PENGENALAN.
Kesusasteraan
dalam bahasa Inggeris disebut sebagai literature
yang bermaksud segala sesuatu yang bertulis.perkataan literature ini berasal dari perkataan Latin littera (letter) yang
bermaksud kata-kata yang tertulis dan tercetak. Menurut Bressler C.E., 2000:9
mengatakan kesusasteraan adalah seni tulisan atau lisan hasil daripada
imaginasi dan penulisan kreatif. Menurutnya lagi bagi menjelaskan nilai
imaginasi kesusasteraan, sesetengah pengkritik memilih menbggunakan perkataan
kesusasteraan dalam bahasa Jerman iaitu wortkunst yang secara tidak langsung
menjelaskan imaginasi dan aspek kreatif merupakan unsure tepenting kesusasteraan.
Menurut
A.Teeuw,1995:3 mengatakan dalam alam Melayu, istilah sastera berasal daripada
perkataan Snskrit dari akar kata sas yang bermaksud mengajar dan tra merujuk
kepada alat/sarana atau juga membawa maksud menyampaikan pengajaran. Hashim
Awang (1998) memberi maksud kesusasteraan sebagai ciptaan seni yang disampaikan
melalui bahasa sama ada ditutur atau ditulis. Definisi yang diberikan oleh
Hasihim Awang ini mendekati definisi yang dikemukakan oleh Bressler di mana
kedua-duanya menitikberatkan aspek seni.
Menurut
Mana Sikana, 1997, sejarah sastera merangkumi perbincangan tentang aspek
pertumbuhan, perkembangan, pembinaan, perubahan, aliran dan sebagainya. Dari
sudut makna, sejarah membawa maksud tidak lebih daripada dokumentasi tentang
perkembangan, asal usul, pertumbuhan, penokohan dan kepentingan dokumen itu
dalam sejarah. Manakala dalam konteks sastera pula, sejarah sastera turut
mementingkan kerja-kerja melakukan perincian,pengkelasan, susur galur dan
periodisasi. Jadi, secara umumnya, sejarah sastera ini dapat dibezakan kepada
tiga jenis iaitu sejarah genre, sejarah sastera secara kronologi dan sejarah
sastera perbandingan.
Sastera hikayat ialah cerita-cerita
dalam bentuk bertulis yang menggunakan bahasa Melayu lama dengan langgam bahasa
dan stuktur yang tertentu, membawa cerita ajaib yang berunsur hiburan, hasil
daripada imaginasi dan fantasi pengarangnya. Sastera hikayat tergolong dalam 3
golongan antaranya Sastera Hikyat Berunsurkan Hindu,
Sastera Haikayat Berunsurkan Hindu-Islam
dan Sastera Hikayat Berunsurkan Islam. Sebagai
contoh Hikayat Raja-raja Pasai yang diushakan oleh Russell Jones.
1.0
SEJARAH
JURAI KETURUNAN.
Pasai
merupakan negeri yang pertama dimasuki agama Islam. Terdapat dua orang
bersaudara yang menjadi raja di dalam negeri itu. Mereka ialah Raja Ahmad dan
Raja Muhammad. Mereka ingin membuka sebuah negeri yang diberi nama Samarlanga.
Ketika mereka pergi membuat negeri, Raja Muhammad menemui seorang anak perempuan
yang keluar dari pohon bambu lalu baginda membawa pulang anak perempuan itu dan
mengangkat anak perempuan yang baik paras rupanya itu menjadi anak baginda.
Baginda menamakannya Puteri Betung.
Manakala
Raja Ahmad bernegeri di Balik Rimba telah keluar memburu di dalam hutan tetapi
baginda telah berjumpa seorang tua di dalam sebuah surau yang terletak di
tengah-tengah hutan. Daripada nasihat orang tua itu, Raja Ahmad telah menjumpai
seorang anak lelaki yang dibela oleh seekor gajah yang besar. Oleh itu, baginda
telah menamakan kanak-kanak lelaki itu dengan nama Merah Gajah dan membawanya
pulang ke istana.
