ayat bergerak
JUMLAH PENGUNJUNG
Wednesday, April 30, 2014
SEJARAH KELAHIRAN ABDULLAH MUNSYI
SEJARAH KELAHIRAN
ABDULLAH MUNSYI
Abdullah
Munsyi dilahirkan pada hari ahad, 7 safar tahun 1211 hijrah di Kampung Masjid.
Beliau merupakan anak bongsu daripada empat orang adik-beradik. Ketiga-tiga
orang abangnya meninggal dunia semasa kecil iaitu setelah berumur setahun, dua
tahun dan tiga tahun. Menurut riwayat, beliau berasal daripada keturunan arab
yang berbangsa Othmani yang dinasabkan daripada datuknya iaitu Shaikh Abdul
Kadir.
Sebelum
Abdullah Munsyi dilahirkan, ibunya sangat sedih kerana keempat-empat orang
adik-beradiknya meninggal dunia. Hampir setiap hari ibunya menangis
mengenangkan nasib yang menimpa dirinya. Pada suatu hari, telah datang seorang
arab yang bernama Habib Abdullah ke Melaka dan orang ramai menggangapnya
seorang yang warak dan mempunyai keramat. Kesedihannya ini diketahui oleh Habib
Abdullah. Pada suatu hari, Tuan Habib menjemput bapa Abdullah Munsyi ke
rumahnya dan berpesan supaya menasihati isterinya untuk tidak bersedih kerana
seorang anak lelaki akan lahir dalam keluarga mereka tidak lama lagi. Tuan
Habib itu berpesan lagi supaya meletakkan nama bayi tersebut serupa dengan
namanya apabila bayi itu dilahirkan kelak.
Semasa kecil, Abdullah Munsyi sering ditimpa
sakit terutamanya selepas usianya menjangkau empat bulan. Abdullah Munsyi telah
dijual kepada orang ramai beberapa kali kerana kesihatannya yang sering
terganggu dan ibubapanya dikatakan tidak serasi untuk membelanya. Keadaan
Abdullah ini menyebabkan kesihatan ibunya terganggu dan tidak dapat disusukan
oleh ibunya. Semasa berumur enam tahun, Abdullah telah diserang penyakit buang
air berdarah selama setahun. Pelbagai kaedah perubatan yang digunakan untuk
menyembuhkan penyakitnya itu. Akhirnya penyakitnya sembuh dan beliau membesar
serta diberikan didikan yang sebaiknya oleh kedua ibubapanya.
SEJARAH PENDIDIKAN AWAL
ABDULLAH MUNSYI
Abdullah
Munsyi dibesarkan didalam situasi yang mementingkan pelajaran. Bapa dan neneknya
merupakan orang yang berpengetahuan. Neneknya merupakan seorang guru besar di
Kampung Pali yang mengajar anak-anak di kampung itu mengaji Al-Quran. Ketika
Abdullah berumur enam tahun, beliau sentiasa bergaul dengan kanak-kanak yang
belajar membaca, menulis dan membaca lalu mendorong semangatnya untuk belajar. Semasa
Abdullah berumur tujuh tahun, beliau telah diberikan sebuah permainan loh dan
resam. Beliau lebih cepat pandai menulis dan membaca dengan bantuan permainan
ini.
Akan tetapi, Abdullah masih belum menghabiskan
satu juz Al-Quran dan keadaan ini amat membimbangkan ayahnya. Ayahnya sangat
mementingkan pelajaran dan bersikap tegas terhadapnya sehinggakan segala
sungutan daripada Abdullah tidak dipedulikan oleh ayahnya. Sikap ayahnya itu
menyebabkan Abdullah merasa tertekan dan Abdullah pernah berharap ayahnya cepat
menemui ajal supaya beliau dapat bebas bermain ke mana sahaja yang beliau mahu.
Ayahnya tidak pernah memujinya walaupun perbuatan Abdullah amat memuaskan
hatinya. Ayahnya berpendapat bahawa pujian akan menyebabkan Abdullah menjadi
malas untuk berusaha. Dalam pelajaran Al-Quran, kepandaian beliau lebih
terserlah berbanding teman-temannya yang lain sehinggankan beliau menjadi
pelajar yang terbaik di kalangan pelajar di madrasah itu.
Abdullah
mempunyai minat yang mendalam terhadap pelajaran. Selain mempelajari bahasa
Melayu, beliau juga turut mempelajari bahsa Tamil dan Bahasa Arab. Manakala
bahasa Inggeris pula dipelajari daripada paderi-paderi Inggeris. Antara guru
bahasa Melayunya ialah Datuk Sulaiman dan Datuk Astar. Beliau mendalami
Al-Quran dengan seorang Arab yang bernama Mualim Muhai dan beliau turut
mendalami bahasa Melayu dengan Sayid Syeikh bin Alwi. Semasa berumur 27 tahun,
beliau telah belajar bahasa Inggeris daripada seorang paderi yang datang ke
Melaka iaitu Tuan Milne. Selain itu, beliau juga belajar dengan Tuan Doktor
Marisson yang pandai berbahasa Cina. Beliau juga belajar mengenai Injil Matius
(dalam bahasa Inggeris) daripada Doktor Marisson. Ketika beliau menjadi guru
bahasa Melayu, beliau telah belajar menggunakan alat cap huruf dengan Tuan
Medhurst dan Tuan Thomsen.
Di
samping itu, Abdullah Munsyi juga turut belajar di maktab Anglo-Chinese College
yang didirikan oleh Tuan Milne. Beliau telah menjadi pendorong terhadap orang lain
untuk belajar di maktab tersebut. Ramai orang yang cemburu melihat kegigihan
Abdullah menuntut ilmu, mereka memanggilnya sebagai “Abdullah Paderi”. Gelaran
tersebut diberikan untuk menyakiti hati Abdullah dan berharap Abdullah berhenti
belajar bahasa Inggeris dengan orang Inggeris.
SEJARAH NEGERI
SINGAPURA
Abdullah
menceritakan tentang Farquhar yang telah mendapat perintah daripada Raffles
untuk mencari sebuah kawasan di selatan Selat Melaka. Setelah beberapa hari
pulau demi pulau dilalui tiada satu pulau yang berkenaan di hati Farquhar,
sehinggalah beliau menjumpai Singapura. Pada masa itu, Singapura hanya
dikelilingi hutan dan tidak ramai orang Melayu yang diketuai oleh Temenggong
Abdul Rahman yang tinggal di situ. Kemudian, mereka telah menyambut kadatangan
Raffles bersama-sama empat buah kapalnya. Namun begitu, Farquhar masih belum
menjemput Tengku Long di Riau dan menyebabkan Farquhar tidak mahu menjejakkan
kaki ke Singapura selagi Tengku Long masih belum sampai. Sebelum Tengku Long
belayar ke Singapura, perasaan bimbang masih terasa kerana takut akan
dikhianati oleh Inggeris. Setelah mereka mendapat persetujuan hendak belayar ke
Singapura, mereka terus belayar pada malam itu juga tanpa pengetahuan sesiapa,
Tengku Long disambut oleh Temenggong Abdul Rahman dan Farquhar lalu diajak
untuk berjumpa dengan Raffles bagi membuat rundingan. Setelah rundingan
tersebut dilakukan, Raffles telah menjadikan Tengku Long sebagai Yang
Di-Pertuan di Singapura.
Setelah
penghormatan diberikan oleh Raffles kepada Yang Di-Pertuan Tengku Long, Raffles
pun balik ke kapalnya semula. Semenjak hari itu, Tengku Long mula bergelar
Sultan Husain Shah telah memerintahkan Temenggong Abdul Rahman untuk membina
sebuah istana. Setelah Raffles dan orang-orangnya pulang, maka bermulalah
pentadbiran di pulau Singapura tersebut oleh Sultan bersama orang Inggeris dan
Temenggong sendiri. Rumah-rumah dan gudang-gudang semakin banyak yang dibina.
Hal ini telah menarik pedagang-pedagang untuk berniaga di Singapura. Hari demi
hari, Singapura semakin maju. Orang-orang Melayu di Melaka juga tidak
melepaskan peluang untuk mencari pekerjaan di sana bagi mengubah nasib hidup
mereka, termasuklah Abdullah.
SEJARAH PELAYARAN
ABDULLAH MUSHYI KE PANTAI TIMUR
Dalam
lawatan Abdullah Munsyi ke Pahang, beliau menceritakan mengenai keadaan
orang-orang Pahang yang pengotor dan tidak mempedulikan kesihatan serta
kebersihan. Menurut Abdullah lagi, tempat tinggal, pasar-pasar dan
tempat-tempat jualan sangat kotor dan dipenuhi dengan sampah sarap. Semua orang
yang ada pada masa itu tidak mempedulikan kebersihan di tempat mereka. Manakala
dalam lawatan beliau ke Kelantan dan Terengganu, beliau melihat kaum lelaki di
negeri tersebut suatu ketika dahulu sangat malas dan hanya duduk-duduk di pasar
sahaja manakala kaum wanita pula yang rajin bekerja menjalankan perniagaan.
Akan
tetapi, beliau juga memberi pandangan yang sinis terhadap peniaga-peniaga ini
kerana menjual jenis makanan yang busuk seperti tempoyak, budu, cencalok dan
lain-lain lagi. Beliau menghina orang-orang Melayu di Terengganu dan Kelatan
tidak tahu makan makanan yang baik dan berkhasiat seperti telur, mentega,
minyak sapi dan lain-lain lagi. Selain itu, beliau juga mempunyai pandangan
yang tersendiri tentang nasib rakyat di kedua negeri tersebut, kebanyakan
rakyat hidup dalam keadaan teranianya oleh rajanya yang zalim dan suka merampas
harta benda rakyat apabila mereka mempunyai harta. Di samping itu, anak-anak
raja suka membangkitkan huru-hara dan kacau bilau di kedua negeri tersebut.
Malahan pengikut-pengikut dan pengiring-pengiringnya akan mendapat perlindungan
sepenuhnya oleh pihak raja apabila disebut sebagai “ Orang Dalam” atau “ Orang
Raja”. Gelaran tersebut menyebabkan masyarakat lain pada masa itu tidak berani
untuk membantah. Setelah beliau menyelidik, barulah beliau tahu sebab-sebab
mengapa rakyat tunduk kepada pemerintah yang zalim tersebut. Hal ini demikian,kerana
kalau bekerja kuat sekali pun tiada guna kerana harta mereka akan dirampas.
Mereka lebih suka tidak berbuat apa-apa dan tidak mahu memajukan hidup mereka.
SEJARAH PEPERANGAN
MELAKA
Keadaan
ini terjadi semasa Abdullah menetap di Singapura. Beliau mendengar khabar
bahawa pihak Inggeris mahu menyerang Naning yang ketika itu diketuai oleh Dato’
Dol Said. Apabila mendengar berita tersebut, beliau terus pulang ke Melaka
untuk untuk menyaksikan sendiri peristiwa itu. Apabila tiba di Melaka, beliau
melihat orang-orang di Melaka masing-masing bersiap sedia dengan senjata
mereka. Pada masa itu juga, Abdullah melihat setiap orang Melayu di Melaka
membawa senjata dan ramai juga di antara mereka menempah senjata di rumah
tukang besi. Selepas tiga hari sampai ke Melaka, askar-askar Inggeris berangkat
untuk pergi ke Naning. Maka gemparlah orang-orang di Melaka mengatakan bahawa
askar Inggeris sedang mengamuk. Akan tetapi, askar-askar Inggeris kembali
berundur tiga hari kemudian kerana mereka telah dikepung oleh orang-orang
Naning. Segala kelengkapan peperangan askar-askar Inggeris ditinggalkan begitu
sahaja semasa mereka melarian diri.
Sementara
itu, kekuatan yang ada pada orang-orang Naning beransur kurang.
