Selamat Datang Ke Blog Kami =)

ayat bergerak

MARI MENYELUSURI KEAGUNGAN SEJARAH LAMPAU BERSAMA KAMI =)

Thursday, May 15, 2014

Prinsip Kesempurnaan Berbahasa dalam Pantun Melayu Bingkisan Permata

ABSTRAK
Teori Falsafah Bahasa sangat berkait rapat dalam mencapai tahap kesempurnaan dalam berbahasa. Hal ini dapat dicapai mengambil kira tiga prinsip asa dalam kesempurnaan berbahasa, iaitu yang pertama adalah berbahasa mengikut nahu iaitu kita menggunakan bahasa dengan hukum-hukum tatabahasa yang betul, yang kedua pula adalah berbahasa untuk menyampaikan maklumat yang benar seperti yang disuruh oleh Allah S.W.T dan yang terakhir adalah berbahasa untuk tujuan ibadah ataupun mentauhidkan Allah kerana segala yang dilakukan oleh kita akan dibalas pada kemudian hari kelak. Kesempurnaan berbahasa ini merangkumi segala hal berkaitan dengan bahasa termasuk berbahasa melalui lisan ataupun berbahasa melalui tulisan. Lisan merupakan perbualan seharian dan komunikasi kita bersama masyarakat manakala tulisan pula melibatkan kaedah penyampaian maklumat melalui pembacaan. Kedua-dua kaedah ini tidak dapat lari daripada hak untuk mencapai kesempurnaan berbahasa tertakluk kepada prinsip-prinsip yang sudah termaktub dalam Teori Falsafah Bahasa. Dalam artikel ini, pantun-pantun dalam Pantun Melayu Bingkisan Permata menjadi bahan untuk disusuri sejauh mana kesempurnaan berbahasa yang terkandung di dalamnya. Ternyata tulisan atau pantun-pantun yang dihasilkan oleh orang-orang zaman Melayu dahulu sudah mencapai tahap kesempurnaan bahasa yang baik. Maka, tanggungjawab beralih kepada generasi kini untuk meneruskan kesinambungan kebijaksanaan orang-orang Melayu dalam berbahasa supaya tidak hilang begitu sahaja.

1.0  PENGENALAN
Dalam kehidupan seharian kita sebagai manusia, kita tidak dapat mengelakkan diri kita daripada berkomunikasi dengan orang lain. Walau dalam apa-apa situasi juga, kita masih perlu berkomunikasi sama ada melalui percakapan, penulisan mahupun gerak bahasa badan. Namun, perkara yang paling asas dalam berkomunikasi ini adalah melalui komunikasi berbahasa. Manusia akan sentiasa bercakap dalam banyak perkara sama ada ingin menyampaikan arahan, sindiran, nasihat dan pelbagai perkara lagi. Tamadun manusia diangkat apabila sekelompok manusia itu mempunyai organisasinya yang tersendiri.
      Dalam tidak sedar sebenarnya kita sekarang ini merupakan sebahagian daripada organisasi yang dibina itu. Sesebuah organisasi dibentuk melalui komunikasi antara pihak atasan sehingga ke peringkat bawahan. Segala arahan yang diberi merupakan salah satu bentuk komunikasi berbahasa yang mempunyai maklumat dan tujuannya yang tertentu. Jika maklumat yang diberi oleh pihak atasan tersebut salah, maka seluruh organisasi akan menanggung segala kesalahan itu seterusnya bakal memberikan implikasi yang buruk. Oleh sebab itu, dalam berbahasa sangat penting untuk semua orang memainkan peranan dan bertanggungjawab ke atas apa yang apa yang disampaikan. Kaedah berbahasa yang betul dan baik bakal menghasilkan sebuah komunikasi yang berkesan walau dalam apa juga saluran penyampaian maklumat.
      Untuk menghasilkan komunikasi berbahasa yang berkesan ini, adalah lebih elok jika falsafah dalam berbahasa itu dapat difahami dan diamati seterusnya dapat dipraktikkan dalam penggunaan bahasa kita seharian. Secara ringkasnya, Teori Falsafah Bahasa yang diperkenalkan oleh Mohd Rashid Md. Idris pada tahun 2007 menggariskan tiga prinsip dalam mencapai kesempurnaan berbahasa oleh seseorang itu.  prinsip asas pertama dalam Teori Falsafah Bahasa adalah berbahasa mengikut nahu, yang kedua pula adalah berbahasa untuk menyampaikan maklumat yang benar dan prinsip yang ketiga adalah berbahasa untuk tujuan ibadat atau mentauhidkan Allah S.W.T.

