SEJARAH KELAHIRAN
ABDULLAH MUNSYI
Abdullah
Munsyi dilahirkan pada hari ahad, 7 safar tahun 1211 hijrah di Kampung Masjid.
Beliau merupakan anak bongsu daripada empat orang adik-beradik. Ketiga-tiga
orang abangnya meninggal dunia semasa kecil iaitu setelah berumur setahun, dua
tahun dan tiga tahun. Menurut riwayat, beliau berasal daripada keturunan arab
yang berbangsa Othmani yang dinasabkan daripada datuknya iaitu Shaikh Abdul
Kadir.
Sebelum
Abdullah Munsyi dilahirkan, ibunya sangat sedih kerana keempat-empat orang
adik-beradiknya meninggal dunia. Hampir setiap hari ibunya menangis
mengenangkan nasib yang menimpa dirinya. Pada suatu hari, telah datang seorang
arab yang bernama Habib Abdullah ke Melaka dan orang ramai menggangapnya
seorang yang warak dan mempunyai keramat. Kesedihannya ini diketahui oleh Habib
Abdullah. Pada suatu hari, Tuan Habib menjemput bapa Abdullah Munsyi ke
rumahnya dan berpesan supaya menasihati isterinya untuk tidak bersedih kerana
seorang anak lelaki akan lahir dalam keluarga mereka tidak lama lagi. Tuan
Habib itu berpesan lagi supaya meletakkan nama bayi tersebut serupa dengan
namanya apabila bayi itu dilahirkan kelak.
Semasa kecil, Abdullah Munsyi sering ditimpa
sakit terutamanya selepas usianya menjangkau empat bulan. Abdullah Munsyi telah
dijual kepada orang ramai beberapa kali kerana kesihatannya yang sering
terganggu dan ibubapanya dikatakan tidak serasi untuk membelanya. Keadaan
Abdullah ini menyebabkan kesihatan ibunya terganggu dan tidak dapat disusukan
oleh ibunya. Semasa berumur enam tahun, Abdullah telah diserang penyakit buang
air berdarah selama setahun. Pelbagai kaedah perubatan yang digunakan untuk
menyembuhkan penyakitnya itu. Akhirnya penyakitnya sembuh dan beliau membesar
serta diberikan didikan yang sebaiknya oleh kedua ibubapanya.
SEJARAH PENDIDIKAN AWAL
ABDULLAH MUNSYI
Abdullah
Munsyi dibesarkan didalam situasi yang mementingkan pelajaran. Bapa dan neneknya
merupakan orang yang berpengetahuan. Neneknya merupakan seorang guru besar di
Kampung Pali yang mengajar anak-anak di kampung itu mengaji Al-Quran. Ketika
Abdullah berumur enam tahun, beliau sentiasa bergaul dengan kanak-kanak yang
belajar membaca, menulis dan membaca lalu mendorong semangatnya untuk belajar. Semasa
Abdullah berumur tujuh tahun, beliau telah diberikan sebuah permainan loh dan
resam. Beliau lebih cepat pandai menulis dan membaca dengan bantuan permainan
ini.
Akan tetapi, Abdullah masih belum menghabiskan
satu juz Al-Quran dan keadaan ini amat membimbangkan ayahnya. Ayahnya sangat
mementingkan pelajaran dan bersikap tegas terhadapnya sehinggakan segala
sungutan daripada Abdullah tidak dipedulikan oleh ayahnya. Sikap ayahnya itu
menyebabkan Abdullah merasa tertekan dan Abdullah pernah berharap ayahnya cepat
menemui ajal supaya beliau dapat bebas bermain ke mana sahaja yang beliau mahu.
Ayahnya tidak pernah memujinya walaupun perbuatan Abdullah amat memuaskan
hatinya. Ayahnya berpendapat bahawa pujian akan menyebabkan Abdullah menjadi
malas untuk berusaha. Dalam pelajaran Al-Quran, kepandaian beliau lebih
terserlah berbanding teman-temannya yang lain sehinggankan beliau menjadi
pelajar yang terbaik di kalangan pelajar di madrasah itu.