Pengikut-pengikut Dol Said mula belot terhadapnya dan enggan meneruskan
perjuangan bersama Dol Said lagi. Keadaan itu menyebabkan Dol Said melarikan
diri ke hutan untuk mengumpul kembali kekuatannya hendak menyerang balas
menentang Inggeris. Akan tetapi pengikut-pengikut berpecah dan menyebabkan
kekuatan itu hilang. Akhirnya Dol Said keluar dari hutan dan menyerah diri
kepada pemerintah Inggeris di Melaka.
SINGAPURA TERBAKAR
Dalam
Hikayat Abdullah, menceritakan bahawa dikatakan setiap malam terdapat kes pergaduhan,
samun dan pembunuhan dengan sengaja yang berlaku di Singapura. Hal ini demikian
kerana di Singapura terdapat sekumpulan kongsi gelap China yang sangat besar
iaitu Thein Tei Hoe yang mempunyai ramai pengikutnya. Oleh kerana bilanganya
yang ramai, agak sukar untuk pegawai-pegawai keamanan di negeri tersebut
menghapuskan mereka. Tambahan pula mereka mengetahui perancangan pemerintah
tersebut untuk menangkap mereka dan menyiapkan persediaan untuk menentang
pemerintah tersebut. Setelah beberapa lama tinggal di Singapura, Abdullah telah
menhidapi demam kepialu. Beliau berniat untuk pulang ke Melaka tetapi hajatnya
itu terpaksa dibatalkan kerana beliau ingin melihat sambutan tahun baru cina di
tempatnya. Tiba-tiba pada suatu malam semasa beliau sedang berehat di rumahnya,
beliau telah mendengar suara teriakan “api! api!”. Beliau terus bangun dan
menjenguk ke luar tingkap. Beliau telah melihat rumah-rumah yang berhampiran
rumahnya habis dijilat api, kebakaran itu berpunca daripada api mercun yang
dicucuh oleh budak-budak Cina di kawasan itu. Apabila melihat api semakin
menghampiri rumahnya, tanpa berfikir panjang beliau telah terjun ke tanah
sehingga lupa untuk membawa barang-barang bernilai dan wang ringgit yang
tertinggal di dalam rumahnya. Dalam sekelip mata sahaja rumahnya musnah dijilat
api. Semasa di tengah jalan beliau telah terjumpa sekeping kertas lalu
diambilnya dan ditulis sebuah syair pada kertas itu yang berkisarkan tentang
kebakaran tersebut. Syair tersebut dinamakan sebagai “Syair Singapura Terbakar”.
Diantara bait-bait syair tersebut ialah:
Serta
terpandang api itu menjulang,
Rasanya
maruahku bagaikan hilang;
Dijilatnya
rumah serta barang-barang;
Seperti
anak ayam disambar helang;
Seberang
menyeberang rumah habis rata;
Apinya
cemerlang, tiada membuka mata;
Bunyinya
gempar terlalulah gempita;
Lemahlah
tulang sendi anggota;
Pakaianku
menyalalah seperti kertas;
Limau
manis pun meletup seperti petas;
Orang
menolong pun terlalu pantas;
Merebut
barang-barang terlalu lekas;
Oleh
sebab terlalu terkejut akan peristiwa itu, demam kepialu yang dihadapinya
serta-merta hilang. Disebabkan kejadian itu, tinggallah Abdullah sehelai
sepinggang. Ramai orang menyangka beliau telah meninggal dunia dijilat api
dalam rumahnya. Pada masa itu ramai orang Melaka yang datang berniaga dan
mencari nafkah di Singapura. Abdullah mengambil kesempatan itu untuk mengirim
pesanan untuk balik ke kampong halamannya, terutamanya kepada isteri dan
ibubapanya.
PANDANGAN ABDULLAH
MUNSYI TERHADAP KAUM WANITA
Abdullah
Munsyi seorang yang sangat rapat dengan Raffles. Jadi tidak hairanlah beliau
suka membandingkan kelebihan yang ada pada orang putih tersebut dengan orang
Melayu. Malahan, isteri Raffles juga tidak terlepas daripada menerima pujian
daripada Abdullah sehinggakan beliau menyatakan bahawa isteri Raffles jauh
lebih baik dalam segala-galanya berbanding dengan perempuan Melayu. Abdullah
juga menyeru kaum-kaum perempuan Melayu supaya meniru dan mengikut langkah
isteri Raffles itu sehinggakan Abdullah mangarang sebuah pantun untuk memenuhi
pajuiannya itu. Pantun itu berbunyi:
Puyu-puyu
konon namanya,
Didalam
kolam konon tempatnya,
Cantek
manis barang lakunya,
Serta
dengan manis budi bahasanya.
Selain
itu, Abdullah juga tidak menyetujui sifat perempuan-perempuan Melayu pada zaman
itu kerana tidak tahu mengurus rumah tangga, makan minum dan tidak pandai
melayan anak serta suami. Baginya, mereka hanya leka membuang masa dengan
bersolek dan tidur sahaja. Mereka tidak mahu bertungkus lumus bekerja seperti
perempuan-perempuan bangsa lain yang maju pada zaman itu. Abdullah Munsyi juga
tidak lupa memuji orang perempuan Melayu, iaitu perempuan-perempuan Kelantan
yang rajin menjaja dan menjual serta membuat segala pekerjaan untuk menyara
kehidupan mereka.
PANDANGAN ABDULLAH
MUNSYI TERHADAP ORANG MELAYU
Abdullah
mempunyai pandangan yang negatif terhadap orang Melayu. Bardasarkan
pengalamannya bergaul dengan orang Melayu, beliau beranggapan Orang Melayu suka
mengabaikan bahasa dan tidak menghiraukan bahasa mereka sendiri. Beliau juga
beranggapan bahawa orang Melayu kolot dalam pemikiran kerana percaya terhadap
adat yang karut contohnya seperti adat menjual anak. Selain itu, beliau juga
melahirkan peasaan tidak senangnya kepada pendirian orang Melayu kerana tidak
mahu mempelajari ilmu-ilmu baharu. Beliau pernah mencuba untuk menyedarkan
bangsanya tentang kepentingan ilmu dalam kemajuaan hidup. Malangnya usahanya
sia-sia sahaja malahan ditempelak dan dipulau oleh orang ramai. Beliau juga
melihat orang Melayu ini malas untuk memajukan hidup mereka. Mereka lebih
senang tinggal dalam keaadaan miskin dan menderita.
Di
samping itu, Abdullah Munsyi juga meluahkan rasa kurang senangnya terhadap
sikap orang Melayu yang suka iri hati terhadap orang lain. Baginya, sikap
inilah yang menghalang diri seseorang untuk mencapai kemajuan dalam apa jua
bidang sekalipun. Dalam Kisah Pelayaran Abdullah, beliau menggambarkan sikapnya
yang tidak suka kepada budaya raja Melayu seperti apabila melalui kampong raja
tidak boleh berpayung, memakai kasut dan berpakaian kuning (Abdullah, 1965
:25). Pada fikiran Abdullah, budaya tersebut adalah bodoh dan sia-sia. Abdullah
menunjukkan sikap bencinya terhadap raja-raja yang zalim, kehendak yang tidak
boleh dihalang dan dilarang. Pengalamannya bergaul dengan orang-orang
Inggeris terutama Raffles yang rajin dan bijak serta pemerhatiannya terhadap
sikap raja-raja Melayu yang zalim dan bodoh menyebabkan Abdullah membuat
kesimpulan bahawa bangsa Melayu akan terus bodoh dan mundur seperti tanah yang
tidak berbaja (Shellabear, 1947: 344). Abdullah mencetuskan pandangan
seterusnya iaitu kecamannya terhadap orang Melayu yang dikatakan malas, lalai
dan pengotor ( Musyi Abdullah, 1965:67). Bahasa percakapan orang Melayu
dikatakan terlalu buruk, makanan orang Melayu disebut daripada bahan-bahan yang
busuk-busuk (Musyi Abdullah, 1965:30). Berdasarkan pengamatannya, Abdullah
musyi juga tidak lupa memuji orang Melayu, iaitu perempuan-perempuan Kelantan
yang rajin menjaja dan menjual serta membuat segala pekerjaan untuk menyara kehidupan.
PANDANGAN DAN KOMEN
TERHADAP ABDULLAH MUNSYI
Berdasarkan
karya-karya yang dikarangnya, kita dapat melihat dengan jelas pengalaman, sikap
dan pemikiran Abdullah. Dalam beliau mengarang dan mengolah ceritanya, beliau
adalah seperti seorang wartawan. Hasil karyanya boleh disifatkan sebagai
laporan hasil daripada penglihatan, pemerhatian dan pengalamannya terhadap
keadaan sekeliling pada zaman itu. Karyanya itu mengandungi pembaharuan isi dan
kritikan yang tajam terhadap perkara yang tidak disenangi beliau. Pada keseluruhannya,
personaliti Abdullah Munsyi memperlihatkan tanggungjawab manusia menuntut ilmu,
kerana ia sangat penting dalam kehidupan. Daripada pemikiran ini, Abdullah
ingin melihat bangsanya maju dan berilmu kerana padanya hanya dengan ilmu segala
kemuliaan dapat dicapai. Pemikirannya ini dikuatkan lagi dengan kata-katanya
dalam Hikayat Abdullah:
“
jikalau sekiranya ada umur-umur beribu tahun sekalipun, maka janganlah engkau
takut membelanjakan dia sebab menuntut ilmu itu; kerana dapat dapat tiada
segala hamba Allah dalam dunia ini semuanya menghendaki kebesaran, ilmu itulah
tangganya.”
Selain
daripada itu, kita juga dapat melihat pemikirannya yang menerima pembaharuan
daripada Inggeris, penolakan adat-adat Melayu yang dianggap kolot, kecamannya
kepada raja-raja Melayu dan kepentingan taatkan ajaran agama. Abdullah ternyata
mengharapkan kesedaran bangsanya supaya berusaha mencapai kemajuan dalam
kehidupan. Karya Abdullah Munsyi ini juga telah mencorak langkah ke satu
penulisan yang lebih moden jika kita bandingkan dengan Sejarah Melayu. Sejarah
Melayu yang di salin semula oleh Tun Sri Lanag lebih kepada mengagung-agung
sultan dan pemerintah Melayu pada zaman dahulu. Berbanding dengan penulisan
Abdulah Munsyi di mana beliau langsung mengkritik raja-raja Melayu yang zalim
terhadap rakyat di dalam penulisan beliau. Ini telah memberi satu fenomena baru
di dalam penulisan di Tanah Melayu pada zaman dahulu. Berdasar pemerhatian umum
terhadap karya-karya beliau, kelemahan yang paling ketara sekali ialah dalam
penggunaan tarikh dan tahun semasa penulisan karya ini. Dalam bidang sejarah
fakta iaitu tarikh sebenar berlakunya sesuatu peristiwa amat penting sekali
untuk kita membuktikan bahawa peristiwa itu benar-benar berlaku. Jika dengan meneka
sahaja tarikh yang berlaku maka itu tidak dianggap sebagai fakta sejarah. Jadi
karya Abdullah Munsyi ini kita tidak boleh menggunakan sepenuhnya kerana
didalamnya tiada tarikh dan tahun yang tepat digunakan oleh beliau.
PENUTUP
Secara
keseluruhannya, hikayat Abdullah Munsyi ini sebenarnya telah memberikan kesan
yang sangat mendalam terhadap pembangunan masyrakat Melayu khususnya terhadap
kaum Melayu pada zaman itu. Walaupun bentuk catatan yang ditulis oleh Abdullah dalam hikayat ini mengkritik tajam
perwatakan orang tempatan terutamanya orang Melayu, namun implikasinya perlu
diambil secara positif. Hal ini demikian kerana berkemungkinan kritikan beliau
itu berunsur perlian yang menginginkan kaum Melayu bangkit untuk memajukan
kehidupan mereka. Kita tidak boleh memandang pendiriannya berdasarkan ego dan
kata hati kerana kata-katanya. Jasa beliau dalam memartabatkan penggunaan
bahasa Melayu tidak perlu dipertikaikan lagi kerana beliaulah orang penting
yang memperkenalkan bahasa Melayu kepada dunia luar. Semasa hayatnya, segala
pengorbanan yang dicurahkan oleh beliau langsung tidak mendapat faedah serta
sanjungan daripada rakyat tempatan, malah orang-orang Inggeris pula yang
mencari sumber kewangan hasil daripada usaha yang dicurahkan oleh Abdullah.