2.0  PRINSIP KESEMPURAAN BERBAHASA DALAM PANTUN Melayu BINGKISAN PERMATA
2.1  Berbahasa Mengikut Nahunya
Bahasa adalah sesuatu yang bersistem dan berperaturan. Dari sudut ilmu linguistik, peraturan yang mengawal sistem kebahasaan itu dikenali sebagai nahu atau tatabahasa. Bahasa juga adalah entiti yang hidup dan sentiasa berkembang seiring dengan kemajuan dan peningkatan peradaban manusia penuturnya. Perkembangan ini menjadikan bahasa semakin kompleks dan rencam. .Nahu merupakan cabang ilmu linguistik yang berkaitan dengan fonologi, morfologi, sintaksis, semantik dan pragmatik. Prinsip pertama ini menekankan peri pentingnya berbahasa mengikut nahu-nahu ini. Proses komunikasi perlu mematuhi nahu-nahu bahasa ini supaya maklumat yang disampaikan mencapai objektifnya.
      Melalui prinsip pertama kesempurnaan bahasa iaitu berbahasa mengikut nahunya, analisis beberapa aspek akan dilakukan terhadap sebuah karya agung iaitu karya agung Pantun Melayu ; Bingkisan Permata. Antara aspek yang diteliti ialah aspek morfologi dan aspek sintaksis. Hal ini demikian, pantun merupakan wadah yang digunakan oleh orang Melayu untuk mengungkapkan fikiran dan rasa hatinya tentang makna kehidupan, tentang kelakuan manusia dan hubungannya dengan alam sekitar. Justeru, amat wajar dilakukan analisis prinsip kesempurnaan bahasa ini terhadap pantun-pantun Melayu khususnya yang terdapat dalam Pantun Bingkisan Permata ini. Berikut merupakan analisis tersebut mengikut prinsip kesempurnaan berbahasa yang pertama.
2.1.1        Aspek Morfologi
Morfologi ialah satu bidang yang mengkaji satu struktur gramatikal perkataan, iaitu kemungkinan adanya perubahan kata, golongan kata dan makna kata akibat perubahan bentuk kata. Menurut Siti Hajar Abdul Aziz di dalam bukunya Siri Pendidikan Guru, Bahasa Melayu 1, pada halaman 132, morfologi boleh diertikan sebagai bidang tatabahasa yang mengkaji perkataan dan cara-cara pembentukannya.
Struktur kata bermaksud susunan bentuk bunyi ujaran atau lambang (tulisan) yang menjadi unit bahasa yang bermakna. Bentuk kata pula ialah rupa unit tatabahasa, sama ada berbentuk tunggal atau hasil daripada proses pengimbuhan, pemajmukan dan penggandaan (Ahmad Khair Mohd Nor at. El, 2012). Penggolongan kata ialah proses menjeniskan perkataan berdasarkan keserupaan bentuk atau fungsi, atau bentuk dan fungsinya (Nik Safiah Karim, Farid M.Onn, hashim haji Musa, dan Abdul Hamid Mahmood, 2011). Tuntasnya, morfologi bahasa Melayu ialah bidang yang mengkaji struktur, bentuk dan golongan kata dalam Bahasa Melayu.
Dalam Pantun Melayu; Bingkisan Permata kita dapat melihat adanya aspek-aspek morfologi tersebut iaitu golongan kata, pembentukan kata, dan strukturnya. Berikut merupakan contoh yang menjelaskan aspek tersebut;
Merpati terbang ke jalan,
Ikan belanak makan di karang,
Bonda mati bapak berjalan,
Melarat anak tinggal seorang.
(PMBP; 34)

Tengah rembang panas teduh,
Peluh dibadan habis bertitik,
Ayuhai saudara jangan bergaduh,
Lihatlah bonda sudah berbalik.
(PMBP; 31)
Melalui contoh pantun di atas, kita dapat melihat terdapat golongan kata bahasa Melayu iaitu Kata Nama, Kata Kerja, Kata Adjektif, dan Kata Sendi Nama. Terdapat banyak kata nama dalam pantun di atas misalnya, merpati, ikan belanak, bonda, saudara dan lain-lain. Contoh kata kerja juga diperlihatkan dalam pantun di atas seperti terbang, makan, bergaduh, lihatlah dan sebagainya. Bagi contoh kata adjektif pula dalam pantun di atas adalah seperti rembang, panas, dan teduh. Bagi Kata Sendi Nama yang terdapat dalam pantun di atas seperti ke dan di.
Melalui analisis ini dapatlah kita simpulkan dalam Pantun Melayu Bingkisan Permata ini terdapat golongan-golongan kata bahasa Melayu tersebut. Selain melihat golongan kata, aspek morfologi juga melihat kepada kata dasarnya dan pembentukan kata. Kata dasar adalah kata akar yang tidak menerima apa-apa imbuhan atau penggandaan. Kata terbitan pula adalah kata akar yang telah menerima imbuhan atau penggandaan (Ahmad Khair Mohd Nor, 2007). Secara mudahnya, kita dapat melihat aspek-aspek tersebut dalam Pantun Melayu Bingkisan Permata ini. Berikut merupakan contoh yang memperlihatkan aspek tersebut;
Baik-baik bertanam ubi,
Biar rapat jangan jarang,
Baik-baik bertanam budi,
Budi yang mana dikenang orang.
(SBSB; 22)
Kain Bali Selendang Bali,
Serindit makan lada muda,
Jikalau tidak kenang sekali,
Kenang sedikit ada juga.
(PMW; 64)
Cik Minah memakai merjan,
Disinar api cahaya gemerlap,
Bumi mana tak kena hujan,
Manusia mana tak buat silap.
(PPM; 48)

Lalai-lalai mana bubutan,
Bubutan lagi dikelati,
Kakak Tun Telanai mana pungutan,
Pungutan lagi di Tanjung Jati.
(SM; 102)