Akhirnya
setelah kedua kanak-kanak ini membesar, Puteri Betung dan Merah Gajah telah dinikahkan.
Hasil perkahwinan kedua-dua mereka lahirlah Merah Silau dan Merah Hasum.
Disebabkan oleh satu peristiwa ketika itu Puteri Betung sedang tidur, Merah
Gajah telah mencabut sehelai rambut emas Puteri Betung dan menyebabkan
keluarnya darah putih yang banyak dan menyebabkan Puteri Betung hilang, maka
berlakulah penceraian antara Merah Gajah dan Puteri Betung. Raja Muhammad yang
marah terhadap tindakan Merah Gajah lalu membunuhnya. Peristiwa pembunuhan
Merah Gajah sampai ke pengetahuan Raja Ahmad lalu baginda melakukan serangan
terhadap Raja Muhammad. Dalam pertempuran itu, raja Ahmad dan Raja Muhammad
telah mangkat. Merah Silau dan adiknya Merah Hasum telah berhijrah ke arah
barat lalu sampai di negeri Biruan dan menetap disana.
Merah Silau
membuat bubu untuk menangkap ikan tetapi apabila Merah Silau mengangkat bubunya
keesokan hari hanya terdapat gelang-gelang yang banyak. Gelang-gelang itu telah
dibawa pulang oleh Merah Silau untuk di masak. Setelah itu gelang yang
dimasaknya itu bertukar menjadi emas dan buihnya menjadi perak. Ini membuatkan
merah Silau menjadi kaya-raya. Selain itu, Merah Silau juga telah berjaya
menjinakkan seekor kerbau yang liar. Disebabkan peristiwa ini timbullah salah
faham antara abang dan adik kerana Merah Hasum menyangka bahawa abangnya itu
telah msksn cacing gelang-gelang yang dimasaknya itu dan bermain dengan kerbau
iaitu binatang yang tidak berguna. Merah Hasum menganggap perbuatan abangnya
itu telah mencalarkan maruahnya dan mengusir Merah Silau keluar dari negeri
itu.
Merah Silau pergi mencari tempat yang baru dan
sampai ke Hulu sungai Pasangan. Di sana ada negeri yang bernama Buluh Telang
yang diperintah oleh Megat Sekandar. Megat Sekandar dan Megat Kedah merupakan
kekanda kepada Sultan Malikul Nasir di Rimba Jerana. Merah Silau sangat disukai
orang disana sehingga Megat Sekandar bersetuju untuk menjadikan baginda sebagai
raja di negeri itu tetapi Tun Harid Benung membantah. Ini menyebabkan berlaku
peperangan dengan Sultan Malikul Nasir iaitu adik Megat Sekandar.
Sultan
Malikul Nasir dikalahkan berturut-turut oleh Merah Silau sehingga baginda terpaksa
melarikan diri ke dalam rimba yang bernama Rimba Pertama Terjun, kemudiannya
baginda melarikan diri ke Gunung Telawas dan disana baginda dikepung oleh Merah
Silu. Tempat kepungan itu kemudiannya dinamakan Kubu. Kemudiannya baginda terus
melarikan diri ke Pekersang dan kemudian melarikan diri ke Kumat. Di situ ia
telah diserang pula oleh Megat Sekandar, Sultan Malikul Nasir telah tewas.
Hulubalangnya yang bernama Tun Harid Benung telah lari ke Barus tetapi Raja
Barus telah berjaya menangkapnya. Merah Silau telah menjadi raja di Rimba
Jerana.
Merah
Silau telah memeluk agama Islam dan menukar nama menjadi Sultan Malikul Saleh.
Baginda telah berkahwin dengan Puteri Ganggang anak kepada gundik raja Perlak.