Abdullah hidup penuh dengan kemiskinan dan penyeksaan tetapi orang-orang
Inggerislah yang mengutip kekayaan dari titik peluhnya.
Oleh
hal yang demikian, kita perlu sedar bahawa segala pengorbanan yang dicurahkan
oleh masyarakat tempatan perlulah digunakan untuk kepentingan masyrakat itu
sendiri, bukannya untuk kepentingan orang asing. Bagi membentuk unit masyarakat
yang dipandang tinggi oleh orang asing, peranan daripada individu itu sendiri
harus diambil kira kerana diri sendirilah yang menjadi titik permulaan dalam
usaha membangunkan sebuah tamadun masyarakat yang berjaya pada masa akan
datang.
TERIMA KASIH
BIBLIOGRAFI
Abdul
Halim Ali (2011). Pengantar Teori &
Kritikan Sastera: Barat dan Malaysia. Selangor: Univision Press Sdn. Bhd
Zahrah
Ibrahim (1986). Sastera Sejarah
Interpretasi dan Penilaian. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka,
Kementerian Pelajaran Malaysia.
Zahari
A. Rahsid (2008). Kenang-kenangan
Abdullah Munsyi. Selangor. IBS Buku Sdn. Bhd.
Ismail
Yusof (2008). Kesusasteraan Melayu Lama
dan Baru. Kedah: Universiti Utara Malaysia.
Siti
Hawa Haji Salleh (2009). Kelopak
Pemikiran Sastera Melayu. Selangor: Universiti Kebangsaan Malaysia.
Hamzah
Hamdani (2007). Hikayat Abdullah.
Selangor. PTS Profesional Publishing Sdn. Bhd.
Munsyi
Abdullah (2009). Hikayat Abdullah.
Kuala Lumpur: The Malaysian Branch of The Royal Asiantic Socirty (MBRAS).
Darus
Ahmad (1957). Munsyi Abdullah. Bayan
Lepas, Pulau Pinang: Sinaran Bros.
Amin
Sweeney (2005). Karya Lengkap Abdullah
bin Abdul Kadir Munsyi Jilid 1. Jakarta Selatan, Indonesia: KPG (
Kepustakaan Popular Gramedia.).
http://www.scribd.com/doc/5195922/Abdullah-Munsyi
UNSUR MITOS DALAM SULALATUS SALATIN
MITOS, sebagaimana yang diketahui umum, adalah suatu unsur dongeng atau kejadian luar biasa yang tidak dapat diterima logik akal tetapi diketengahkan sebagai suatu peristiwa yang benar-benar terjadi. Peristiwa yang berlaku itu sama ada yang berlegar di sekitar kehidupan manusia, haiwan, ataupun alam semesta - kelihatan pelik, janggal, dan melampaui lumrah alam. Walau bagaimanapun, penilaian terhadap ketakwajaran unsur mitos itu adalah mengikut acuan zaman moden sedangkan pemilik unsur tersebut, yakni masyarakat silam, meyakini bahawa mitos tersebut memang benar-benar berlaku.
Dalam konteks Sulalatus Salatin Sejarah Melayu, unsur mitos merupakan sebahagian daripada ciri yang signifikan, terutama pada bahagian awal teks tersebut. Kewujudan unsur mitos dalam teks tersebut berkait rapat dengan realiti kehidupan masyarakat Melayu pada zaman itu yang masih berada dalam lingkungan pengaruh Hindu dan animisme yang kuat.
CIRI-CIRI MITOS
1. Mitos dianggap sebagai kejadian atau peristiwa yang benarbenar berlaku - cerita mitos dianggap benar-benar berlaku pada zaman silam. Keyakinan tersebut, sesetengahnya, telah membentuk sistem nilai mereka dan seterusnya diwarisi dari satu generasi ke satu generasi. Mitos berbeza daripada unsurunsur dongeng.
2. Mitos dianggap suci - kesucian ini terbit kerana mitos kaya dengan unsur-unsur kedewaan yang diyakini oleh masyarakat Melayu pada zaman silam. Kepercayaan tersebut terbentuk sebagai hasil daripada pengaruh animisme dan ajaran agama Hindu.
3. Mitos kaya dengan unsur-unsur alam ghaib - keyakinan masyarakat Melayu zaman silam terhadap kewujudan alam ghaib sangat tebal. Mereka percaya bahawa sesuatu yang ghaib itu, seperti kewujudan kuasa makhluk-makhluk halus (jin, syaitan, penunggu, puaka) dan alam kayangan atau alam dewa dewi dapat mempengaruhi kehidupan mereka. Malah, dalam konteks alam kayangan, masyarakat Melayu pada zaman itu yakin bahawa mereka dapat Baling berhubungan (bersahabat atau berseteru) antara satu sama lain.
4. Mitos kaya dengan peristiwa atau kejadian yang luar biasa, ganjil, dan aneh - masyarakat Melayu zaman silam mempercayai bahawa setiap kejadian luar biasa, ganjil, atau aneh mempunyai tujuan-tujuan atau alamat-alamat yang tertentu. Hal ini berlaku sebagai hasil daripada keakraban hubungan masyarakat Melayu dengan flora dan fauna di sekeliling mereka.
JENIS-JENIS MITOS
Mitos dalam Sulalatus Salatin Sejarah Melayu dapat dibahagikan kepada empat jenis, iaitu:
1 mitos asal usul raja;
2 mitos pembukaan negeri;
3 mitos kedatangan Islam; dan
4 mitos-mitos lain.
Mitos Asal Usul Raja
Sulalatus Salatin Sejarah Melayu, dalam upaya hendak meningkatkan martabat dan kedudukan raja-raja Melayu, khususnya raja Melaka, telah mengaitkan bahawa raja-raja tersebut berasal usul daripada keturunan Raja Iskandar ZulKarnain, Nabi Sulaiman, clan Nusyirwan Adil. Pertalian ini bermula apabila Raja Suran (cucu Raja Sulan) telah masuk ke dasar laut dan berkahwin dengan Puteri Mahtabu'l-Bahri dari negeri Dika. Perkahwinan tersebut telah menghasilkan tiga orang putera - Nila Pahlawan, Krisyna Pandita, dan Nila Utama. Ketiga-tiga putera ini telah naik ke bumi dan mendarat di Bukit Si Guntang, Palembang. Keistimewaan dan keluarbiasaan yang dimiliki mereka telah membolehkan mereka menjadi raja - Nila Pahlawan menjadi raja di Minangkabau; Krisyna Pandita menjadi raja di Tanjung Pura; Nila Utama pula menjadi raja di Palembang dan seterusnya di Temasek dengan gelaran Seri Teri Buana. Seri Teri Buanalah yang kemudiannya mengembangkan keturunan raja-raja Melaka.
Mitos Pembukaan Negeri
Sulalatus Salatin Sejarah Melayu banyak juga mengetengahkan mitos yang berkaitan dengan pembukaan sesebuah negeri. Dalam hal memilih dan memberikan nama negeri ini, penamaan tersebut dibuat berdasar kepada keyakinan para raja terhadap sesuatu keganjilan dan kejadian luar biasa yang pada pandangan mereka akan mendatangkan keberuntungan kepada negeri tersebut. Antaranya termasuklah:
1. Pembukaan negeri Singapura yang dikaitkan dengan peristiwa kemunculan seekor binatang yang bernama “Singa”
2. Pembukaan negeri Melaka yang dikaitkan dengan peristiwa seekor pelanduk putih yang telah mengalahkan anjing;
3. Pembukaan Semundra yang dikaitkan dengan peristiwa Merah Silu bertemu dengan seekor semut besar seperti kucing.
4. Pembukaan Pasai yang dikaitkan dengan peristiwa anjing Sultan Maliku's-Salleh yang bernama si Pasai menyalak di suatu kawasan tanah tinggi.
Mitos Kedatangan Islam
Sebagaimana mitos asal usul, tujuan mitos kedatangan Islam ini diselitkan dalam Sulalatus Salatin Sejarah Melayu adalah untuk mengangkat darjat raja-raja Melayu. Ada dua peristiwa yang memerihalkan mitos kedatangan Islam ini, iaitu:
1. kedatangan Islam di Semundra yang dikaitkan dengan peristiwa Merah Silu bermimpi bertemu dengan Nabi Muhammad s. a. w. Dalam mimpi itu, Nabi Muhammad s. a. w. telah meludah ke dalam mulut Merah Silu dan sebagai hasilnya, Merah Silu dapat mengaji pada keesokan harinya manakala tubuhnya pula berbau narawastu.
2. kedatangan Islam di Melaka yang dikaitkan dengan peristiwa Raja Kecil Besar (Sultan Muhammad Syah) telah diislamkan oleh Nabi Muhammad s. a. w. melalui mimpi. Dalam mimpi itu, dikatakan bahawa Raja Kecil Besar telah diajar mengucap dua kalimah syahadat, dikhatankan, dan diberi nama Islam. Keesokannya, semua yang dimimpikan oleh baginda menjadi kenyataan dan tubuh baginda turut berbau narawastu.
Mitos-mitos Lain
Dalam teks Sulalatus Salatin Sejarah Melayu, terdapat beberapa peristiwa berunsur mitos yang ditulis untuk tujuan yang khusus. Antaranya termasuklah untuk menggambarkan kepercayaan sesuatu anggota masyarakat ataupun untuk mengkritik raja secara halus. Yang berikut adalah antara beberapa contoh mitos tersebut :
1. Peristiwa Badang menjadi gagah setelah makan muntah hantu - Badang telah beroleh kekuatan dan kegagahan yang sangat luar biasa setelah memakan muntah hantu yang mencuri hasil tangkapannya. Kegagahan Badang yang luar biasa itu telah membolehkan dia mencabut pokok-pokok kayu Yang besar dengan akarnya sekali dan hal ini menggembirakan majikannya kerana ladangnya telah dapat dibersihkan dalam masa yang singkat.
2. Peristiwa ikan todak menyerang Singapura - peristiwa ini berlaku semasa Singapura diperintah oleh Paduka Seri Maharaja. Banyak rakyat negeri itu yang mati ditikam oleh ikan todak yang mampu melompat hingga ke pantai. Untuk mengatasi serangan tersebut, Paduka Seri Maharaja telah memerintahkan rakyatnya berkubukan betis tetapi perintah itu lebih banyak menyebabkan kematian dan kecederaan kepada rakyat yang terlibat. Akhirnya, serangan ikan todak itu dapat diatasi melalui kebijaksanaan seorang budak yang menyarankan penggunaan batang pisang sebagai kubu. serangan ikan todak tersebut ada kaitannya dengan pembunuhan Tuan Jana Khatib yang "mahir akan ilmu khayal lillah lagi tamam dua belas".
3. Peristiwa Sang Rajuna Tapa menjadi batu - peristiwa ini menimpa Sang Rajuna Tapa kerana dia telah mengkhianati Raja Iskandar Syah. Pengkhianatan itu dilakukannya selepas Raja Iskandar membunuh anak perempuannya dengan cara yang sangat memalukan dirinya. Untuk membalas perbuatan Raja Iskandar Syah itu, dia telah bersekongkol dengan Majapahit yang menyebabkan Singapura jatuh ke tangan kuasa besar itu.