Melalui pantun di atas terdapat kata akar dan kata terbitan. Kata akar juga merupakan kata dasar dalam morfologi dalam pantun di atas adalah seperti ubi, rapat, jarang, budi dan sebagainya. Selain kata dasar, kata terbitan yang menerima imbuhan awalan dalam pantun di atas seperti bertanam, dikenang dan sebagainya. Bagi imbuhan sisipan pula contoh yang terdapat dalam pantun di atas adalah seperti selendang yang menerima imbuhan –el-, gemerlap yang menerima imbuhan –em- . Selain itu, terdapat banyak lagi contoh imbuhan sisipan yang terkandung dalam karya agung Pantun Melayu Bingkisan Permata ini. Bagi imbuhan akhiran pula, contoh yang terdapat dalam pantun di atas adalah seperti bubutan dan pungutan yang menerima imbuhan akhiran –an. Contoh bagi imbuhan sisipan pula dalam pantun di atas seperti dikelati iaitu imbuhan apitan di-i.
Selain kata terbitan melalui proses pengimbuhan, terdapat juga kata terbitan yang terhasil melalui proses penggandaan. Dalam Pantun Melayu Bingkisan Permata, terdapat banyak kata ganda yang digunakan di dalam pantun. Dalam contoh pantun di atas juga kita dalam melihat kata ganda digunakan misalnya, baik-baik yang menggandakan kata dasar baik, dan lalai-lalai yang menggandakan kata dasar lalai. Justeru, secara keseluruhannya Pantun Melayu Bingkisan permata ini memenuhi aspek morfologi.
2.1.2        Aspek Sintaksis
Sintaksis ialah cabang ilmu bahasa yang mengkaji bentuk, struktur, dan binaan atau konstruksi ayat. Sintaksis bukan sahaja mengkaji proses pembinaan ayat tetapi juga hukum-hukum yang menentukan bagaimana perkataan disusun dalam ayat. Ringkasnya, bidang sintaksis membincangkan tentang hal berkaitan ayat. Dalam analisis ini aspek sintaksis yang akan dilihat adalah aspek pola ayat. Pola ayat ini terdiri daripada subjek dan predikat. Subjek biasanya terdiri daripada frasa nama, predikat pula terdiri daripada frasa nama (FN), frasa kerja (FK), frasa adjektif (FA) dan rasa sendi nama (FS) (Ahmad Khair Mohd Nor, 2003). Berikut merupakan pola ayat dasar dalam Bahasa Melayu;
i. Frasa Nama + Frasa Nama (FN + FN)
ii. Frasa Nama + Frasa Kerja (FN + FK)
iii. Frasa Nama + Frasa Adjektif (FN + FA)
iv. Frasa Nama + Frasa Sendi Nama ( FN + FSN)

Juragan bernama Sutan Tahir,
Muat beras bercampur pulut,
Selama masa adikku lahir,
Telah boleh kawan bergelut.
 (PMBP; 29)
Bintang kejora terbit senja,
Terbenam hampir tengah malam,
Hairanlah hamba memikirkannya,
Musang disepak induk ayam.
(PMBP; 227)

Belayar perahu dari Berandan,
Menuju ke arah Selat Melaka,
Lebar kepala dari badan,
Apakah itu cubalah teka?
(APM1; 15)

Burung serindit terbang ke hulu,
Berbunyi aur mendayu-dayu,
Laila kata madah dahulu,
Pokoknya rendang daun tak layu.
(SARH; 9)

