpengaruh dengannya. Undang-undang Johor, Undang-undang Pahang, Undang-undang Kedah dan Hukum Kanun Datuk Setar serta Undang-undang Kanun 99 Perak adalah secara langsung ataupun tidak langsung dimodelkan daripada Hukum Kanun Melaka, sama ada yang bercorak adat mahupun yang berbentuk Islam.
Walaupun pengaruh Islam amat ketara dalam Undang-undang Melaka, masih banyak lagi pengaruh Hindu dan adat Melayu lama yang bertentangan dengan Islam seperti perkara-perkara berikut.
        i.            Undang-undang yang tidak selari dengan Islam:
·         Sultan berada di atas undang-undang sama seperti Konsep Devaraja
·         Hukuman qisas tidak dikenakan kepada sultan atau kerabat diraja yang lain.  Contohnya peristiwa di mana Raja Muhammad telah membunuh Tun Besar, hukumannya hanyalah dibuang negeri.
·         Hukuman hudud juga tidak dijatuhkan kepada sultan. Contohnya dalam kisah Sultan Mahmud yang telah berzina dengan isteri orang namun Sultan Mahmud tidak dikenakan hukuman sebab seperti yang sepatutnya dikenakan.

      ii.            Mengamalkan diskriminasi dalam undang-undang
·         Dalam Islam setiap orang adalah sama taraf. Cuma ketinggian pangkat memerlukan konsep hormat sahaja dan bukanlah sampai ke tahap menyembah. Namun begitu, dalam Undang-undang Melaka, sultan tidak mengamalkan nilai kesamaan taraf sesama manusia di mana ada larangan yang dibuat kepada rakyat iaitu larangan memakai warna kuning dan membina rumah dengan reka bentuk yang buruk.
·         Konsep tulah dan daulat juga memperlihatkan raja memandang rakyat sebagai hamba kepada mereka. Rakyat dipaksa taat setia kepada raja walaupun raja itu memerintah dengan zalim kerana rakyat terikat dengan konsep daulat dan tulah.


























7.0              KESIMPULAN
Jika dilihat dari zaman kegemilangan Melaka dahulu sehingga ke hari ini, undang-undang Islam kurang diterapkan di dalam perundangan dunia Melayu. Walaupun banyak undang-undang Islam yang digunakan dalam Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut, hanya lebih kurang 41 peratus sahaja perundangan Islam yang termaktud di dalam undang-undang tersebut. Hal ini menunjukkan penerimaan Islam masih lagi kurang menyeleluruh disebabkan terdapatnya pengaruh hukum adat yang masih lagi diangkat dalam pelaksanaan undang-undang pada masa itu. Apabila bermulanya zaman penjajahan Barat ke Tanah Melayu khususnya di Melaka, Barat cuba mengubah corak undang-undang Islam yang sudah diguna pakai sebelum ini kepada sistem undang-undang Barat kerana mereka mahu semua pemerintahan di bawah takluk mereka menggunakan sistem yang sama.
Andaian yang boleh dibuat jika tiada berlakunya penjajahan Barat ke Tanah Melayu, pengkaji merasakan perundangan Islam akan terus berkembang dan pada suatu masa hukum adat akan diketepikan bagi memartabatkan undang-undang Islam yang semakin kuat mempengaruhi kehidupan pada masa itu. Namun malang apabila perkara tersebut belum sempat berlaku kerana Melaka telah dijajah oleh Barat. Kesannya dapat kita lihat pada hari ini apabila perundangan Islam tidak diiktiraf dan hanya dilaksanakan dalam hal-hal keluarga sahaja. Bersangkutan dengan itu, dengan menggunakan undang-undang dari Barat ini memperlihatkan negara kita pada hari ini tidak lagi segemilang pada zaman Melaka dahulu yang mana pada masa itu, perundangan Islam masih lagi diguna pakai dalam banyak aspek perundangan. Di samping itu, kita dapat melihat masyarakat kita yang semakin banyak bergelumang dengan masalah sosial disebabkan tidak tertegaknya undang-undang Islam ini.

Jika benarlah tujuan mengenakan hukuman sebagai salah satu cara untuk memerangi jenayah, maka undang-undang Islam telah berjaya mencapai matlamat ini begitu jauh dibandingkan dengan system undang-undang yang lain. Hal ini disebabkan jenayah dicegah sebelum perkara tersebut dilakukan, dan jika jenayah sudah dilakukan, penjenayah akan dihakimi sehingga ke peringkat terhapus segala kesan dan dapat memberi peringatan kepada orang lain supaya tidak melakukannya.                                                                                                                                                                        Bibliografi                                                                                                                                    
Abd. Jalil Borham. (2002). Pengantar perundangan Islam. Johor Bahru, Johor: Universiti Teknologi Malaysia.
Abdul Halim El-Muhammady. (1993). Perkembangan undang-undang Islam dari zaman Rasulullah S.A.W hingga zaman penjajahan barat. Petaling Jaya: Budaya Ilmu.
Abu Hassan Sham. (1995). Hukum kanun Melaka. Melaka: Penerbitan Perbadanan Muzium Melaka.
Khoo Kay Kim (Eda.). (1982). Melaka dan sejarahnya. Melaka: Persatuan Sejarah Melaka.
Liaw York Fang (Eds.). (2003). Undang-undang Melaka dan undang-undang laut / dikaji dan diperkenalkan oleh Liaw York Fang. Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan.
Muhammad Yusof Hashim. (1989). Kesultanan Melayu Melaka: kajian beberapa aspek tentang Melaka pada abad ke-15 dan abad ke-16 dalam sejarah Malaysia. Kuala Lumpur: dewan bahasa dan pustaka dan kementerian pendidikan Malaysia.
Othman Ishak. (1997). Hubungan antara undang-undang Islam dengan undang-undang adat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Sejarah Melaka diperoleh pada 22 Aprl 2014 daripada http://rujuknota.blogspot.com/2009/09/sejarah-melaka.html
Sejauhmanakah unsur-unsur Islam mempengaruhi Hukum Kanun Melaka pada zaman Melayu Melaka diperoleh pada 22 April 2014 daripada http://fastnote.wordpress.com/pengaruh-islam-dalam-hukum-kanun-melaka/

No comments:

Post a Comment