KEPENTINGAN MITOS
Penerapan mitos dalam teks Sulalatus Salatin Sejarah Melayu ini mempunyai matlamat dan kepentingannya yang tersendiri dan khusus, sesuai dengan zaman teks ini dihasilkan. Di pihak pemerintah, peristiwa yang berunsur mitos itu secara umumnya dapat meningkatkan darjat dan kedaulatan mereka. Di pihak hamba rakyat pula, unsur mitos tersebut dapat mendidik serta meyakinkan mereka tentang kehebatan dan kedaulatan raja serta perkara-perkara yang berkaitan dengan institusi beraja. Kepentingan mitos dalam penulisan teks Sulalatus Salatin Sejarah Melayu ini dapat dijelaskan seperti yang berikut:
1. Menunjukkan Keagungan Keturunan Raja
Iskandar Zulkarnain berbangsa Rom dan berasal dari Makaduniah. Sebagaimana yang tercatat dalam sejarah, beliau merupakan seorang raja yang agung dan penakluk dunia yang terbilang. Berdasarkan Sulalatus Salatin Sejarah Melayu, raja-raja Melayu dikatakan berasal daripada keturunan beliau walaupun menurut Sejarah, Iskandar Zul-Karnain (Alexander The Great) tidak pernah menakluki India. Oleh itu, mitos yang mengaitkan raja-raja Melayu bersusur galur daripada keturunan Iskandar Zul-Karnain itu mempunyai kepentingannya yang tersendiri, iaitu untuk mengangkat darjat raja-raja Melayu ke tahap yang tinggi, yakni memiliki ciri-ciri kepahlawanan, kehebatan, dan keagungan, sama seperti yang dimiliki oleh datuk nenek mereka yang bernama Iskandar Zul-Karnain itu.
Menunjukkan Sifat Luar Biasa Raja
Salah satu mitos yang terdapat dalam Sulalatus Salatin Sejarah Melayu adalah tentang pengembaraan Raja Suran ke dasar laut. Baginda dikatakan telah tiba di sebuah negeri yang bernama Dika dan seterusnya berkahwin dan hidup di negeri itu. Hal ini memang di luar mats fikir manusia dan melampaui hukum alam, namun penerapan mitos yang sedemikian ada kepentingannya. Penerapan unsur tersebut adalah untuk menggambarkan bahawa raja-raja Melayu sangat luar biasa dan berbeza daripada manusia biasa dan oleh itu, merekalah yang layak memimpin manusia lain.
2. Menyindir atau Mengkritik Raja
Mitos lain yang terdapat dalam Sulalatus Salatin Sejarah Melayu ialah serangan ikan todak terhadap Singapura. Penerapan mitos ini bertujuan untuk menyindir atau mengkritik golongan raja atau pembesar yang menzalimi rakyat. Mitos itu juga bertujuan untuk menyedarkan raja dan pemerintah bahawa setiap hamba rakyat, tidak kira sekecil mana pun mereka itu, perlu dihormati dan disayangi kerana mereka mempunyai kelebihan masing-masing. Jelas dalam hal ini, budak yang menyarankan rakyat Singapura menggunakan batang pisang sebagai kubu untuk meredakan serangan todak, mempunyai kelebihannya walaupun masih kecil.
3. Mendidik dan Menakutkan Rakyat
Sesetengah mitos dalam teks Sulalatus Salatin Sejarah Melayu ini sengaja diterapkan bagi mendidik rakyat supaya senantiasa menghormati dan mentaati raja sebagaimana yang dipersetujui dalam waad antara Demang Lebar Daun dengan Seri Teri Buana dahulu. Dalam hal ini, mitos yang memaparkan Sang Rajuna Tapa menjadi batu setelah mengkhianati Sultan Iskandar Syah menunjukkan bahawa sumpahan Seri Teri Buana yang mengatakan bahawa rakyat yang derhaka akan "dibalikkan Allah bumbungan rumahnya ke bawah kaki ke atas" menjadi kenyataan. Peristiwa itu juga dapat menimbulkan rasa gerun di hati rakyat supaya tidak mengkhianati waad tersebut.
4. Mempelbagaikan Kaedah/Teknik Penulisan
Penerapan unsur mitos dalam teks Sulalatus Salatin Sejarah Melayu juga bertujuan untuk mewujudkan variasi dalam stail penulisannya. Penerapan itu juga memperlihatkan kekreatifan pengarang dalam usaha hendak menarik hati para pembaca.
Sumber daripada : http://kmtppuintan.blogspot.com/2011/08/unsur-mitos-dalam-sulalatus-salatin.html
TOKOH : RAJA ALI HAJI
Tokoh ini terkenal sebagai ulama serta sasterawan, juga intelektual Melayu terkemuka pada abad-19. Raja Ali Haji adalah keturunan bangsawan Bugis yang mendiami Pulau Penyengat, tidak jauh dari Tanjung Pinang (Pulau Bintan).
Ayahnya bernama Raja Ahmad. Manakala datuknya bernama Raja Haji, seorang pahlawan Bugis terkenal. Beliau tercatat juga pernah menjawat jawatan sebagai Yamtuan Muda (Yang Dipertuan Muda- setaraf Perdana Menteri) ke-4 dalam Kesultanan Johor-Riau.
Orang-orang Bugis tiba di kawasan tersebut sekitar abad ke-18. Pada ketika itu sedang berlaku perebutan kuasa antara para pewaris Kesultanan Johor setelah terbunuhnya Sultan Mahmud Syah II. Mereka ´bangga´ dengan asal-usul, hubungan kekerabatan dan tetap merasa sebagai golongan masyarakat Melayu-Bugis.
Raja Haji (datuk kepada Raja Ali Haji) adalah Yamtuan Muda yang berjaya menjadikan kesultanan Johor-Riau sebagai pusat dagangan dan budaya paling penting di kawasan itu. Beliau meninggal dunia ketika bertempur melawan Belanda pada tahun 1784. Raja Haji meninggalkan dua orang putera, iaitu Raja Ahmad dan Raja Jaa´far. Raja Ahmad (ayah Raja Ali Haji) adalah pangeran pertama dari Riau yang menunaikan fardu haji.
Beliau sangat menyukai bidang sejarah. Salah satu karyanya "Syair Perang Johor" menghuraikan tentang perang antara Kesultanan Johor dengan Kesultanan Aceh pada abad ke-17. Selain itu, Raja Ahmad juga orang pertama yang menyusun sebuah ´epos´ tentang sejarah orang Bugis di kepulauan Melayu dan hubungannya dengan raja-raja Melayu.
Bakat menulisnya itu turun kepada puteranya, Raja Ali Haji. Sejak masih remaja, Raja Ali sering mengikuti ayahnya mengembara ke beberapa wilayah, termasuk ke Betawi, pelayaran perdagangan serta menunaikan fardu haji ke Tanah Suci. Pengalaman pengembaraan ini secara langsung memberikan wawasan serta pengetahuan yang luas kepada Raja Ali.
Menginjak usia 20 tahun, beliau sudah diberi tanggungjawab melaksanakan tugas-tugas kenegaraan penting. Hingga usianya 32 tahun, Raja Ali bersama sepupunya, Raja Ali bin Raja Jaa´far, diberi kepercayaan memerintah di daerah Lingga, mewakili Sultan Mahmud Muzaffar Syah yang masih berusia muda.
Memang sejak belia Raja Ali Haji dikenal sebagai ulama dan sering fatwanya terhadap sesuatu perkara diminta oleh kerabat kerajaan. Pengetahuannya dalam bidang agama begitu menonjol dan dimanfaatkan bagi membimbing para guru agama di Riau ketika itu. Pada waktu Raja Ali bin Raja Ja´far diangkat menjadi Yamtuan Muda pada tahun 1845, kedudukan Raja Ali Haji juga telah kukuh sebagai penasehat keagamaan negara.
Komitmen dan sumbangannya dalam bidang intelektual dapat ditelusuri daripada terhasilnya beberapa karyanya mengenai masalah agama, sastera, politik, sejarah, filsafat serta undang-undang atau hukum. Beliau memiliki kedudukan yang tinggi di kalangan para sahabatnya meskipunpada waktu itu terdapat ramai para intelektual yang lain.
Di bidang sastera, sebuah karyanya berjudul “Hikayat Abdul Muluk” merupakan karya sasterawan Riau yang pertama kali diterbitkan pada tahun 1846. Sejak itu, banyak karya Raja Ali Haji diterbitkani. Dalam beberapa buah karyanya, beliau selalu menekankan bahawa satu-satunya jalan untuk membendung hawa nafsu dan mencegah terjadinya konflik adalah dengan taat kepada hukum Allah s.w.t yang telah digariskan kitab suci al-Quran.
Selain itu setiap individu harus menjaga nama baik, ilmu dan akalnya. Pada setiap pesan yang disampaikannya, Raja Ali kerap menyisipkan lukisan peristiwa nyata yang terjadi pada zamannya. Raja Ali juga tidak lupa menyoroti akhlak para pemimpin. Menurutnya, seorang raja yang tidak menghiraukan tugasnya dan menderhakai Tuhan tidak dapat diterima sebagai penguasa lagi.
Jawatannya itu harus diserahkan kepada orang lain yang lebih berwibawa. Adapun pemimpin yang baik, hurai Raja Ali, adalah pemimpin yang ´pantang´ melihat kemungkaran. Sebaliknya raja yang buruk pekertinya adalah raja yang bersifatsifat sombong, boros, dan tidak mempedulikan kepentingan pendidikan.
Daripada sedemikian banyak hasil karya Raja Ali Haji, kelihatan tidak pernah meninggalkan ciri khasnya, iaitu mengakar pada tradisi kesusasteraan Islam serta Melayu, juga kesungguhannya dalam menyajikan sejarah masa lalu disesuaikan dengan tuntutan keadaan pada zamannya. Di samping itu, karyanya berjudul “Gurindam Dua Belas” (1847) menjadi karya begitu berharga bahkan paling menonjol di antara karyanya yang lain.
Lewat karya-karyanya, membuktikan bahawa Raja Ali tidka hanya sekadar sejarawan dalam pengertian yang sempit. Beliau juga adalah guru memiliki komitmen memelihara nilai keislaman serta rasa tanggungjawab terhadap masyarakatnya, sehingga bagi menabadikan karya-karyanya, pada awal tahun 1890, seluruh sanak saudaranya mendirikan perkumpulan bernama “Rusdyiah Club” yang bergerak dalam bidang pembinaan ummah serta penerbitan buku bersifat Islami. Raja Ali Haji dimakamkan di Pulau Penyengat yang memiliki nilai sejarah yang tinggi. Di pulau ini terdapat banyak peninggalan Kerajaan Melayu. Ketika pusat kerajan Riau dipindahkan ke Pulau Penyengat pada tahun 1900, di situ telah dibina sebuah istana yang diberi nama Kedaton.
Di kompleks pemakaman Engku Putri Raja Hamida terdapat makam Radja Ali Haji. Makam Raja Ali Haji terletak di luar bangunan utama Makam Engku Putri. Karyanya “Gurindam Dua Belas” diabadikan di sepanjang dinding bangunan makam tersebut. Setiap pengunjung dapat membaca atau mencatat karya besarnya yang luar biasa indahnya itu.
MENIKMATI KEINDAHAN “GURINDAM DUA BELAS”
”Gurindam Dua Belas” merupakan karya besar Raja Ali Haji (1809 -1872). Beliau dikenal sebagai seorang budayawan, dan penulis dengan karya-karya ´beraliran Riau´. Lahir sekitar tahun 1809 di Pulau Penyengat, sebuah pusat keilmuan Melayu-Islam yang penting pada abad ke-19. Beliau meninggal dunia pada usia 63 tahun dan dimakamkan di Pulau Penyengat pada tahun 1872.