Dalam contoh pantun di atas, kesemuanya mengandungi subjek dan predikat. Misalnya dalam ayat “Juragan bernama Sutan Tahir” subjeknya adalah “Juragan” manakala predikatnya adalah “bernama Sultan Tahir”. Begitu juga dengan ayat  “Burung serindit terbang ke hulu”, subjeknya adakah “burung serindit”, manakala predikatnya pula adalah “terbang ke hulu”. Subjek terdiri daripada FN manakala predikat terdiri daripada FN dan selain dari FN sebagaimana yang telah dijelaskan.
Bagi contoh pola ayat dasar yang mengandungi rumus FN+FN dapat dilihat dalam contoh pantun di atas juga iaitu;
[Juragan] [bernama Sutan Tahir]---------------------- Contoh 1
Dalam contoh 1 di atas, Juragan adalah nama orang atau mewakili kepada Frasa Nama dalam ayat tersebut. “bernama Sutan Tahir” juga merupakan Frasa Nama. Ini menunjukkan di dalam Pantun Melayu Bingkisan Permata, terdapat pola FN+FN dalam sintaksisnya. Selain itu, pola FN+FK juga merupakan pola dasar bahasa Melayu. Frasa kerja merupakan frasa yang menunjukkan sesuatu kerja. Berikut merupakan contoh pola tersebut yang terdapat dalam contoh pantun yang diberikan di atas;
[Hairanlah hamba] [memikirkannya]-------------------- Contoh 2
[Musang] [disepak induk ayam]-------------------------- Contoh 3
Dalam contoh 2 di atas, subjeknya adalah FN iaitu “hairanlah hamba” dan predikatnya pula adalah FK iaitu “memikirkannya”. Begitu juga dengan contoh 3 di atas yang mempunyai pola FN+FK. Subjek bagi contoh 3 di atas adalah FN iaitu “Musang” dan predikatnya adalah FK iaitu “disepak induk ayam”. Ini menunjukkan di dalam Pantun Melayu Bingkisan Permata, terdapat pola FN+FK dalam aspek sintaksisnya. Selain itu, pola dasar bahasa Melayu adalah FN+FA. Sebagaimana yang sedia maklum, frasa adjektif adalah frasa yang menunjukkan sesuatu sifat. Berikut merupakan contoh pantun yang mendukung pola FN+FA;
[Terbenam] [hampir tengah malam]-------------------- Contoh 4
[Berbunyi aur] [mendayu-dayu]------------------------ Contoh 5
[Pokoknya] [rendang daun tak layu]------------------- Contoh 6
Dalam contoh 4 di atas, subjeknya “terbenam” dan pradiketnya pula “hampir tengah malam”. “tengah malam” tersebut menunjukkan sifat iaitu keadaan malam. Jadi, frasa tersebut adalah FA. Begitu juga dengan contoh 5, “berbunyi aur” merupakan FN dan mewakili subjek ayat, manakala perdikatnya adalah “mendayu-dayu”. Mendayu-dayu tersebut menunjukkan sifat sesuatu keadaan. Sifat tersebut menunjukkan bahawa frasa tersebut mendukung frasa adjektif. Dalam contoh 6 juga dapat dilihat pola FN+FA, FN dalam ayat tersebut adalah “pokoknya” manakala FA adalah “rendang daun tak layu”. Keadaan ini menunjukkan bahawa dalam Pantun Melayu Bingkisan Permata, mendukung pola ayat dasar FN+FA.
Selain frasa tersebut, frasa sendi nama juga terdapat dalam pembinaan pola ayat dasar. Unsur pengisi FSN ialah kata sendi dan kata nama. Unsur lain seperti kata nama arah, ayat komplemen dan keterangan merupakan pilihan sahaja. Kata sendi ini hanya hadir selepas kata nama atau frasa nama. Antara contoh FSN seperti di, ke, dari, daripada, pada, kepada, untuk, akan, hingga, sampai, dalam dan sebagainya bergantung konteks ayat. Berikut merupakan pola FN+FSN yang terdapat dalam contoh Pantun Melayu Bingkisan Permata seperti di atas;
[Belayar perahu] [dari Berandan]--------------------------- Contoh 7
[Menuju] [ke arah Selat Melaka]--------------------------- Contoh 8
[Lebar kepala] [dari badan]---------------------------------- Contoh 9
Dalam ayat contoh 7, contoh 8 dan contoh 9 di atas Subjeknya adalah FN dan predikatnya adalah FSN. Misalnya dalam ayat contoh 7, subjeknya ialah “belayar perahu” sebagai FN dan predikatnya “dari Berendan” sebagai FSN. “dari” tersebut menunjukkan kata sendi nama. Penggunaan kata tersebut mempengaruhi frasa ayat tersebut. Begitu juga dengan contoh 8, subjeknya ialah “menuju” sebagai FN, manakala predikatnya ialah “ke arah Selat Melaka” sebagai FSN. “ke” tersebut menunjukkan penggunaan Kata Sendi Nama yang mewakili keseluruhan frasa tersebut. Keadaan yang sama dalam ayat contoh 9, “lebar kepala” dalam ayat tersebut sebagai subjek dan FN, dan predikatnya “dari badan” sebagai FSN. Kehadiran “dari” tersebut  menunjukkan frasa tersebut sebagai FSN.
Secara keseluruhannya, dapat disimpulkan melalui aspek sintaksis ini, Karya Agung Pantun Melayu; Bingkisan Permata mematuhi segala aspek-aspek sintaksisnya seperti pola ayat dasar. Selain pola dasar, pantun yang terdapat dalam Bingkisan Permata ini juga mempunyai pola-pola yang lebih kompleks tetapi tidak dilihat dalam konteks kertas kerja ini. Selain itu, aspek semantik dan pragmatik juga tidak dikupas dalam kajian ini. Namun, sudah semestinya pantun-pantun yang terdapat dalam Karya Agung ini mempunyai makna yang tersirat kerana pantun dahulunya digunakan sebagai wadah untuk menyampaikan sesuatu yang tersurat dan tersirat. Dapat disimpulkan bahawa Karya Agung Pantun Melayu Bingkisan Permata ini mematuhi prinsip pertama dalam Prinsip Kesempurnaan Berbahasa iaitu berbahasa mengikut nahunya.

2.2  Berbahasa untuk Menyampaikan  Maklumat Yang Benar.
Tujuan manusia berkomunikasi kebiasaannya adalah untuk saling menyampaikan sesuatu berita atau sesuatu maklumat. Namun, dalam penyampaian maklumat tersebut kadang kala terdapat maklumat yang diragui kebolehpercayaannya dan mengakibatkan salah faham berlaku. Perkara seperti itu sangat bertentangan dengan Teori Falsafah Bahasa yang sangat menekankan bahawa orang berbahasa dengan tujuan menyampaikan maklumat atau informasi yang betul dan benar. Oleh sebab itu, sebelum kita menyampaikan sesuatu perkara atau maklumat, kita harus selidik dahulu sama ada maklumat tersebut benar atau tidak. Apabila kita sudah pasti maklumat tersebut benar, barulah maklumat layak untuk disampaikan kepada orang lain pula. Hal ini sama seperti yang diperintahkan oleh Allah S.W.T dalam al-Quran yang dimuatkan dalam Rashid Idris (2012), maksudnya:
“wahai orang-orang yang beriman! Jika seseorang yang fasik datang kepadamu membawa suatu berita, maka telitilah kebenarannya, agar kamu tidak mencelakakan suatu kaum kerana kebodohan (kecerobohan, yang akhirnya kamu menyesali perbuatanmu itu.”
Dalam ayat di atas, Allah memberi perintah kepada manusia supaya manusia meneliti dan menyelidik dahulu sebarang maklumat yang diterima. Setelah memastikan maklumat tersebut benar, baru dibenarkan maklumat tersebut disebarkan kepada manusia yang lain. Selain melalui pertuturan, penulisan juga memerlukan tahap ketelitian yang tinggi bagi memastikan perkara yang ditulis itu benar yang tepat untuk disampaikan. Tidak kira dalam apa-apa bentuk genre penulisan sama ada prosa, puisi, cerita dan lain-lain lagi, unsur-unsur kebenaran mesti diselitkan bagi menghasilkan satu penulisan yang berkualiti dan benar berdasarkan fakta.
Karya sastera merupakan antara corak penulisan yang banyak menyelitkan prinsip asas kedua dalam Teori Falsafah Bahasa ini. Contoh karya sastera tersebut adalah pantun-pantun tradisional lama yang dikumpulkan melalui karya Pantun Melayu Bingkisan Permata.