Abdullah
mempunyai minat yang mendalam terhadap pelajaran. Selain mempelajari bahasa
Melayu, beliau juga turut mempelajari bahsa Tamil dan Bahasa Arab. Manakala
bahasa Inggeris pula dipelajari daripada paderi-paderi Inggeris. Antara guru
bahasa Melayunya ialah Datuk Sulaiman dan Datuk Astar. Beliau mendalami
Al-Quran dengan seorang Arab yang bernama Mualim Muhai dan beliau turut
mendalami bahasa Melayu dengan Sayid Syeikh bin Alwi. Semasa berumur 27 tahun,
beliau telah belajar bahasa Inggeris daripada seorang paderi yang datang ke
Melaka iaitu Tuan Milne. Selain itu, beliau juga belajar dengan Tuan Doktor
Marisson yang pandai berbahasa Cina. Beliau juga belajar mengenai Injil Matius
(dalam bahasa Inggeris) daripada Doktor Marisson. Ketika beliau menjadi guru
bahasa Melayu, beliau telah belajar menggunakan alat cap huruf dengan Tuan
Medhurst dan Tuan Thomsen.
Di
samping itu, Abdullah Munsyi juga turut belajar di maktab Anglo-Chinese College
yang didirikan oleh Tuan Milne. Beliau telah menjadi pendorong terhadap orang lain
untuk belajar di maktab tersebut. Ramai orang yang cemburu melihat kegigihan
Abdullah menuntut ilmu, mereka memanggilnya sebagai “Abdullah Paderi”. Gelaran
tersebut diberikan untuk menyakiti hati Abdullah dan berharap Abdullah berhenti
belajar bahasa Inggeris dengan orang Inggeris.
SEJARAH NEGERI
SINGAPURA
Abdullah
menceritakan tentang Farquhar yang telah mendapat perintah daripada Raffles
untuk mencari sebuah kawasan di selatan Selat Melaka. Setelah beberapa hari
pulau demi pulau dilalui tiada satu pulau yang berkenaan di hati Farquhar,
sehinggalah beliau menjumpai Singapura. Pada masa itu, Singapura hanya
dikelilingi hutan dan tidak ramai orang Melayu yang diketuai oleh Temenggong
Abdul Rahman yang tinggal di situ. Kemudian, mereka telah menyambut kadatangan
Raffles bersama-sama empat buah kapalnya. Namun begitu, Farquhar masih belum
menjemput Tengku Long di Riau dan menyebabkan Farquhar tidak mahu menjejakkan
kaki ke Singapura selagi Tengku Long masih belum sampai. Sebelum Tengku Long
belayar ke Singapura, perasaan bimbang masih terasa kerana takut akan
dikhianati oleh Inggeris. Setelah mereka mendapat persetujuan hendak belayar ke
Singapura, mereka terus belayar pada malam itu juga tanpa pengetahuan sesiapa,
Tengku Long disambut oleh Temenggong Abdul Rahman dan Farquhar lalu diajak
untuk berjumpa dengan Raffles bagi membuat rundingan. Setelah rundingan
tersebut dilakukan, Raffles telah menjadikan Tengku Long sebagai Yang
Di-Pertuan di Singapura.
Setelah
penghormatan diberikan oleh Raffles kepada Yang Di-Pertuan Tengku Long, Raffles
pun balik ke kapalnya semula. Semenjak hari itu, Tengku Long mula bergelar
Sultan Husain Shah telah memerintahkan Temenggong Abdul Rahman untuk membina
sebuah istana. Setelah Raffles dan orang-orangnya pulang, maka bermulalah
pentadbiran di pulau Singapura tersebut oleh Sultan bersama orang Inggeris dan
Temenggong sendiri. Rumah-rumah dan gudang-gudang semakin banyak yang dibina.
Hal ini telah menarik pedagang-pedagang untuk berniaga di Singapura. Hari demi
hari, Singapura semakin maju. Orang-orang Melayu di Melaka juga tidak
melepaskan peluang untuk mencari pekerjaan di sana bagi mengubah nasib hidup
mereka, termasuklah Abdullah.
SEJARAH PELAYARAN
ABDULLAH MUSHYI KE PANTAI TIMUR
Dalam
lawatan Abdullah Munsyi ke Pahang, beliau menceritakan mengenai keadaan
orang-orang Pahang yang pengotor dan tidak mempedulikan kesihatan serta
kebersihan. Menurut Abdullah lagi, tempat tinggal, pasar-pasar dan
tempat-tempat jualan sangat kotor dan dipenuhi dengan sampah sarap. Semua orang
yang ada pada masa itu tidak mempedulikan kebersihan di tempat mereka. Manakala
dalam lawatan beliau ke Kelantan dan Terengganu, beliau melihat kaum lelaki di
negeri tersebut suatu ketika dahulu sangat malas dan hanya duduk-duduk di pasar
sahaja manakala kaum wanita pula yang rajin bekerja menjalankan perniagaan.