Gurindam termasuk dalam bentuk puisi lama yang banyak terdapat dalam masyarakat Melayu. Gurindam yang terkenal ialah “Gurindam Dua Belas” karya Raja Ali Haji. Ini bukan bermaksud gurindam yang berjumlah dua belas buah. Ia adalah gurindam yang mengandungi dua belas fasal yang menyentuh persoalan ibadah, individu, tanggungjawab pemerintah, tanggungjawab anak terhadap ibu bapa, tanggungjawab ibu bapa terhadap anak, sifat-sifat bermasyarakat dan sebagainya.
Gurindam biasanya terdiri daripada sebuah kalimat majmuk yang dibahagi menjadi dua baris. Setiap baris itu merupakan sebuah kalimat dan perhubungan antara kedua-dua kalimat biasanya antara ´anak kalimat´ dengan ´induk kalimat´. Jumlah suku kata setiap baris tidak ditentukan, demikian juga iramanya tidak tetap. Gurindam adalah untuk menyatakan sesuatu yang benar melalui pepatah atau peribahasa.
Raja Ali Haji menerangkan guridam sebagai berikut: "adapun maksud gurindam itu, iaitu perkataan yang bersajak pada akhir pasangannya, tetapi sempurna perkataannya dengan satu pasangannya saja, jadilah seperti sajak yang pertama itu syarat dan sajak yang kedua itu jadi seperti jawab." Beberapa petikan “Gurindam Dua Belas” :
... Barang siapa mengenal Yang Tersebut, tahulah ia makna takut
Barang siapa meninggalkan sembahyang, seperti rumah tiada bertiang
Barang siapa meninggalkan puasa, tidaklah mendapat dua termasa
Barang siapa meninggalkan zakat, tiadalah hartanya beroleh berkat
Barang siapa meninggalkan haji, tiadalah ia menyempurnakan janji ...
Itulah gurindam daripada fasal kedua. Masih ada sebelas fasal yang semuanya penuh berisi pesan bermanfaat bagi semua.(25 November 2004)
Sumber daripada : http://tokoh.blogspot.com/2005/05/raja-ali-haji-ulama-dan-intelektual.html
Thursday, April 24, 2014
PEMIKIRAN ISLAM DAN PELAKSANAAN UNDANG-UNDANG DALAM HUKUM KANUN MELAKA DAN UNDANG-UNDANG LAUT MELAKA.
PEMIKIRAN ISLAM DAN PELAKSANAAN
UNDANG-UNDANG DALAM HUKUM KANUN MELAKA DAN UNDANG-UNDANG LAUT MELAKA.
Oleh:
MUHAMAD IZWAN BIN TARMIN @ RASIMIN
UNIVERSITI
PENDIDIKAN SULTAN IDRIS
ABSTRAK
Kajian
ini merupakan kajian ke atas Karya Agung Hukum Kanun Melaka Dan Undang-undang
Laut Melaka bagi mengupas undang-undang yang dilaksanakan di Melaka pada masa
itu sama ada seiring dengan syariat Islam atau masih banyak lagi terpengaruh
dengan undang-undang adat yang disampaikan secara turun-temurun oleh
orang-orang terdahulu. Kajian ini dilakukan melalui pembacaan terhadap karya
agung iaitu Hukum Kanun Dan Undang-undang Laut Melaka. Melalui pembacaan yang
dilakukan, pengkaji akan mengeluarkan undang-undang yang digunakan pada zaman
kegemilangan Melaka itu di mana keutamaannya diberikan terhadap undang-undang
yang menggunakan hukum Islam sebagai sebahagian
daripada undang-undangnya. Kajian ini juga akan melihat kepada pelaksanaan
undang-undang Islam sama ada diambil terus daripada al-Quran atau menggunakan
juga pendapat daripada ulama yang mempunyai ilmu yang tinggi berkaitan hal
keagamaan serta mempunyai pengetahuan yang mendalam dalam hukum-hakam berkaitan
agama Islam. Unsur-unsur Islam yang wujud dalam Hukum Kanun Melaka menunjukkan
pengaruh Islam sangat kuat di Melaka pada ketika itu dan masyarakatnya
menjalani kehidupan seharian mereka dengan berlandaskan syariat Islam
1.0
PENGENALAN
Undang-undang
di Melaka dapat dirujuk melalui teks undang-undangnya selain dapat juga dilihat
sebagai teks sejarah. Setakat yang diketahui, teks undang-undang di Melaka
terbahagi kepada dua. Pertama adalah tentang undang-undang negeri atau undang-udang
kerajaan yang dikenali sebagai Hukum Kanun Melaka atau Undang-undang Melaka.
Bidang kuasa undang-undang ini merangkumi negeri Melaka pusat sendiri termasuk
anak sungai dan dusun yang menjadi takluk negeri itu. Kandungannya antara lain
meliputi tanggungjawab raja serta pembesar, pantang larang di kalangan anggota
masyarakat, perhukuman sebab kesalahan jenayah dan awam, undang-undang
keluarga, permasalahan ibadah dan muamalat yang amat jelas, dan hukum
penghumaan.
Kedua
ialah Undang-undang Laut Melaka. Peruntukannya adalah bersabit dengan hal-hal
di laut seperti tanggungjawab pegawai-pegawai kapal, tatacara pelayaran dan
perniagaan, hukuman terhadap kesalahan jenayah atau syariah Islam, dan juga
bidang kuasa nakhoda kapal. Oleh sebab terlalu banyak hal-hal yang tidak
selaras dengan perkara-perkara yang diperuntukkan dalam kedua-dua undang-undang
tersebut, maka isu hukuman yang dijatuhkan itu selalu bercampur-aduk. Hukuman
pada kesalahan syariah berzina umpamanya, dicampuradukkan dengan tatacara berjual
beli menurut muamalat Islam. Oleh yang demikian, jika tidak diteliti setiap
fasal dalam kedua-dua undang-undang tersebut dengan terperinci, memanglah sukar
untuk dibuat pembahagian yang umum antara hukum adat dengan undang-undang
Islam. Dasar hukum adat yang nampaknya digunakan adalah adat Temennggung dan hukum
Islam pula jelas menampakkan unsur undang-undang Syafie
Asal-usul
undang-undang yang wujud dalam kedua-dua teks tersebut masih belum dapat
dipastikan. Pembentukannya mungkin berlaku di sepanjang zaman pemerintahan
Iskandar Syah, Sultan Muhammad Syah dan Sultan Muzaffar Syah. Walau
bagaimanapun, adalah jelas bahawa hukum-hakam Islam telah dijadikan sebahagian
besar daripada Undang-undang Melaka dan Undang-undang Laut Melaka selepas
pemerintahan Megat Iskandar apabila proses rasionalisasi berlaku dengan
undang-undang temurun yang “…terhimpun pada segala menteri”, yang ditulis
semasa pemerintahan Sultan Muzaffar Syah. Dari semasa ke semasa, Undang-undang
Melaka telah ditokok tambah. Daripada Sembilan belas fasal yang asal,
undang-undang ini menjadi dua puluh fasal dan berkembang lagi sehingga menjadi
empat puluh empat fasal seperti yang terdapat pada hari ini. Undang-undang Laut
Melaka pula terdiri daripada dua puluh lima fasal. Secara am, fasal-fasal yang
bersabit dengan hukum dan undang-undang Islam dapat dilihat daripada kenyataan
teks-teks itu sendiri yang di antara lain menyebut “…mengikut hukum Allah…”
atau “…mengikut dalil Allah” dan “…pada hukum Tuhan”. Walau bagaimanapun pada
banyak tempat perkara yang disebut sebagai ‘hukum’ atau ‘dalil’ Tuhan itu
sebenarnya bukanlah undang-undang Allah atau undang-undang Islam.
Undang-undang
keluarga dalam Hukum Kanun Melaka kerap dikatakan sebenarnya adalah terjemahan
terus daripada undang-undang Islam. Tetapi untuk hukuman kesalahan jenayah yang
berat seperti membunuh, memotong tangan atau kaki, pelaksaannya sering disesuaikan
atau dialternatifkan antara hukum Islam dengan hukum adat. Hal ini terkecuali
pada bahagian tentang ibadah, muamalat dan undang-undang keluarga yang
terangkum dalam aspek munakahat Islam sebagaimana yang terhadap pada bahagian
pertengahan dan penghujung Hukum Kanun Melaka. Hukum terhadap kesalahan jenayah
yang mengikut undang-undang Islam sering dialtenatifkan dengan hukum adat.
Umpamanya pada Fasal 14.2 yang bersabit dengan tuduhan dan pembunuhan kepada
seseorang pesalah. Hukum Kanun Melaka menentukan bahawa;
“adapun jikalau
menuduh orang mengambil isteri orang, maka menang yang dituduh itu, dibunuh
orang yang menuduh itu, sebab hukum mengambil isteri orang itu mati hukumnya.
Jikalau tiada dibunuh, didenda sepuluh tahil sepaha. Di dalam pada itu melainkan
syafaat segala hakim juga; sebab mati hukumnya mati. Adapun kepada hukum Allah
tiada demikian, hanya disuruhkan hakim bersumpah atau bertaubat daripada
perbuatan itu. Demikinlah hukum Allah”.
Hakim
mempunyai kuasa penentuan sama ada memlilih hukum adat atau menjatuhkan hukuman
kepada sesiapa yang bersalah itu menurut hukum Islam. Walau bagaimanapun,
kesalahan yang disabitkan oleh hakim hanyalah lebih kepada orang kebanyakan
sahaja.
2.0
OBJEKTIF
KAJIAN
Kajian
ini bertujuan mengenal pasti pengaruh Islam yang terkandung di dalam Hukum
Kanun dan Undang-undang Laut Melaka. Justeru, kajian ini menjurus secara
spesifik perkara-perkara seperti berikut:
2.1.Mengenal
pasti bahagian-bahagian atau fasal-fasal dalam Hukum Kanun dan Undang-undang Laut
Melaka yang banyak dipengaruhi oleh hukum-hakam Islam.
2.2 Mengetahui
jenis-jenis hukuman yang diperuntukan di bawah undang-undang Islam ke atas
setiap kesalahan yang telah dilakukan.
3.0
PERSOALAN
KAJIAN
Dalam
kajian ini, pengkaji mengemukakan beberapa persoalan kajian bagi menentukan
objektif yang akan dicapai, iaitu:
3.1 Pada
bahagian atau fasal manakah dalam Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut
Melaka yang banyak dipengaruhi oleh undang-undang Islam?
3.2 Apakah
jenis-jenis hukuman yang diperuntukan dalam undang-undang Islam yang termaktub
dalam Undang-undang Melaka ke atas pelaku jenayah?
4.0
KEPENTINGAN
KAJIAN
Undang-undang
merupakan satu bentuk peraturan yang telah ditetapkan dalam sesebuah masyarakat
dan tamadun untuk dipatuhi. Tujuan undang-undang ini dibuat bagi memudahkan
pemerintah mengawal segala tingkah laku orang-orang di bawah pemerintahannya.
Dengan adanya undang-undang ini, pentadbiran sesebuah negara akan berjalan
lancar dan pemerintah juga berupaya mengekalkan keamanan di kawasan jajahannya.
Hukuman juga telah termaktub di dalam undang-undang terhadap pelaku-pelaku
jenayah dan hakim secara selaras boleh menjatuhkan hukuman ke atas
kesalahan-kesalahan yang telah dilakukan.
Dalam dunia hari ini, boleh dilihat
bahawa undang-undang terbahagi kepada dua jenis iaitu undang-undang yang dibuat
oleh manusia dan undang-undang Islam iaitu undang-undang yang ditetapkan oleh
Allah S.W.T. sendiri melalui wahyuNya kepada Nabi Muhammad S.A.W. Sebenarnya
bukan pada masa sekarang sahaja berlakunya pembahagian antara undang-undang
manusia dengan undang-undang Islam ini. Jika dikaji dengan lebih mendalam lagi,
dalam Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka yang ditulis bermula
tahun 1446M lagi, sudah terdapat pembahagian kedua-dua undang-undang ini. Kita
sebagai orang Melayu dan sebagai orang Islam seharusnya lebih menitikberatkan
soal berkaitan dengan Islam. Hal ini disebabkan tidak akan ada orang selain
Islam yang akan mengangkat dan memartabatkan sistem perundangan Islam.