Ikan tokak makan meranggung,
Sedap tekak, badan menanggung
(Bingkisan Permata: 33)
Ikan tokak sejenis ikan yang bermulut besar dan melahap makanan dengan rakus; ini sesuai dipadankan dengan tabiat orang yang makan dengan lahap sehingga mendatangkan mudarat pada kesihatan. Kata orang, apa yang kita makan, itulah yang menjadikan diri kita. Jika dilihat dalam masyarakat sekarang, pengambilan makanan secara berlebihan seakan menjadi satu tabiat dalam kehidupan seharian sehinggakan banyak kempen-kempen yang dianjurkan bagi mengatasi masalah kesihatan yang berpunca daripada cara pemakanan seharian. Jelas dilihat masyarakat zaman dahulu lagi telah mempunyai tabiat yang tidak baik dalam pengambilan makanan. Oleh itu tikak hairanlah keadaannya lebih parah di zaman yang serba canggih kini dengan adanya fenomena masyarakat skrin seperti yang dipaparkan dalam akhbar Utusan Online yang bertarikh 30/1/2011 yang membincangkan tajuk Masyarakat Pelahap.


Lengkitang bertimbun-timbun,
Masak dengan putik jagung,
Hantu musang mata rabun,
Datang ayam patuk punggung.
(Bingkisan Permata: 38)

Lurus jalan ke Payakumbuh,
Kayu jati bertimbal jalan,
Di mana hati tidakkan rusuh,
Ibu mati bapa berjalan.
(Bingkisan Permata: 39)

Menyatakan keburukan tabiat menyabung, berlaga ayam; iaitu suatu bentuk pertaruhan yang boleh merugikan, membuang masa dan kadangkala menyebabkan pergaduhan. Sama dengan perjudian yang lain, aktiviti bersabung ayam merupakan aktiviti yang termasuk dalam dosa besar kerana ia dikaitkan dengan amalan syaitan. Ia juga dikategorikan sebagai judi yang diketahui membawa banyak keburukan kepada orang yang suka berjudi. Pengharamannya jelas dinyatakan dalam firman Allah yang bermaksud:
“Wahai orang beriman! Sesungguhnya arak, judi, penyembahan berhala dan bertilik nasib adalah najis (najis) dan ia daripada perbuatan syaitan.” (Surah al-Maidah: ayat 90)
Sehingga hari ini kita masih mendengar aktiviti bersabung ayam, maka tidak hairanlah jika zaman dahulu lagi telah wujud kegiatan bersabung ayam dalam masyarakat Melayu.

Jika tumbuh rebung kuali,
Makan kerak berulam lada
Jika sungguh maharaja khayali
Terlebih pula daripada ganja
(Bingkisan Permata: 327)

Keperihalan tentang khayali- rasa khayal oleh sesuatu, suara yang merdu dan sebagainya, lebih mengkhayalkan daripada ganja. Pengetahuan terhadap ganja yang memabukkan memang telah lama wujud dalam masyarakat Melayu Nusantara- namun tidak semestinya mereka mengamalkan pengambilannya. Dalam masyarakat kini, kita telah ditetapkan dengan panduan-panduan dan larangan-larangan dalam pengambilan barangan yang memabukkan bagi memastikan kita tidak mudah terjerumus ke dalam kegiatan yang tidak sihat. Kini, sekiranya kita terjerumus dalam najis dadah, amat sukar untuk membebaskan diri. Implikasi terhadap pengambilan dadah juga akan terkena pada diri penagih dengan mendapat pelbagai jenis penyakit yang berbahaya.
Adakah perisai bertali rambut
Rambut dipintal akan cemara
Adakah bisai tahu takut
Kami pun muda lagi perkasa.
(Bingkisan Permata: 540)
Perisai ialah alat untuk menangkis senjata dalam peperangan, diperbuat daripada besi keluli yang kuat dan teguh. Cemara ialah rerambut yang dipintal menjadi rumbai, atau ekor binatang seperti kuda atau lembu yang diikatkan kepada senjata, lembing dan perisai sebagai hiasan. Dalam sesebuah peperangan, perisai sangat berfungsi bagi melindungi diri daripada terdedah kepada musuh dan memastikan diri menjadi lebih selamat. Malah di zaman Kesultanan Melayu Melaka juga turut digunakan perisai semasa pertarungan Hang Tuah dan Hang Jebat. Justeru itu, perisai yang digunakan Hang Tuah dapat menyelamatkan dirinya daripada ditikam Hang Jebat.