Sultan Malikul Saleh telah mendapat seorang putera dinamai Sultan Malikul Tahir
yang menjadi raja Pasai setelah negeri Pasai dibuka. Sultan Malikul Tahir pula
dikurniakan dua orang putera iaitu Sultan Malikul Mahmud dan Sultan Malikul
Mansur. Setelah Sultan Malikul Tahir mangkat, Sultan Malikul Saleh telah
menyerahkan cucunya Sultan Malikul Mahmud untuk dijaga oleh Sayid Ali
Ghiatuddin dan Sultan Malikul Mansur dijaga oleh Sayid Semayamuddin.
Sultan
Malikul Saleh telah merajakan Sultan Malikul Mahmud di Pasai dan Sultan Malikul
Mansur di Samudera Darulsalam. Raja Siam telah meminta ufti daripada Pasai
tetapi Pasai enggan membayar ufti tersebut menyebabkan Panglima Siam Talak
Sejang menyerang Pasai. Telah berlaku peperangan di antara Siam dengan Pasai.
Walau bagaimanapun, Siam telah tewas dan Talak Sejang telah terbunuh. Sultan
Malikul Mahmud telah dikurniakan seorang putera dan dua orang puteri. Putera
baginda bernama Sultan Ahmad Perumudal Perumal. Sultan Ahmad Perumudal Perumal
mempunyai 30 orang anak. Tetapi anak-anaknya yang seibu sebapa ada 5 orang
iaitu TRun Beraim Bapa, Tun Abdul Jalil,Tun Abul Fadil, Tun Medan Peria dan Tun
Takiah Dara.
2.0 SEJARAH PEMBUKAAN NEGERI.
2.1 Sejarah Pembukaan Negeri Pasai.
Pembukaan
negeri Pasai berlaku apabila pada suatu hari sedang Sultan Malikul Saleh sedang
pergi berburu dengan pengikutnya di tepi laut. Sultan Malikul Saleh telah
membawa anjingnya yang bernama si Pasai. Setelah tiba di tepi laut si Pasai pun
dilepaskan lalu masuk ke dalam hutan. Kemudian si Pasai bertemu dengan seekor
pelanduk yang sedang duduk berehat di atas satu kawasan tanah tinggi tersebut.
Si Pasai itu pun menyalak akan pelanduk tersebut dan ingin menangkapnya. Namun
sesuatu yang ganjil telah berlaku apabila pelanduk itu membalas salakan si
Pasai. Apabila si Pasai mendengar salakan pelanduk itu tadi , maka ia pun
kembali kebalakang iaitu tempat asalnya.
Setelah dilihat
oleh Sultan Malikul Saleh keadaan yang berlaku itu, baginda pun cuba untuk menangkap
pelanduk itu tadi. Namun pelanduk itu dapat melarikan diri dari di tangkap oleh
Sultan Malikul Saleh dan anjingnya si Pasai. Lalu baginda Sultan pun
bertanyakan kepada semua hulubalang sama ada pernah melihat seekor pelanduk
yang gagah sekali. Maka terlintas di fikiran Sultan Malikul Saleh untuk membuka
negeri baru khas untuk anakndanya iaitu Sultan Malikul Tahir. Setelah kembali
ke negeri Samudera baginda menitahkan agar kawasan tersebut di bersihkan dan di
dirikan oleh baginda sebuah istana. Tidak berapa lama setelah selesai semua
pembinaan di kawasan tanah tinggi itu, anjing baginda pun mati. Kemudiannya
baginda mengarahkan agar si Pasai di tanam dinegeri yang baru di buka itu.
Sempena kematian si Pasai Sultan Malikul Saleh menamakan negeri baru itu
sebagai negeri Pasai.
Di sini
dapat kita lihat sejarah awal pasai bermula dari Sultan Malikul Saleh menjumpai
kawasan tanah tinggi yang berhampiran dengan laut. Nama Pasai itu sendiri di
ambil sempena nama anjing Baginda Sultan iaitu si Pasai. Nama tersebut diambil
kerana selepas terbinanya sebuah negeri di kawasan itu anjing Baginda Sultan
pun mati. Selain itu nama anjing ini di gunakan kerana si Pasai inilah yang
menjumpai kawasan tanah tinggi
tersebut.