Oleh itu, kajian ini dibuat dengan
alasan agar dapatan kajian ini akan mendatangkan kebaikan kepada semua pihak
sama ada masyarakat di negara ini mahupun pihak atasan kerajaan yang mungkin
berkesempatan terserempak dengan kajian ini supaya sedar betapa pentingnya
memartabatkan semula perundangan Islam di Malaysia. Kita harus sedar bahawa
undang-undang Islam yang diangkat pada masa dahulu sebenarnya masih relevan
digunakan pada masa ini dan pada masa-masa akan datang kerana undang-undang ini
datangnya daripada Allah S.W.T. sendiri. Seterusnya, pengkaji mengharapkan
pendedahan yang dibuat ini dapat memberi gambaran bahawa Islam merupakan agama
yang hebat kerana Islamlah yang menjadi wadah berpaksinya keagungan Empayar
Melaka pada suatu masa dahulu.
5.0
METODOLOGI
KAJIAN
Kaedah
yang digunakan oleh pengkaji dalam kajian ini ialah melibatkan kaedah
kepustakaan dan juga kaedah analisis kandungan. Melalui kaedah kepustakaan,
bahan-bahan ilmiah yang berkaitan dengan kajian ini dijadikan rujukan oleh
pengkaji. Bahan yang paling utama ialah Karya Agung Undang-undang Melaka di samping buku-buku, kertas kerja dan dapat
melalui capaian internet berkaitan tajuk yang dikaji.
Seterusnya melalui kaedah analisis
kandungan pula, pengkaji merujuk kepada undang-undang yang ada kaitan dengan
hukum-hukum Syariat Islam dan juga perkara-perkara lain yang ada dalam
kehidupan masyarakat Islam seperti hal muamalat dan perkahwinan selain
undang-undang kesalahan jenayah dalam Islam. Semua undang-undang yang terdapat
dalam Undang-undang Melaka yang ada berkaitan dengan perundangan Islam akan
dikupas oleh pengkaji untuk kefahaman yang lebih jelas.
6.0
DAPATAN
KAJIAN
Berdasarkan
pembacaan dan kajian yang dibuat, pengkaji mengelompokkan undang-undang Islam
kepada beberapa bahagian. Pengelompokan undang-undang adalah seperti berikut:
6.1
Undang-undang
jenayah Islam terbahagi kepada 3 bahagian
1. Hukum
Hudud
Berhubung
dengan kesalahan zina, Qazaf, mencuri, minum arak dan murtad. Sebagai contoh
hukuman zina akan direjam sampai mati bagi orang yang telah berkahwin dan akan
disebat seratus kali bagi yang belum berkahwin. Hal ini selari dengan surah
an-Nur ayat kedua dan juga daripada penjelasan hadis oleh Rasulullah. Bagi
kesalahan Qazaf pula pesalah akan disebat sebanyak 80 kali sebatan. Bagi
kesalahan meminum arak, pasalah akan disebat sebanyak 40 kali.
2. Hukum
Qisas
Dinyatakan
sesiapa yang mengambil nyawa atau membunuh orang akan dibalas bunuh. Orang
Islam yang membunuh orang kafir tidak dikenakan Qisas. Dalam soal mencederakan
anggota juga akan dibalas perbuatan yang sama dan setimpal. Hal ini selari
dengan surah al-Maidah ayat ke-45. Hukum Diat Fasal 17 pula menyatakan pembunuh
dengan sengaja diberi maaf oleh waris akan dikenakan Diat ataupun denda. Hal
ini selari dengan mazhab Shafiee.
3. Hukum
Ta’zir
Hukuman
ini dikenakan bagi kesalahan yang tidak dikenakan hudud dan qisas seperti
mencuri tak cukup nisab akan dikenakan ta’zir. Sebagai contoh pesalah akan
diminta memulangkan semula barang yang dicuri atau digantung lileher
kemudiannya diarak ke keliling kampung sebagai pengajaran kepada pesalah dan
juga sebagai peringatan kepada orang lain.
Di
atas merupakan ringkasan yang dibuat berdasarkan hukum-hukum jenayah Islam yang
terkandung di dalam Undang-undang Melaka. Jika disoroti dengan lebih dalam lagi
berkaitan perundangan Islam yang terdapat di dalam Undang-undang Melaka, Dalam
Undang-undang Laut Melaka, hukum yang menurut undang-undang Islam hanya jelas
pada satu fasal sahaja, iaitu berhubung dengan kesalahan zina. Pesalah sama ada
dihukum bunuh ataupun didera sebat, mengikut perkelaminan seseorang. Hukuman
dan tatacara undang-undang yang ain lebih banyak bertradisikan adat, resam dan
undang-undang setempat. Tetapi dalam Hukum Kanun Melaka daripada jumlah empat
puluh empat fasal yang diperuntukkan, lapan belas atau hampir 40.95% daripada
perhukumannya adalah menurut undang-undang Islam.
Undang-undang
Islam dalam beberapa fasal terawal Hukum Kanun Melaka kelihatan jelas, terutama
yang berhubung dengan kesalahan jenayah, contohnya membunuh orang. Antara lain
hukuman yang diperuntukkan kerana membunuh orang adalah seperti berikut;
“Fasal yang
kelima menyatakan orang yang membunuh dengan tiada setahu raja-raja atau orang
besar-besar. Jikalau dibunuhnya dengan tiada dosanya sekalipun, dibunuh pula ia
pada hukum Allah, maka adil namanya”.
Peruntukan
ini amat nyata disusun berdasarkan hukum jenayah Islam berabit dengan soal
Qisas atau ‘nyawa atau darah dibalas nyawa atau darah’. Dalam al-Quran ada
menyebutkan bahawa;
“Hai orang-orang
yang beriman, diwajibkan atas kamu (hukum qisas) buat membela orang-orang yang
mati dibunuh (iaitu) orang merdeka dengan orang yang mendeheka dan hamba dengan
hamba dan perempuan dengan perempuan. Tetapi barang siapa dapat sebahagian
keampunan daripada saudaranya (yang membela si mati) maka (hendaklah) ia
dibalas kebaikan serta serahkan (diyat) kepadanya dengan cara baik…”.
(Terjemahan al-Quran surah al-Baqarah 2:178)
Walau
bagaimanapun, dapat dilihat peruntukan dalam Hukum Kanun Melaka di sini
mempunyai cirri yang agak ketat. Pelaksanaan hukum Islam dilakukan dengan
sewenang-wenangnya dan tidak terdapat sifat tolak ansur sebagaimana yang
terdapat dalam al-Quran surah al-Baqarah ayat 178 yang bermaksud, “…Tetapi
barang siapa dapat sebahagian keampunan daripada saudaranya (yang membalas si mati)
maka (hendaklah) ia balas kebaikan serta serahkan (diyat) kepadanya dengan
(cara) baik…”. Al-Quran juga menegaskan konsep ‘balas hak’ individu di sisi
undang-undang Islam dalam masyarakat tetapi nampaknya hal ini digugurkan sama
sekali oleh Hukum Kanun Melaka.
Perkara
yang menarik di sini ialah tentang masalah membunuh sebab hukum adat nampaknya
masih diberikan perhatian. Berkenaan fasal yang lain dalam Hukum Kanun Melaka,
hukum adat melarang dikenakan hukuman bunuh sekiranya si pembunuh tadi didapati
membunuh sebab empat keadaan, iaitu membunuh madu, membunuh pancuri yang lari
dengan syarat-syarat tertentu, membunuh orang yang member aib atau malu dan
membunuh orang yang membuat angkara. Berkenaan hal ini Hukum Kanun Melaka
menyebut bahawa;
“Adapun yang
membunuh tiada setahu raja dan menteri itu di atas empat perkara. Pertama,
membunuh madu, kedua membunuh orang yang angkara, tetapi ia ditangkap dahulu
maka dibawa kepada hakim, akan adatnya setahil sepaha. Jikalau tiada
tertangkap, sebab ia dengan makarnya, maka patutlah ia mati. Ketiga membunuh
orang yang mencuri yang tiada dapat ditangkap. Keempat, membunuh orang yang
member aib seperti menampar orang atau barang yang member aib: itu pun jikalau
belum sampai kepada menteri. Jikalau sudah sampai kepada menteri, maka
diperbuat juga, maka ia didenda sepuluh tahil sepaha. Inilah hukumnya”.
Jelaslah
bahawa hukum adat menentukan orang membunuh dalam kategori ini didenda sahaja. Contoh
seterusnya dapat dibuktikan daripada kesalahan mencuri. Hukum Kanun Melaka
telah menetapkan bahawa;
“Adapun jikalau
ia mencuri, maka tertangkap lalu dibunuhnya, maka kenalah denda akan dia
setengah harganya, dan setengah akan menteri, dan setengah akan tuannya, sebab
taksirnya tiada setahu menteri. Adapun pada hukum Allah orang yang mencuri itu
tiada harus dibunuhnya, melainkan dipotong tangannya”.
Fasal
ini juga memberikan alternatif terhadap kesalahan mencuri. Si pencuri akan
didenda sama ada mengikut lunas hukum adat atau dikuhum mengikut undang-undang
syariah, iaitu dipotong tangannya. Hukuman memotong tangan yang menurut
perintah Allah ini amat jelas diterangkan dalam al-Quran:
“Lelaki yang
mencuri dan perempuan yang mencuri itu, hendaklah kamu potong tangan-tangan
mereka, sebagai balasan bagi apa yang mereka telah lakukan (dan) sebagai contoh
yang menakutkan daripada Allah; dan adalah Allah itu Mahakuasa (lagi
bijaksana)”.
(Terjemahan
al-Quran surah al-Maidah 5:38)
Terdapat
ciri alternatif yang menunjukkan bahawa pihak hakim tidak semestinya wajib
menjatuhkan hukuman memotong tangan si pencuri, walaupun bukti-bukti jelas
dalam teks Sejarah Melayu menunjukkan ketika Melaka diperintah oleh Sultan
Alauddin, sesuatu undang-undang dikeluarkan supaya memotong tangan pencuri yang
dapat ditangkap dan sabit kesalahannya.
Pihak
penyusun Hukum Kanun Melaka sedar tentang manfaatnya menjatuhkan hukuman
mengikut hukum adat dan sebaliknya, dengan meneliti kesan sosial yang mungkin
timbul sekiranya mematuhi seratus peratus hukum Islam. Mereka mengambil sikap
berkecuali dengan harapan supaya pihak hakim yang bijaksana dapat memberikan
pertimbangan dengan seadil-adilnya. Oleh yang demikian, sewajarnyalah sikap
adil ini didasarkan pada konsep ‘hak’ (haq) dan adil saksama (adl) antara
individu dalam mesyarakat dengan pihak hakim menurut pandangan Islam. Jelas
sebagaimana Allah berfirman dalam al-Quran;
“Sesungguhnya
Allah memerintah kamu menunaikan amanat-amanat kepada yang berhak dan (Ia
memerintah) apabila kamu menghukum di antara manusia, supaya kamu menghukum
dengan adil. Sesungguhnya Allah menasihati kamu dengan sebaik-baik perkara,
sebab sesungguhnya Allah itu adalah Mendengar (dan) Melihat”.