Akan
tetapi, beliau juga memberi pandangan yang sinis terhadap peniaga-peniaga ini
kerana menjual jenis makanan yang busuk seperti tempoyak, budu, cencalok dan
lain-lain lagi. Beliau menghina orang-orang Melayu di Terengganu dan Kelatan
tidak tahu makan makanan yang baik dan berkhasiat seperti telur, mentega,
minyak sapi dan lain-lain lagi. Selain itu, beliau juga mempunyai pandangan
yang tersendiri tentang nasib rakyat di kedua negeri tersebut, kebanyakan
rakyat hidup dalam keadaan teranianya oleh rajanya yang zalim dan suka merampas
harta benda rakyat apabila mereka mempunyai harta. Di samping itu, anak-anak
raja suka membangkitkan huru-hara dan kacau bilau di kedua negeri tersebut.
Malahan pengikut-pengikut dan pengiring-pengiringnya akan mendapat perlindungan
sepenuhnya oleh pihak raja apabila disebut sebagai “ Orang Dalam” atau “ Orang
Raja”. Gelaran tersebut menyebabkan masyarakat lain pada masa itu tidak berani
untuk membantah. Setelah beliau menyelidik, barulah beliau tahu sebab-sebab
mengapa rakyat tunduk kepada pemerintah yang zalim tersebut. Hal ini demikian,kerana
kalau bekerja kuat sekali pun tiada guna kerana harta mereka akan dirampas.
Mereka lebih suka tidak berbuat apa-apa dan tidak mahu memajukan hidup mereka.
SEJARAH PEPERANGAN
MELAKA
Keadaan
ini terjadi semasa Abdullah menetap di Singapura. Beliau mendengar khabar
bahawa pihak Inggeris mahu menyerang Naning yang ketika itu diketuai oleh Dato’
Dol Said. Apabila mendengar berita tersebut, beliau terus pulang ke Melaka
untuk untuk menyaksikan sendiri peristiwa itu. Apabila tiba di Melaka, beliau
melihat orang-orang di Melaka masing-masing bersiap sedia dengan senjata
mereka. Pada masa itu juga, Abdullah melihat setiap orang Melayu di Melaka
membawa senjata dan ramai juga di antara mereka menempah senjata di rumah
tukang besi. Selepas tiga hari sampai ke Melaka, askar-askar Inggeris berangkat
untuk pergi ke Naning. Maka gemparlah orang-orang di Melaka mengatakan bahawa
askar Inggeris sedang mengamuk. Akan tetapi, askar-askar Inggeris kembali
berundur tiga hari kemudian kerana mereka telah dikepung oleh orang-orang
Naning. Segala kelengkapan peperangan askar-askar Inggeris ditinggalkan begitu
sahaja semasa mereka melarian diri.
Sementara
itu, kekuatan yang ada pada orang-orang Naning beransur kurang.
Pengikut-pengikut Dol Said mula belot terhadapnya dan enggan meneruskan
perjuangan bersama Dol Said lagi. Keadaan itu menyebabkan Dol Said melarikan
diri ke hutan untuk mengumpul kembali kekuatannya hendak menyerang balas
menentang Inggeris. Akan tetapi pengikut-pengikut berpecah dan menyebabkan
kekuatan itu hilang. Akhirnya Dol Said keluar dari hutan dan menyerah diri
kepada pemerintah Inggeris di Melaka.
SINGAPURA TERBAKAR
Dalam
Hikayat Abdullah, menceritakan bahawa dikatakan setiap malam terdapat kes pergaduhan,
samun dan pembunuhan dengan sengaja yang berlaku di Singapura. Hal ini demikian
kerana di Singapura terdapat sekumpulan kongsi gelap China yang sangat besar
iaitu Thein Tei Hoe yang mempunyai ramai pengikutnya. Oleh kerana bilanganya
yang ramai, agak sukar untuk pegawai-pegawai keamanan di negeri tersebut
menghapuskan mereka. Tambahan pula mereka mengetahui perancangan pemerintah
tersebut untuk menangkap mereka dan menyiapkan persediaan untuk menentang
pemerintah tersebut. Setelah beberapa lama tinggal di Singapura, Abdullah telah
menhidapi demam kepialu. Beliau berniat untuk pulang ke Melaka tetapi hajatnya
itu terpaksa dibatalkan kerana beliau ingin melihat sambutan tahun baru cina di
tempatnya. Tiba-tiba pada suatu malam semasa beliau sedang berehat di rumahnya,
beliau telah mendengar suara teriakan “api! api!”. Beliau terus bangun dan
menjenguk ke luar tingkap. Beliau telah melihat rumah-rumah yang berhampiran
rumahnya habis dijilat api, kebakaran itu berpunca daripada api mercun yang
dicucuh oleh budak-budak Cina di kawasan itu. Apabila melihat api semakin
menghampiri rumahnya, tanpa berfikir panjang beliau telah terjun ke tanah
sehingga lupa untuk membawa barang-barang bernilai dan wang ringgit yang
tertinggal di dalam rumahnya. Dalam sekelip mata sahaja rumahnya musnah dijilat
api. Semasa di tengah jalan beliau telah terjumpa sekeping kertas lalu
diambilnya dan ditulis sebuah syair pada kertas itu yang berkisarkan tentang
kebakaran tersebut. Syair tersebut dinamakan sebagai “Syair Singapura Terbakar”.