Si kupang berbaju besi,
Akan terumpak si buku buluh,
Dikepung aku tiada mati,
Aku memakai si sangga bunuh.
(Bingkisan Permata: 580)

 “ilmu sangga bunuh” ialah ilmu pakaian diri untuk kebal, tidak lut oleh senjata dan mempunyai kuasa serta gagah dalam pertarungan. Amalan sangga ini juga merupakan amalan atau ilmu bagi keselamatan diri dengan bacaan ayat-ayat tertentu. Ilmu ini banyak dipraktikkan oleh mereka yang mengamalkan ilmu seni bela diri yang bertujuan menjadikan diri mereka hebat semasa berhadapan dengan musuh ataupun berada di dalam gelanggang pertarungan.

2.3  Berbahasa untuk Tujuan Ibadah atau Mentauhidkan Allah
Menurut Kamus Dewan (2010), ibadah bermaksud bakti (khidmat) kepada Tuhan, perbuatan dan amalan yang dilakukan sebagai bakti kepada atau kerana Tuhan. Perbuatan yang boleh membawa kepada ibadah adalah seperti sembahyang, berdoa, bersedekah, berbuat baik sesama manusia dan lain-lain lagi. Manakala maksud tauhid menurut Kamus Dewan (2010) pula ialah, keesaan dan ketunggalan (Allah). Ini bermakna tidak ada tuhan selain Allah seperti mana yang termaktub di dalam makna kalimah syahadah. Sebagai makhluk Allah, kita disarankan supaya melakukan ibadah dan ketaatan kepadanya. Hal ini demikian kerana ibadah adalah satu tanda manusia mengabdikan dan menghambakan diri kepada Allah. Ibadat bukan hanya memenuhi tuntutan yang terdapat di dalam rukun Islam sahaja, malah ibadat merangkumi semua perkara yang baik atau mahmudah dengan niat baik yang disandarkan semata-mata kerana Allah. Perkara ini termasuklah cara manusia berbahasa ataupun berkomunikasi. Di dalam Islam, umatnya disarankan menjaga lidah yang menjadi satu alat untuk berbahasa atau berkomunikasi seperti mana Allah SWT berfirman :
“Tiada satu kata pun yang diucapkan (manusia) melainkan di depannya (dicatat) oleh Malaikat pengawas yang selalu hadir.” (Surah Qaf ; 18)
      Ayat di atas menegaskan setiap Muslim hendaklah menjaga lidahnya daripada memperkatakan perkara yang tidak baik dan sia-sia di dalam setiap tutur bicaranya. Hal ini demikian kerana apabila lidah tidak dijaga dengan baik, maka komunikasi tersebut akan menjurus kepada dosa dan merencatkan konsep ibadah yang sempurna kepada Allah.
      Berdasarkan pantun-pantun yang terdapat di dalam Karya Bingkisan Permata, kita dapat melihat bahawa orang-orang Melayu terdahulu berbahasa untuk mengajak manusia melakukan ibadah dan mengesakan Allah. Pantun-pantun di dalam karya ini mengingatkan manusia supaya beribadat kepada Allah bagi menjaga hubungan yang murni di antara makhluk dengan penciptanya. Sebagai contoh pantun di bawah :
Hendaklah rajin bertanam betik,
Betik rambai banyak faedahnya,
Segala kerja mesti selidik
Kalau tidak buruk padahnya,
                                                                                                            (Bingkisan Permata : 151)
Limau manis dua serangkai,
Lalu dicuri si anak Cina,
Mulut manis jangan dipakai,
Saya sendiri sudah terkena.
                                                                                                            (Bingkisan Permata : 163)
      Berdasarkan pantun yang pertama, pantun menegaskan bahawa setiap pekerjaan yang dilakukan manusia mestilah diteliti agar tidak mendatangkan mudarat atau dosa kepada pelakunya. Antara salah satunya ialah cara kita berbahasa. Dalam berbahasa, kita juga seharusnya menjaga atau menapis bait –bait perkataan yang keluar daripada mulut kita agar perkara tersebut tidak dikeji dan dibenci oleh Allah. Antara perbuatan-perbuatan yang dikeji Allah dalam berbahasa ialah mengumpat, mencela, mengejek, menipu, mengadu domba dan lain-lain. Dalam konsep berbahasa yang menjurus kepada ibadah ini, Allah menyarankan kita berbahasa bagi ke arah mendatangkan kebaikan dengan memperlihatkan ciri-ciri penyampaian maklumat yang benar, berbahasa untuk saling menegur, menasihati dan yang paling jelas ialah penggunaan bahasa sepanjang menuntut ilmu yang bermanfaat. Jelas bahawa berbahasa yang memperlihatkan kesan positif kepada diri sendiri atau orang lain merupakan salah satu kaedah kita mengabdikan diri kepada Allah. Pada pantun yang kedua pula pencipta pantun memperkatakan tentang orang yang suka seperti ‘manis mulut’. Orang yang bercakap ‘manis mulut’ ini merupakan orang yang hanya bercakap perkara yang sia-sia dan tidak membawa apa-apa kebaikan kepada orang lain malahan mempermainkan perasaan orang lain. Pencipta pantun menegur perbuatan orang yang suka ‘bermanis mulut’ ini kerana perbuatan tersebut boleh mendatangkan kemarahan orang lain. Pantun tersebut memberi contoh bahawa sesuatu teguran dan nasihat tersebut boleh membawa ibadah kepada Allah dengan nasihat yang membawa kebaikan kepada manusia sejagat. Di dalam karya ini juga, penulis pantun juga membuat pantun yang menyebut tentang keesaan Allah. Di antara pantun-pantunnya ialah :