(Terjemahan
al-Quran surah An-Nisa’ 4:58)
Suatu
hal yang agak menghairankan ialah tentang peruntukan hukum adat yang bersabit
dengan kesalahan yang melibatkan jantina. Pada asasnya, undang-undang Islam
memanglah dipatuhi, lalu disalurkan mengikut hukum hadd dalam Islam. Hukuman terhadap orang yang berzina umpamanya,
Hukum Kanun Melaka jelas mengambil terus daripada undang-undang Islam. Jika si
pelaku itu seorang yang telah berkahwin (muhsan) hukumannya ialah direjam
sampai mati, jika yang belum berkahwin (ghair-muhsan) disebat sebanyak lapan
puluh kali. Hukuman ini sebenarnya diambil terus daripada al-Quran;
“Perempuan yang
berzina dan lelaki yang berzina, maka deralah tiap-tiap seorang daripada mereka
seratus kali dera, dan janganlah kamu dikalahkan dengan (menjalankan) agama
Allah oleh kasihan kamu kepada mereka berdua, jika (benar) kamu beriman kepada
Allah dan hari kamudian; dan azab mereka itu hendaklah disaksikan oleh
segolongan daripada mukmin”.
(Terjemahan al-Quran surah An-Nur
24:2)
Hukuman
mengikut hukum adat masih tetap diperuntukkan sebagai pilihannya. Walau
bagaimanapun, hukuman berdasarkan tradisi adat setempat ini nampaknya amat
ringan. Seorang lelaki (yang sabit) melakukan rogol (wati’) terhadap seorang
dara, dia cuma dikehendaki untuk membayar sedikit denda kemudian diminta
berkahwin dengan mangsanya tadi. Yang anehnya, Hukum Kanun Melaka bukan
meletakkan pada kesalahan kerana perbuatan merogol itu, tetapi kesalahan sebab
‘memaksa’ orang.
Begitu
juga pada kesalahan menawar (menceroboh) kehormatan wanita, jika isteri orang
yang diceroboh, si penceroboh Cuma dikehendaki sujud menyembah suami wanita
berkenaan di khalayak ramai. Sekiranya enggan, dia dikehendaki membayar denda
sepuluh tahil sepaha sahaja. Jika yang diceroboh itu seorang gadis, dendanya
ialah dua tahil sepaha; dendanya kurang sedikit jika yang diceroboh itu seorang
hamba, iaitu lima emas sahaja; tetapi meningkat menjadi sepuluh emas sekiranya
dara si abdi itu hilang.
Selain kesalahan jenayah yang
tersebut, Hukum Kanun Malaka juga menekankan kesalahan-kesalahan hadd yang jelas terpengaruh dengan hukum
Islam. Antara bentuk kesalahan hadd
yang dimaksudkan termasuklah kesalahan minum arak, mencuri, membunuh, menyamun, qisas pada nyawa dan murtad.bagi semua
kesalahan itu, Fasal 37:2 Hukum Kanun Melaka menentukan supaya mestilah ada dua
orang saksi yang baligh dan tidak gila bagi membuktikan sahih atau tidaknya
perbuatan itu. Selain itu, penyelarasan pelaksanaan hukum Islam dan hukum adat
diperuntukkan juga pada fasal tentang kesalahan menuduh orang berzina tanpa
saksi. Orang itu mestilah dirotan sebanyak lapan puluh kali. Hukuman tanpa
saksi ini jelas diambil daripada hukum Islam sebagaimana yang ditentukan oleh
Allah dalam al-Quran;
“Dan orang-orang
yang menuduh perempuan-perempuan yang baik-baik (berzina), kemudian mereka
tiada dapat hadirkan empat saksi, maka deralah mereka delapan puluh kali
deraan; dan jangnlah kamu terima persaksian mereka (yang didera) itu
selama-lamanya, sebab mereka itu orang-orang yang fasiq”.
(Terjemahan
al-Quran surah An-Nur 24:4)
Walau bagaimanapun hukum adat masih
tetap diberi pertimbangan. Jika sabit kesalahan pihak yang menuduh, ia akan
didenda mengikut taraf sosial si pesalah.
6.2 Undang-undang Muamalat
Undang-undang ini lebih berhubung dengan peraturan
jual beli, riba, sewa, kaedah pinjaman ada dinyatakan dalam fasal 30 Hukum
Kanun Melaka. Contoh juga disebut dengan jelas iaitu berkaitan haramnya riba
dan larangan untuk berniaga dengan orang gila. Contoh yang menarik tentang
muamalat Islam berhubung dengan soal ‘bunga’ atau ‘faedah’ atau ‘riba’ dalam
urusan perniagaan terdapat dalam Fasal 30. Telah ditegaskan bahawa;
“…pada menyatakan hukum orang
yang berniaga itu dan haram atas segala yang mengambil riba’…hukum berniaga itu
tiada sah berniaga melainkan daripada ‘akil, tiada sah berniaga itu bagi orang
yang gila, kanak-kanak yang belum baligh.”
Hukum haram melakukan riba adalah diasaskan terus
daripada hukum dalam al-Quran yang menerangkan bahawa;
“Orang yang memakan riba itu
tidak akan berdiri melainkan sebagaimana pendirian orang yang diharu syaitan
dengan tamparannya. Yang demikian, lantaran mereka berkata, ‘Perdagangan itu
tidak lain melainkan seperti riba’. Dan Allah halalkan perdagangan dan haramkan
riba. Lantaran itu, barang siapa kedatangan nasihat dari Tuhannya, lalu ia
berhenti, maka baginyalah apa yang telah lalu dan urusannya (terserah) kepada
Allah, tetapi barag siapa kembali lagi, maka mereka itu (jadi) ahli neraka yang
mereka (akan) kekal di dalamnya”.
(Terjemahan
al-Quran surah al-Baqarah 2:275)
Pada fasal-fasal yang lain dalam Hukum Kanun Melaka,
diperuntukkan juga undang-undang menurut Muamalat Islam seperti dalam Fasal
32:2 Hukum Kanun Melaka menentukan hukuman sah tuntutan atas harta (sulh) yang
dikanunkan dalam ayat, “Sah sulh kemudian daripada ikrar di dalam segala harta,
tiada sah sulh di dalam mungkir dan pada orang yang tiada bertentu” hinggalah
ke ayat, “Tiada sulh melainkan pertama hendak bertentu”. Undang-undang berjual
beli yang dibentuk juga adalah berlandaskan undang-undang Islam. Fasal 30 Hukum
Kanun Melaka juga menentukan barang-barang yang boleh diperniagakan serta
dilarang oleh Islam seperti arak, babi, anjing dan tuak.
Dalam undang-undang muamalat ini,
terdapat juga sedikit kelainan kerana ada sedikit percanggahan dengan
undang-undang Islam namun telah
dinyatakan sebagai undang-undang muamalat di dalam Undang-undang Melaka.
Perkara tersebut bersabit dengan muamalat berniaga antara barangan, Fasal 30
Hukum Kanun Melaka memperuntukkan;
“…Dan tiada sah
berniaga emas dan perak dengan perak
melainkan (dengan) suatu jenis lain iaitu emas dengan suatu jenis lain yakni
perak tunai dan berniaga makanan janji tunai, maka sah”.
Di sini pun, Hukum Kanun Melaka
menyalurkan kedua-dua perniagaan antara emas dengan perak, sedangkan dalam
hukum Islam yang sewajarnya memperuntukkan dua syarat yang terpisah itu, iaitu
bahawa:
1.
Tidaklah sah berniaga antara emas untuk
emas dan perak untuk perak, melainkan berat kedua-dua adalah sama dan transaksi
tersebut berjalan dengan serta-merta.
2. Adalah
berniaga emas ditukarkan dengan perak dengan timbangan yang berlainan dan
dilakukan transaksi ini dengan serta-merta juga.
Penyusunan dalam syarat dan
peruntukan perniagaan tersebut dalam Hukum Kanun Melaka nampaknya dilakukan
dengan sewenangnya.
Bukti yang kedua dapat dikesan
daripada Fasal 32:2 Hukum Kanun Melaka berhubung dengan hukum sah Sulh iaitu
hukum sah atau tidaknya peraturan berniaga, dicampuradukkan syarat-syarat
pengesahan tersebut tanpa mengikut lunas hukum Islam yang sewajarnya. Begitu
juga pada Fasal 49:1 yang memperuntukkan tentang konsep atau pengertian muhsan
dalam Islam. Hukum Kanun Melaka memberikan empat kriteria muhsan, iaitu Islam,
baligh, berakal dan tidak gila. Kriteria yang ketiga dan keempat itu sebenarnya
serupa sahaja. Tetapi menurut pendapat ahli fiqah Islam, undang-undang tidak
semestinya memasukkan kriteria Islam itu, bahkan sewajarya adalah merdeka.
Adalah sukar untuk mencari sebab
berlakunya kelainan dan penyimpangan ini. Tidak mungkin hendak dibebankan
kesalahan kepada penyusun atau penggubal undang-undang negeri ini kerana
penyusun itu adalah tokoh dalam bidang perundangan Islam yang menggunakan dan
berpeluang merujuk pada kitab-kitab yang berkaitan. Zaman yang patut disalahkan
dalam hal ini kerana undang-undang ini digubal ketika masyarakat Melaka masih
melalui zaman awal terhadap agama Islam. Atau sebagaimana nasib yang menimpa
naskhah-naskhah Melayu lama, kerana hampir kesemuanya disalin dengan kesalahan
sama ada disengajakan atau tidak yang dilakukan oleh penyalin-penyalin naskhah
undang-undang ini.
6.3 Undang-undang Keluarga
Undang-undang
ini berhubung dengan tatacara perkahwinan, penceraian, wali talah dan
sebagainya. Dalam hal ini, semua perkara yang berkaitan dengan keluarga selari
dengan hukum Islam. Hukum syarak dalam undang-undang nampaknya lebih banyak
mempengaruhi bahkan diambil sepenuhnya dalam bahagian akhir Undang-Undang
Melaka, terutama yang berhubung dengan undang-undang keluarga dan peribadi
seperti muamalat dan munakahat. Umpamanya, telah dijadikan undang-undang
tentang orang berwali. Wali seorang perempuan itu mengikut Hukum Kanun Melaka,
‘mengikut tertib’ adalah bapanya, datuk sebelah bapanya dan saudara lelakinya.
Wali-wali yang sedemikian jika merujuk pada hukum Islam, dikenali sebagai wali aqrab dan wali mujbir. Diterangkan juga bahawa tidak seorang wali pun dibenar
untuk mengahwinkan si perempuan yang belum baligh. Pengertian baligh dihuraikan
sebagai genap umur lima belas tahun, telah datang haid dan telah tumbuh bulu
ari-ari (ikhtilam).
Fasal
25:2 Hukum Kanun Melaka juga memperuntukkan syarat dan tatacara ijab dan kabul
dalam nikah dan kahwin serta hukum dan syarat menjadi saksi dalam tatacara
tersebut yang dijelaskan pada Fasal 26. Hukum tentang hak pembatalan (khiyyar),
hukum bertalak sama ada talak raji’i
atau ba’in serta syarat-syarat yang
berhubungan dengannya, termasuklah masalah melakukan ‘cina buta’, terangkum ke
dalam Fasal 27 dan Fasal 28:1 teks Hukum Kanun Melaka.
Peruntukan yang berteraskan
hukum-hakam dan aqaid Islam jelas terdapat dalam Fasal 25:1 hingga Fasal 30
yang menyentuh tentang masalah “lafaz ijab dan qabul dalam acara nikah”,
“saksi-saksi dacara nikah’, “hukum ‘iddah dalam penceraian”’ juga pada Fasal
34:1 tentang ‘hukum amanah’. Undang-undang pada ‘hukum ikrar’ pula ditentukan;
“…pada
menyatakan hukum ikrar itu dua perkara; suatu pada hak Allah S.W.T. seperti
minum arak dan tuak dan zina; kedua pada hak manusia. Adapun hak Allah S.W.T.
itu dikabulkan, jikalau ia kembali daripada ikrarnya. Bermula pada hak manusia
tiada harus dikabulkan, jikalau ia kembali daripada ikrarnya.”
Begitulah juga undang-undang Islam sebagai syarat
sah seorang menjadi saksi;
“…harus di atas empat martabat.
Pertama, tahu ia akan halal dan haram, kedua tahu ia akan sunat dan fardu,
ketiga tahi ia akan baik dan jahat”.