Diantara bait-bait syair tersebut ialah:
Serta
terpandang api itu menjulang,
Rasanya
maruahku bagaikan hilang;
Dijilatnya
rumah serta barang-barang;
Seperti
anak ayam disambar helang;
Seberang
menyeberang rumah habis rata;
Apinya
cemerlang, tiada membuka mata;
Bunyinya
gempar terlalulah gempita;
Lemahlah
tulang sendi anggota;
Pakaianku
menyalalah seperti kertas;
Limau
manis pun meletup seperti petas;
Orang
menolong pun terlalu pantas;
Merebut
barang-barang terlalu lekas;
Oleh
sebab terlalu terkejut akan peristiwa itu, demam kepialu yang dihadapinya
serta-merta hilang. Disebabkan kejadian itu, tinggallah Abdullah sehelai
sepinggang. Ramai orang menyangka beliau telah meninggal dunia dijilat api
dalam rumahnya. Pada masa itu ramai orang Melaka yang datang berniaga dan
mencari nafkah di Singapura. Abdullah mengambil kesempatan itu untuk mengirim
pesanan untuk balik ke kampong halamannya, terutamanya kepada isteri dan
ibubapanya.
PANDANGAN ABDULLAH
MUNSYI TERHADAP KAUM WANITA
Abdullah
Munsyi seorang yang sangat rapat dengan Raffles. Jadi tidak hairanlah beliau
suka membandingkan kelebihan yang ada pada orang putih tersebut dengan orang
Melayu. Malahan, isteri Raffles juga tidak terlepas daripada menerima pujian
daripada Abdullah sehinggakan beliau menyatakan bahawa isteri Raffles jauh
lebih baik dalam segala-galanya berbanding dengan perempuan Melayu. Abdullah
juga menyeru kaum-kaum perempuan Melayu supaya meniru dan mengikut langkah
isteri Raffles itu sehinggakan Abdullah mangarang sebuah pantun untuk memenuhi
pajuiannya itu. Pantun itu berbunyi:
Puyu-puyu
konon namanya,
Didalam
kolam konon tempatnya,
Cantek
manis barang lakunya,
Serta
dengan manis budi bahasanya.
Selain
itu, Abdullah juga tidak menyetujui sifat perempuan-perempuan Melayu pada zaman
itu kerana tidak tahu mengurus rumah tangga, makan minum dan tidak pandai
melayan anak serta suami. Baginya, mereka hanya leka membuang masa dengan
bersolek dan tidur sahaja. Mereka tidak mahu bertungkus lumus bekerja seperti
perempuan-perempuan bangsa lain yang maju pada zaman itu. Abdullah Munsyi juga
tidak lupa memuji orang perempuan Melayu, iaitu perempuan-perempuan Kelantan
yang rajin menjaja dan menjual serta membuat segala pekerjaan untuk menyara
kehidupan mereka.
PANDANGAN ABDULLAH
MUNSYI TERHADAP ORANG MELAYU
Abdullah
mempunyai pandangan yang negatif terhadap orang Melayu. Bardasarkan
pengalamannya bergaul dengan orang Melayu, beliau beranggapan Orang Melayu suka
mengabaikan bahasa dan tidak menghiraukan bahasa mereka sendiri. Beliau juga
beranggapan bahawa orang Melayu kolot dalam pemikiran kerana percaya terhadap
adat yang karut contohnya seperti adat menjual anak. Selain itu, beliau juga
melahirkan peasaan tidak senangnya kepada pendirian orang Melayu kerana tidak
mahu mempelajari ilmu-ilmu baharu. Beliau pernah mencuba untuk menyedarkan
bangsanya tentang kepentingan ilmu dalam kemajuaan hidup. Malangnya usahanya
sia-sia sahaja malahan ditempelak dan dipulau oleh orang ramai. Beliau juga
melihat orang Melayu ini malas untuk memajukan hidup mereka. Mereka lebih
senang tinggal dalam keaadaan miskin dan menderita.