Anak ayam turun dua,
Mati seekor tinggallah satu,
Ilahi Rabbi makbulkan doa,
Masuk ke syurga Tuhan Yang Satu,
                                                                                                            (Bingkisan Permata : 135)
           

Anak ayam turun satu,
Mati seekor habislah sudah,
Masuk ke syurga Tuhan Yang Satu,
Mudah-mudahan di perkenan Allah
                                                                                                            (Bingkisan Permata : 135)

      Berdasarkan dua pantun di atas, kita dapat melihat unsur ketuhanan yang esa diterapkan di dalam kedua pantun tersebut. Ini membuktikan bahawa tujuan pantun ini juga menyeru ataupun menyedarkan manusia untuk mengesakan Allah. Pantun merupakan satu khazanah bangsa yang mempunyai nilai yang amat tinggi dalam kalangan masyarakat Melayu. Masyarakat Melayu dahulu amat mementingkan adat dan ajaran Islam. Maka tidak hairanlah jika unsur-unsur agama dimasukkan ke dalam pantun bagi mengajak manusia mengenal tuhan dan sebagai satu dakwah kepada masyarakat Melayu yang lain. Pantun juga berperanan dalam menyampaikan nasihat dan dijadikan salah satu medan supaya pembaca pantun mengenal Tuhannya yang esa melalui bait-bait pantun yang diciptakan oleh penulis. Terdapat pelbagai cara bagi kita mengakui keesaan dan ketauhidan Allah termasuklah dari segi perbuatan, perkataan dan iktikad hati. Di antara salah satu cara mentauhidkan Allah adalah melalui bait-bait pantun yang menyebut tentang keesaan Allah dan menyeru kepada pembaca untuk mengenalnya. Kepercayaan masyarakat alam Melayu sebelum kedatangan Islam dipengaruhi oleh animism dan dinamisme yang mempercayai setiap perkara atau benda mempunyai semangat atau roh yang member kesan baik atau buruk serta mempercayai kuasa roh nenek moyang.
      Walau bagaimanapun selepas kedatangan agama Islam, dengan menerapkan amalan tauhid yang sememangnya menjadi akidah Islam kepada masyarakat alam Melayu akan melahirkan amalan yang sebaris dengan syariat Islam terutama ibadah khusus seperti solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadhan, memberi zakat, mengerjakan haji bagi yang berkemampuan, membaca Al-Quran serta seumpamanya. Jadi pengaruh akidah, ibadah dan tasawur Islam sangat membantu di dalam kehidupan masyarakat di alam Melayu serta mengukuhkan lagi agama Islam sehingga kini dan susah untuk dipisahkan antara Melayu dengan Islam. Dengan ini menjadikan masyarakat Melayu ingin membina tamadun yang lebih gemilang berbanding zaman sebelumnya. Hal ini secara tidak langsung elemen-elemen keislaman ini termasuk dalam penulisan dan karya-karya orang Melayu terdahulu sebagai salah satu cara menyeru masyarakat supaya mentauhidkan Allah. Di dalam pantun tersebut juga mengandungi unsur nasihat dan pengajaran yang membawa kita kepada mengenal agama. Pantun tersebut diistilahkan atau dikategorikan sebagai pantun agama iaitu pantun yang menekankan isi-isi yang berkaitan dengan agama.
      Di samping itu, pantun-pantun yang terdapat di dalam Karya Bingkisan Permata ini juga membawa kepada nilai-nilai murni, pengajaran serta nasihat kepada pembaca. Penyusunan pantun yang diolah dengan rapi dan disusun indah mengandungi seribu satu maksud yang amat mendalam, yang menjadi wadah dalam menyampaikan nasihat, sindiran, gurauan dan luahan perasaan. Setiap lagu dan ungkapan yang digunakan bukan sahaja memperlihatkan irama yang indah, tetapi juga disusun dengan begitu teliti agar pemilihan perkataan yang digunakan dapat membayangkan corak pemikiran yang kritis. Masyarakat Melayu yang amat terkenal dengan budi bahasa dan budaya ketimuran yang mementingkan “air muka” dan adab sopan telah menjadikan pantun sebagai alat kritik sosial yang amat berkesan. Penggunaan pantun sebagai satu alat kritik sosial mencerminkan satu bentuk ketekalan minda yang dimiliki oleh masyarakat Melayu yang tidak mungkin ditelan zaman. Konsep pantun itu sendiri itu bertujuan untuk mengkritik dengan cara yang baik seperti mana prinsip memberi pengajaran dan nasihat yang baik seperti mana yang disarankan oleh Islam.
      Seperti mana yang disarankan dalam Islam yang menyeru umatnya menyampaikan nasihat dan pengajaran yang baik sesama mereka. Di sini kita boleh lihat pantun sebagai salah satu cara berbahasa yang sangat sesuai bagi membawa ke arah kebaikan kerana dalam pantun itu sendiri sudah mengandungi nilai-nilai murni yang boleh diambil pengajaran melaluinya. Dalam konteks prinsip falsafah bahasa ini, pencipta pantun menggunakan pantun sebagai satu cara berbahasa dan ibadah untuk menegur manusia dan menyampaikan nasihat kepada pembaca. Manakala pembaca boleh menyerapkan nilai-nilai yang baik yang terdapat dalam pantun dan menerapkan nilai-nilai murni tersebut di dalam kehidupan seharian mereka sebagai satu ibadah kepada Allah. Di sini kita dapat lihat pencipta dan pembaca pantun saling melengkapi dan berkaitan dalam berbuat ibadah dalam konteks saluran pantun tersebut. Di antara pantun-pantun yang menyeru kepada ibadah dan menggesa pembaca mengambil pengajaran ialah :