2.2 Sejarah Pembukaan Negeri Samudera.
Asal usul wujudnya Samudera berkait
rapat dengan penemuan seekor semut sebesar seekor kucing.Pada suatu hari Merah
Silu keluar berburu bersama-sama pengiringnya beserta seekor anjing bernama Si
Pasai.Ketika Si Pasai menyalak di atas sebuah tanah tunggi,terdapat seekor
semut sebesar kucing.Merah Silu menangkapnya dan memakan semut itu.Daripada
peristiwa itu,tempat itu dijadikan negeri yang bernama Samudera yang bermaksud
semut yang amat besar.
3.0
SEJARAH PENGISLAMAN.
Sebelum Islam Sultan Malikul Saleh dikenali dengan
nama Merah Silu. Pada malam hari merah Silu
bermimpi bahawa baginda disuruh mengucap dua kalimah Syahadat tetapi baginda
tidak boleh mengucapkannya. Kemudian mulutnya diludahi oleh seorang yang berhadapan
dengannya dalam mimpi dan memberitahu kepadanya bahawa baginda akan diangkat
menjadi sultan dengan nama Malikul Saleh serta menjadi seorang muslim dan
menyuruhnya makan binatang halal yang disembelih. Baginda sudah pandai mengucap
kalimah syahadat dan telah diberikan pengajaran mengenai beberapa soal Fiqih. Dalam
mimpi tersebut, baginda diberitahu akan tiba sebuah kapal dalam masa 40 hari ke
negeri tersebut. Menurut mimpinya lagi,perintah anak kapal itu harus
diturutinya akhirnya orang yang berhadapan dengannya dalam mimpi itu
memperkenalkan dirinya adalah Nabi Muhammad s.a.w.
Merah
Silu terus terjaga dari tidurnya terus boleh mengaji 30 juzuk Al-Quran. Ia
menimbulkan kehairanan kepada orang yang mendengarnya. Hal ini kerana perkataan
yang diucapkan oleh Merah Silu tidak diketahui ertinya. Ia bermula dengan sebuah kapal dari
Makkah yang tiba di Samudera dan berlabuh di Teluk Teli. Seorang Syeikh dari
Makkah yang bernama Syeikh Ismail beserta seorang fakir menghadap Sultan
Malikul Saleh. Beliau meminta Sultan Malikul Saleh mengucap kalimah Syahadat.
Sultan Muhammad yang menyamar sebagai fakir memberi
Al-Quran kepada Sultan Malikul Saleh untuk dibaca. Serentak dengan itu, Syeikh
Ismail mengislamkan semua rakyat di negeri Samudera. Semua rakyat negeri Pasai
memeluk Islam dengan sukarela dan negeri itu digelar negeri Darul Salam. Sultan
Malikul Saleh ditabalkan oleh Syeikh Ismail sebagai Raja Samudera Darulsalam. Beberapa
pembesar negeri yang memeluk islam ditukarkan namanya. Contohnya, Tun Seri Kaya
digelar Sayid Ghiatuddin dan Baba Kaya digelar Sayin Semayamuddin. Sultan
memberi fidyah ambar, kapur barus, gaharu, cendana, kemenyan, khelembak, cengkeh
dan pala kira-kira seratus bahara kepada Syeikh Ismail yang ingin pulang ke
Makkah.
Sultan Muhammad
yang menyamar menjadi fakir terus tinggal di negeri Samudera bagi menyebarkan
agama Islam. Namun, terdapat satu kaum dalam negeri Samudera yang enggan
memeluk agama Islam dan mereka telah berhijrah ke hulu Pasangan. Sekarang kaum
ini dikenali sebagai orang Gaya.