Di
samping itu, Abdullah Munsyi juga meluahkan rasa kurang senangnya terhadap
sikap orang Melayu yang suka iri hati terhadap orang lain. Baginya, sikap
inilah yang menghalang diri seseorang untuk mencapai kemajuan dalam apa jua
bidang sekalipun. Dalam Kisah Pelayaran Abdullah, beliau menggambarkan sikapnya
yang tidak suka kepada budaya raja Melayu seperti apabila melalui kampong raja
tidak boleh berpayung, memakai kasut dan berpakaian kuning (Abdullah, 1965
:25). Pada fikiran Abdullah, budaya tersebut adalah bodoh dan sia-sia. Abdullah
menunjukkan sikap bencinya terhadap raja-raja yang zalim, kehendak yang tidak
boleh dihalang dan dilarang. Pengalamannya bergaul dengan orang-orang
Inggeris terutama Raffles yang rajin dan bijak serta pemerhatiannya terhadap
sikap raja-raja Melayu yang zalim dan bodoh menyebabkan Abdullah membuat
kesimpulan bahawa bangsa Melayu akan terus bodoh dan mundur seperti tanah yang
tidak berbaja (Shellabear, 1947: 344). Abdullah mencetuskan pandangan
seterusnya iaitu kecamannya terhadap orang Melayu yang dikatakan malas, lalai
dan pengotor ( Musyi Abdullah, 1965:67). Bahasa percakapan orang Melayu
dikatakan terlalu buruk, makanan orang Melayu disebut daripada bahan-bahan yang
busuk-busuk (Musyi Abdullah, 1965:30). Berdasarkan pengamatannya, Abdullah
musyi juga tidak lupa memuji orang Melayu, iaitu perempuan-perempuan Kelantan
yang rajin menjaja dan menjual serta membuat segala pekerjaan untuk menyara kehidupan.
PANDANGAN DAN KOMEN
TERHADAP ABDULLAH MUNSYI
Berdasarkan
karya-karya yang dikarangnya, kita dapat melihat dengan jelas pengalaman, sikap
dan pemikiran Abdullah. Dalam beliau mengarang dan mengolah ceritanya, beliau
adalah seperti seorang wartawan. Hasil karyanya boleh disifatkan sebagai
laporan hasil daripada penglihatan, pemerhatian dan pengalamannya terhadap
keadaan sekeliling pada zaman itu. Karyanya itu mengandungi pembaharuan isi dan
kritikan yang tajam terhadap perkara yang tidak disenangi beliau. Pada keseluruhannya,
personaliti Abdullah Munsyi memperlihatkan tanggungjawab manusia menuntut ilmu,
kerana ia sangat penting dalam kehidupan. Daripada pemikiran ini, Abdullah
ingin melihat bangsanya maju dan berilmu kerana padanya hanya dengan ilmu segala
kemuliaan dapat dicapai. Pemikirannya ini dikuatkan lagi dengan kata-katanya
dalam Hikayat Abdullah:
“
jikalau sekiranya ada umur-umur beribu tahun sekalipun, maka janganlah engkau
takut membelanjakan dia sebab menuntut ilmu itu; kerana dapat dapat tiada
segala hamba Allah dalam dunia ini semuanya menghendaki kebesaran, ilmu itulah
tangganya.”