Buah remenia bawa ke huma,
Untuk dimakan sambil menjerat,
Hidup di dunia tidaklah lama,
Patut amalkan bekal akhirat.
                                                                                                            (Bingkisan Permata : 142)

Daun terup di atas dulang,
Anak udang mati dituba,
Dalam kitab ada terlarang,
Perbuatan haram jangan dicuba,
                                                                                                            (Bingkisan Permata : 147)

      Pantun – pantun di atas sedikit sebanyak memberi satu gambaran yang jelas bahawa pantun juga boleh dikategorikan sebagai satu alat berbahasa atau berkomunikasi yang memberi pengajaran kepada pembacanya. Hal ini sangat bertepatan juga dengan budaya serta adat Melayu dan juga agama Islam sebagai agama umat Melayu. Oleh sebab itulah, banyak pantun-pantun Melayu terdahulu banyak membicarakan tentang kehidupan seharian orang Melayu yang terdahulu pantun seperti membicarakan tentang budi bahasa , kasih sayang masyarakat, adat istiadat, perkahwinan dan sebagainya.. Daripada penelitian kepada perbuatan itulah terciptanya pantun yang berfungsi memuji, mengkritik, menegur dan lain-lain lagi.

3.0  Penutup
Secara keseluruhannya, Teori Falsafah Bahasa ini telah merungkai sejauh mana tahap kesempurnaan bahasa yang terkandung di dalam Pantun Melayu Bingkisan Permata. Ternyata setiap prinsip yang menjadi nadi kepada teori ini mampu menyelusuri kebanyakan pantun yang terdapat dalam karya Pantun Melayu Bingkisan permata. Walaupun keutamaan yang ketara terhadap penghasilan pantun-pantun ini kebanyakan berkaitan dengan adat-adat orang dahulu, kisah percintaan, kisah-kisah hidup orang dahulu dan nasihat kepada orang ramai, karya-karya pantun yang dihasilkan secara tidak langsung telah memenuhi prinsip kesempurnaan bahasa yang diperkenalkan ini.
Begitulah kebijaksanaan orang-orang lama yang sepatutnya boleh menjadi contoh kepada kita masyarakat hari ini supaya menggunakan bahasa yang elok, kemas dan rasional kerana jelas dapat dilihat walaupun pantun-pantun ini dibuat setelah sekian lamanya, kita masih mengangkat pantun-pantun ini sebagai panduan hidup kita pada hari ini. Oleh itu, kita harus sedar bahawa bahasa sesuatu bangsa itu diangkat oleh bangsa itu sendiri, bukan oleh orang lain. Teori Falsafah Bahasa ini sedikit sebanyak memberi kesedaran dan panduan kepada kita untuk berbahasa dengan lebih baik dan berkesan bertepatan dengan prinsip yang telah digariskan melalui teori ini.
Melalui kesedaran ini, dapat kita fahami bahawa ketiga-tiga prinsip bahasa yang dibincangkan di atas menggambarkan kepada kita bahawa berbahasa merangkumi kemahiran tatabahasanya, berbahasa untuk menyampaikan maklumat benar dan  akhirnya kita berbahasa, segala-galanya akan kembali semula kepada Allah dalam mentauhid-Nya. Kita harus sedar apa setiap yang diungkapkan oleh kita akan dihisab setiap satunya. Oleh itu, amanah dan tanggungjawab walau dalam berbahasa perlulah dijaga dan diambil berat.



Rujukan
Ahmad Khair Mohd Noor, Raminah Hj. Sabran, Nawi Ismail, Mohd Zaini Othman,
Ton Ibrahim (2012) . Tatabahasa Asas . Selangor : Persatuan Pendidikan Bahasa Melayu Malaysia . .

Ahmad Khair Mohd Nor (2007) . Pembentukan Kata dalam Bahasa Melayu. Kuala Lumpur : Pustaka                    Salam Sdn Bhd .

Ahmad Khair Mohd Nor (2003) . Siri Pengajian dan Pendidikan Utusan ; Pengantar Sintaksis
Bahasa Melayu . Kuala Lumpur : Utusan Publication & Distributors Sdn Bhd .

Harun Mat Piah (2007). Pantun Melayu : Bingkisan Permata. Kuala Lumpur : Yayasan Karyawan

Mohd Rashid Md Idris. (2012). Teori Falsafah Bahasa (Teori Rashid). Tanjong Malim : Penerbit Universiti               Pendidikan Sultan Idris.

Mohd Rashid Md Idris, Abd. Rahman Napiah (2014). Karya Agung Melayu : BMS 3022.
            Tanjong Malim : Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Mohd Rahsid Md Idris, Abu Hassan Abdul (2010). Falsafah Pendidikan Bahasa. Tanjong Malim:
            Emiretus Publications.

Nik Safiah Karim, Farid M. Onn, Hashim Hj. Musa, Abdul Hamid Mahmood (2011) .
            Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga . Kuala Lumpur :  Dewan Bahasa dan Pustaka.

No comments:

Post a Comment