4.0 KEJATUHAN NEGERI PASAI.
Setelah
Sultan Malikul Mahmud jatuh sakit dan mangkat, baginda telah meninggalkan
wasiat kepada puteranya iaitu Sultan Ahmad Perumudal Perumal menjadi raja di
Pasai. Sultan Ahmad Perumudal Perumal mempunyai 30 orang anak tetapi hasil
perkahwinan baginda dengan Dara Zulaikha Tingkap, dikurniakan 5 orang iaitu Tun
Beraim Bapa, Tun Abdul Jalil, Tun Abul Fadil, Tun Medan Peria dan Tun Takiah
Dara. Sultan Ahmad Perumudal Perumal berahi akan kedua anak daranya iaitu Tun
Medan Peria dan Tun Takiah Dara. Perkara itu telah diketahui oleh Tun Beraim
Bapa, ia telah membawa adik-adik itu lari ke Tukas tinggal bersamanya
menyebabkan Sultan Ahmad Perumudal Perumal berang dengan tindakannya itu.
Lalu
Sultan Ahmad Perumudal Perumal menyatakan hasratnya ingin membunuh Tun Beraim
Bapa kepada Dara Zulaikha Tingkap. Pelbagai cubaan telah dilakukan oleh baginda
antaranya, baginda telah menyuruh Tun Beraim Bapa menyelam di dalam sungai dan
apabila timbul, baginda menyuruh hulubalangnya menetaknya tetapi Tun Beraim
Bapa menyelam dan telah timbul jauh dari itu. Selain itu, perahu Sultan Ahmad
Perumudal Perumal telah terlekat pada batang. Baginda telah menyuruh Tun Beraim
Bapa membuangnya namun Tun Beraim Bapa berjaya melepaskan perahu itu serta
selamat daripada mati lemas.
Cubaan
bunuh yang ketiga dilakukan oleh Sultan Ahmad Perumudal Perumal dengan menyuruh
orang Seri membuat cucur peniaram beracun. Baginda memberi kepada Tun Beraim
Bapa supaya memakan peniaram beracun itu agar dapat memanaskan tubuh yang
dingin selepas menyelam. Tun Beraim Bapa mengetahui helah yang di buat lalu
memberi peniaram beracun itu kepada anjing dan ayam dan menyebabkan kedua
binatang itu mati serta-merta. Manakala adik-adiknya Tun Medam Peria dan Tun
Takiah Dara juga telah makan peniaram beracun itu menyebabkan kedua-duanya
mati.
Mereka
telah dikebumikan di Bukit Fudul Allah. Oleh sebab tidak mahu menderhaka kepada
ayahandanya, Tun Beraim Bapa telah makan cucur peniaram beracun. Dalam keadaan yang lemah Tun Beraim Bapa menyelam dalam Lubuk Turai
untuk menangkap ular lembu bagi mengurangkan sakitnya. Tetapi sakitnya juga
tetap tidak sembuh. Tun Beraim Bapa telah melontar lembingnya lalu terhunjam di
antara dua kubur adiknya. Akhirnya Tun Beraim Bapa mati. Ia telah dikebumikan
di tempat lembing tercacak itu. Sultan Ahmad Perumudal Perumal amat gembira
dengan kematian Tun Beraim Bapa.
Semasa
ketiadaan Sultan Ahmad Perumudal Perumal tiada, Tun Abdul Jalil memerintah
Pasai. Tun Abdul Jalil berusaha memperelokkan negeri Pasai. Disebabkan Tuan
Puteri Gemerencang anak kepada ratu Majapahit amat mencintai Tun Abdul Jalil,
Sultan Ahmad Perumudal Perumal cemburu dengan anaknya lalu membunuh Tun Abdul
Jalil. Apabila Tuan Puteri Gemerencang mendapat tahu akan perkara ini, ia telah
meminta kepada Allah supaya mengaramkan ghurabnya di Jambu Air supayya ia dapat
bertemu dengan Tun Abdul Jalil. Doanya telah diperkenan oleh Allah, ia telah
mati tenggelam di laut Jambu Air.
Ratu
Majapahit marah setelah mendapat khabar bahawa puteri kesayangannya telahmati
di Pasai lalu memerintahkan askar-askarnya menyerang Pasai. Sultan Ahmad
Perumudal Perumal telah tewas dan lari ke Menduga.