Selain
daripada itu, kita juga dapat melihat pemikirannya yang menerima pembaharuan
daripada Inggeris, penolakan adat-adat Melayu yang dianggap kolot, kecamannya
kepada raja-raja Melayu dan kepentingan taatkan ajaran agama. Abdullah ternyata
mengharapkan kesedaran bangsanya supaya berusaha mencapai kemajuan dalam
kehidupan. Karya Abdullah Munsyi ini juga telah mencorak langkah ke satu
penulisan yang lebih moden jika kita bandingkan dengan Sejarah Melayu. Sejarah
Melayu yang di salin semula oleh Tun Sri Lanag lebih kepada mengagung-agung
sultan dan pemerintah Melayu pada zaman dahulu. Berbanding dengan penulisan
Abdulah Munsyi di mana beliau langsung mengkritik raja-raja Melayu yang zalim
terhadap rakyat di dalam penulisan beliau. Ini telah memberi satu fenomena baru
di dalam penulisan di Tanah Melayu pada zaman dahulu. Berdasar pemerhatian umum
terhadap karya-karya beliau, kelemahan yang paling ketara sekali ialah dalam
penggunaan tarikh dan tahun semasa penulisan karya ini. Dalam bidang sejarah
fakta iaitu tarikh sebenar berlakunya sesuatu peristiwa amat penting sekali
untuk kita membuktikan bahawa peristiwa itu benar-benar berlaku. Jika dengan meneka
sahaja tarikh yang berlaku maka itu tidak dianggap sebagai fakta sejarah. Jadi
karya Abdullah Munsyi ini kita tidak boleh menggunakan sepenuhnya kerana
didalamnya tiada tarikh dan tahun yang tepat digunakan oleh beliau.
PENUTUP
Secara
keseluruhannya, hikayat Abdullah Munsyi ini sebenarnya telah memberikan kesan
yang sangat mendalam terhadap pembangunan masyrakat Melayu khususnya terhadap
kaum Melayu pada zaman itu. Walaupun bentuk catatan yang ditulis oleh Abdullah dalam hikayat ini mengkritik tajam
perwatakan orang tempatan terutamanya orang Melayu, namun implikasinya perlu
diambil secara positif. Hal ini demikian kerana berkemungkinan kritikan beliau
itu berunsur perlian yang menginginkan kaum Melayu bangkit untuk memajukan
kehidupan mereka. Kita tidak boleh memandang pendiriannya berdasarkan ego dan
kata hati kerana kata-katanya. Jasa beliau dalam memartabatkan penggunaan
bahasa Melayu tidak perlu dipertikaikan lagi kerana beliaulah orang penting
yang memperkenalkan bahasa Melayu kepada dunia luar. Semasa hayatnya, segala
pengorbanan yang dicurahkan oleh beliau langsung tidak mendapat faedah serta
sanjungan daripada rakyat tempatan, malah orang-orang Inggeris pula yang
mencari sumber kewangan hasil daripada usaha yang dicurahkan oleh Abdullah.
Abdullah hidup penuh dengan kemiskinan dan penyeksaan tetapi orang-orang
Inggerislah yang mengutip kekayaan dari titik peluhnya.
Oleh
hal yang demikian, kita perlu sedar bahawa segala pengorbanan yang dicurahkan
oleh masyarakat tempatan perlulah digunakan untuk kepentingan masyrakat itu
sendiri, bukannya untuk kepentingan orang asing. Bagi membentuk unit masyarakat
yang dipandang tinggi oleh orang asing, peranan daripada individu itu sendiri
harus diambil kira kerana diri sendirilah yang menjadi titik permulaan dalam
usaha membangunkan sebuah tamadun masyarakat yang berjaya pada masa akan
datang.
TERIMA KASIH
BIBLIOGRAFI
Abdul
Halim Ali (2011). Pengantar Teori &
Kritikan Sastera: Barat dan Malaysia. Selangor: Univision Press Sdn. Bhd
Zahrah
Ibrahim (1986). Sastera Sejarah
Interpretasi dan Penilaian. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka,
Kementerian Pelajaran Malaysia.
Zahari
A. Rahsid (2008). Kenang-kenangan
Abdullah Munsyi. Selangor. IBS Buku Sdn. Bhd.
Ismail
Yusof (2008). Kesusasteraan Melayu Lama
dan Baru. Kedah: Universiti Utara Malaysia.
Siti
Hawa Haji Salleh (2009). Kelopak
Pemikiran Sastera Melayu. Selangor: Universiti Kebangsaan Malaysia.
Hamzah
Hamdani (2007). Hikayat Abdullah.
Selangor. PTS Profesional Publishing Sdn. Bhd.
Munsyi
Abdullah (2009). Hikayat Abdullah.
Kuala Lumpur: The Malaysian Branch of The Royal Asiantic Socirty (MBRAS).
Darus
Ahmad (1957). Munsyi Abdullah. Bayan
Lepas, Pulau Pinang: Sinaran Bros.
Amin
Sweeney (2005). Karya Lengkap Abdullah
bin Abdul Kadir Munsyi Jilid 1. Jakarta Selatan, Indonesia: KPG (
Kepustakaan Popular Gramedia.).
http://www.scribd.com/doc/5195922/Abdullah-Munsyi
No comments:
Post a Comment