Dan syarat yang membolehkan seseorang itu menjadi
saksi adalah;
“…lima perkara. Pertama Islam,
kedua baligh, ketiga akil, keempat adal (‘adl), kelima hendaklah menjauhi
daripada dosa yang bear dan dosa yang kecil”.
6.4 Peraturan
Beribadah
Perkara yang paling menarik ialah
struktur dan sebahagian daripada kandungan Hukum Kanun Melaka itu sendiri. Ada
hukum dan undang-undang fiqah Islam yang diserap dan diperundangkan terus dalam
undang-undang negerinya, seolah-olah teks tersebut menjadi sumber rujukan
hukum-hakam Islam pula. Umpamanya tentang hukum ibadat sembahyang dituliskan
pada Fasal 36:2;
“Bermula orang
yang sembahyang itu atas dua perkara, meninggalkan dan tiada iktikadnya pada
fardu sembahyang. Dalam iktikadnya bahawa sembahyang fardu itu disuruh ia
sembahyang. Jika tiada ia sembahyang oleh kesakitan, tiada ia mungkar, disuruh
taubat murtad tiga kali. Jikalau sembahyang, baik jalan itu”.
Begitu berkesan dan berpengaruh sekali hukum Islam
terhadap Hukum Kanun Melaka sehingga terdapat bentuk ekspresinya dipetik terus
daripada ayat al-Quran, contohnya pada Fasal 43:2 yang berbunyi;
“Bismi’l Lahi
al-Rahman al-Rahim. Qala’ ILahu Ta’ala: Ati’u Allaha wa ati’u ur-rasula wa
uli’l amri minkum…”
Dan di sana sini diambil terus hadis Nabi S.A.W yang
antara lain pada fasal yang sama menyebut;
“…sebab sabda
Nabi salla’I Lahu ‘alai wa sallam: kulluhum rain wa kulluhum mas’ulun ‘an
ra’iyatihi…”
Begitulah juga suatu ekspresi dalam bahasa Melayu
pada ayat yang berbunyi “Bermula sama dihukumnya ikrar pada hal sihat dan
sakit”. Setelah dikaji ayat ini, nyatalah ia merupakan terjemahan terus
daripada sepotong ayat Arrab yang mengatakan bahawa, “wa huwa fi hali al-sihati
wa al-marad suwan.” Beberapa ayat bersabiit dengan beberapa peruntukan hukum
juga digunakan terus dalam bahasa Arab, umpamanya pada Fasal 14:1,
“Wa’ILahu
khalaqakum wa ma ta’malun. ILahi bi barakati Jibra.il wa Mika il Israfil wa
Izrail.
Fasal 25:2 pula menyatakan;
“Qabiltu tazwijaha”.
Serta pada Fasal 38:1 yang
menyatakan;
“Albayyinatu ‘ala’I-mudda’ I wa
alyaminu ‘ala man ankar”.
Sewajarnya sumber daripada al-Quran
dan Hadis ini diserap serta digunakan sebagai paduan dan untuk kekuatan rohaniah.
Sumber ini boleh dijadikan sebagai tunjang pada peraturan, adat dan
undang-undang tempatan supaya selaras dengan aspirasi dang tanggunjawab raja,
pembesar dan rakyat Melayu yang telah pun beragama Islam. Hukum Kanun Melaka
sendiri telah menentukan hal ini.
6.5. Penglibatan Ulama
Ulama memainkan peranan yang
penting dalam soal pentadbiran negeri dan hal ini disebut dengan nyata. Ulama
dan kadi terlibat aktif dalam soal pertabalan, perkahwinan dan soal pemakaman
seseorang raja atau sultan. Peranan ulama dan kadi dalam sejarah perundangan
Melaka amatlah penting. Hampir seluruh daripada fasal-fasal yang diperuntukkan
dalam Hukum Kanun Melaka adalah bercorak dan berasaskan perhukuman Islam. Ini
membuktikan bahawa semasa kecemerlangan Kesultanan Melayu Melaka dahulu,
undang-undang Islam telah diamalkan dengan luasnya dalam kalangan masyarakat
tempatan dan jajahan takluk, dusun serta anak Sungai Melaka. Walaupun begitu
tidak ada bukti yang jelas bahawa di Melaka pada masa itu telah wujud institusi
syariah untuk mengendalikan hal ehwal
agama Islam dan penganutnya seperti yang terdapat pada hari ini. Namun, jelas
raja atau sultan ialah penaung undang-undang tersebut. Tokoh yang memelihara
undang-undang ini adalah kadi ataupun hakim. Pendapat mereka akan dirujuk apabila
timbul sebarang pembicaraan dan masalah pengadilan, terutama terhadap
undang-undang Islam dalam kalangan masyarakat tempatan itu.
Begitu bermakna dan berkesan sekali
Hukum Kanun Melaka serta ciri-ciri dan perundangan Melayu-Islam yang termaktub
di dalamnya sehinggakan banyak undang-undang negeri Melayu sebelum penghujung
abad ke-19 terpengaruh dengannya. Undang-undang Johor, Undang-undang Pahang,
Undang-undang Kedah dan Hukum Kanun Datuk Setar serta Undang-undang Kanun 99
Perak adalah secara langsung ataupun tidak langsung dimodelkan daripada Hukum
Kanun Melaka, sama ada yang bercorak adat mahupun yang berbentuk Islam.
Walaupun
pengaruh Islam amat ketara dalam Undang-undang Melaka, masih banyak lagi
pengaruh Hindu dan adat Melayu lama yang bertentangan dengan Islam seperti
perkara-perkara berikut.
i.
Undang-undang yang tidak selari dengan
Islam:
·
Sultan berada di atas undang-undang sama
seperti Konsep Devaraja
·
Hukuman qisas tidak dikenakan kepada
sultan atau kerabat diraja yang lain.
Contohnya peristiwa di mana Raja Muhammad telah membunuh Tun Besar,
hukumannya hanyalah dibuang negeri.
·
Hukuman hudud juga tidak dijatuhkan
kepada sultan. Contohnya dalam kisah Sultan Mahmud yang telah berzina dengan
isteri orang namun Sultan Mahmud tidak dikenakan hukuman sebab seperti yang
sepatutnya dikenakan.
ii.
Mengamalkan diskriminasi dalam
undang-undang
·
Dalam Islam setiap orang adalah sama
taraf. Cuma ketinggian pangkat memerlukan konsep hormat sahaja dan bukanlah
sampai ke tahap menyembah. Namun begitu, dalam Undang-undang Melaka, sultan
tidak mengamalkan nilai kesamaan taraf sesama manusia di mana ada larangan yang
dibuat kepada rakyat iaitu larangan memakai warna kuning dan membina rumah
dengan reka bentuk yang buruk.
·
Konsep tulah dan daulat juga
memperlihatkan raja memandang rakyat sebagai hamba kepada mereka. Rakyat
dipaksa taat setia kepada raja walaupun raja itu memerintah dengan zalim kerana
rakyat terikat dengan konsep daulat dan tulah.
7.0
KESIMPULAN
Jika
dilihat dari zaman kegemilangan Melaka dahulu sehingga ke hari ini,
undang-undang Islam kurang diterapkan di dalam perundangan dunia Melayu. Walaupun
banyak undang-undang Islam yang digunakan dalam Hukum Kanun Melaka dan
Undang-undang Laut, hanya lebih kurang 41 peratus sahaja perundangan Islam yang
termaktud di dalam undang-undang tersebut. Hal ini menunjukkan penerimaan Islam
masih lagi kurang menyeleluruh disebabkan terdapatnya pengaruh hukum adat yang
masih lagi diangkat dalam pelaksanaan undang-undang pada masa itu. Apabila
bermulanya zaman penjajahan Barat ke Tanah Melayu khususnya di Melaka, Barat
cuba mengubah corak undang-undang Islam yang sudah diguna pakai sebelum ini
kepada sistem undang-undang Barat kerana mereka mahu semua pemerintahan di bawah
takluk mereka menggunakan sistem yang sama.
Andaian
yang boleh dibuat jika tiada berlakunya penjajahan Barat ke Tanah Melayu,
pengkaji merasakan perundangan Islam akan terus berkembang dan pada suatu masa
hukum adat akan diketepikan bagi memartabatkan undang-undang Islam yang semakin
kuat mempengaruhi kehidupan pada masa itu. Namun malang apabila perkara
tersebut belum sempat berlaku kerana Melaka telah dijajah oleh Barat. Kesannya
dapat kita lihat pada hari ini apabila perundangan Islam tidak diiktiraf dan
hanya dilaksanakan dalam hal-hal keluarga sahaja. Bersangkutan dengan itu,
dengan menggunakan undang-undang dari Barat ini memperlihatkan negara kita pada
hari ini tidak lagi segemilang pada zaman Melaka dahulu yang mana pada masa
itu, perundangan Islam masih lagi diguna pakai dalam banyak aspek perundangan.
Di samping itu, kita dapat melihat masyarakat kita yang semakin banyak
bergelumang dengan masalah sosial disebabkan tidak tertegaknya undang-undang
Islam ini.
Jika
benarlah tujuan mengenakan hukuman sebagai salah satu cara untuk memerangi
jenayah, maka undang-undang Islam telah berjaya mencapai matlamat ini begitu
jauh dibandingkan dengan system undang-undang yang lain. Hal ini disebabkan
jenayah dicegah sebelum perkara tersebut dilakukan, dan jika jenayah sudah
dilakukan, penjenayah akan dihakimi sehingga ke peringkat terhapus segala kesan
dan dapat memberi peringatan kepada orang lain supaya tidak melakukannya. Bibliografi
Abd. Jalil Borham. (2002). Pengantar perundangan Islam. Johor
Bahru, Johor: Universiti Teknologi Malaysia.
Abdul
Halim El-Muhammady. (1993). Perkembangan
undang-undang Islam dari zaman Rasulullah S.A.W hingga zaman penjajahan barat.
Petaling Jaya: Budaya Ilmu.
Abu Hassan Sham. (1995). Hukum kanun Melaka. Melaka: Penerbitan
Perbadanan Muzium Melaka.
Khoo Kay Kim (Eda.). (1982). Melaka dan sejarahnya. Melaka:
Persatuan Sejarah Melaka.
Liaw York Fang (Eds.). (2003). Undang-undang Melaka dan undang-undang laut
/ dikaji dan diperkenalkan oleh Liaw York Fang. Kuala Lumpur: Yayasan
Karyawan.
Muhammad Yusof Hashim. (1989). Kesultanan Melayu Melaka: kajian beberapa
aspek tentang Melaka pada abad ke-15 dan abad ke-16 dalam sejarah Malaysia.
Kuala Lumpur: dewan bahasa dan pustaka dan kementerian pendidikan Malaysia.
Othman
Ishak. (1997). Hubungan antara
undang-undang Islam dengan undang-undang adat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka.
Pentadbiran dan
undang-undang Islam sebelum penjajahan Inggeris diperoleh pada
19 April 2014 daripada http://books.google.com.my/books?id=kCapxwBQVU0C&pg=PA4&lpg=PA4&dq=unsur+islam+dalam+hukum+kanun+melaka&source=bl&ots=I1EyW0a-JD&sig=YyPAlAJxpT3lLrF4s_168w8TELQ&hl=en&sa=X&ei=0H5SU_SXI4TBrAeVpIGQDQ&redir_esc=y#v=onepage&q=unsur%20islam%20dalam%20hukum%20kanun%20melaka&f=false
Sejarah Melaka
diperoleh pada 22 Aprl 2014 daripada http://rujuknota.blogspot.com/2009/09/sejarah-melaka.html
Sejauhmanakah
unsur-unsur Islam mempengaruhi Hukum Kanun Melaka pada zaman Melayu Melaka diperoleh pada
22 April 2014 daripada http://fastnote.wordpress.com/pengaruh-islam-dalam-hukum-kanun-melaka/
Subscribe to:
Posts (Atom)