KESIMPULAN.
Secara kesimpulannya, kita dapat melihat bahawa
Hikayat Raja-raja Pasai ini boleh dibahagikan kepada beberapa bahagian.
Antaranya, sejarah jurai keturunan, sejarah pembukaan Pasai, sejarah
pengislaman Pasai da kejatuhan Pasai.
Sejarah jurai keturunan ini dapat dilihat
jelas melalui watak-watak yang ada dalam hikayat ini seperti Raja Ahmad
dan Raja Muhamad, Merah Gajah dan Puteri
Betung, Merah Silau atau Sultan Malikul Saleh dan Merah Hasum, Sultan Malikul
Mahmud dan Sultan Malikul Mansur, Sultan Ahmad Perumudal Perumal, Tun Beraim
Bapa, Tun Abdul Jalil, Tun Abul Fadil, Tun Medan Peria dan Tun Takiah Dara.
Sejarah
pembukaan Pasai pula bermula apabila ia berburu di dalam hutan bersama seekor
anjing buruan yang bernama Si Pasai. Ketika sedang berburu, si Pasai menyalak
kepada seekor pelanduk putih. Anjing Malikulsalleh itu dikejar oleh pelanduk
yang disalakkannya. Anjingnya mati disitu lalu dikuburkan dan tempat itu
dinamakan Pasai. Ia merupakan suatu kejadian yang pelik sehingga membuatkan
para penasihat kagum dan mencadangkan kepada Malikul Saleh untuk mendirikan
karajaan baru di sana. Itulah Kerajaan Pasai didirikan berdekatan dengan Lho
Seumawe sekarang (Indonesia).
Pengislaman Pasai pula bermula daripada pengislaman Merah Silau yang
bermimpi bertemu Nabi Muhammad s.a.w yang menyuruhnya mengucap dua kalimah
Syahadat. Setelah memeluk agama Islam Merah Putih telah menukar namanya kepada
Sultan Malikul Saleh.
Kejatuhan
Pasai berlaku disebabkan oleh Sultan Ahmad Perumudal Perumal sendiri mempunyai
sikap buruk. Ia dengki terhadap anak kandungnya sendiri iaitu Tun Beraim Bapa
dan Tun Abdul Jalil. Ia tergamak berahi terhadap dua orang puterinya iaitu Tun
Medan Peria dan Tun Takiah Dara. Oleh sebab iri hati, Sultan Ahmad Perumudal
Perumal sanggup membunuh anak-anaknya itu.
BIBLIOGRAFI
Russell
Jones (1997). Hikayat Raja Pasai.
Shah Alam: Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Mustafa
Mohd Isa (1999). Kajian teks Melayu
Klasik terpilih. Kuala Lumpur: Utusan
Publications & Distributors
Sdn Bhd.
Ismail
Ahmad (2004). Siri karya Sastera Klasik
untuk remaja. Hikayat Raja-raja Pasai.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Ahmad
Shah Mohd Noor (1977), Hikayat Raja-raja
Pasai penyelenggaraan Dr.A.H.Hill:
Satu
analisa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Zahrah
Ibrahim (1986). Sastera sejarah
interpretasi dan penilaian. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pelajaran Malaysia.
Abdul Halim Ali (2011). Pengantar teori dan kritikan sastera:Barat
dan Malaysia.
Selangor: Persatuan
Penulis Budiman Malaysia.
wah menarik sekali buku sejarah raja-raja pasai, saya mau melakukan penelitian tentang kerajaan dan masyarakat pasai, saya ingin memiliki buku hikayat raja-raja pasai sebagai referensi. buku tersebut bisa didapatkan dimana ?? terimakasih
ReplyDeletetuan boleh dapatkan buku ini di kedai Buku Dewan Bahasa dan Pustaka. ataupun di kedai buku online DBP.
DeleteDimana boleh beli buku ini?
ReplyDeletegiant
Deletetuan boleh dapatkan buku ini di kedai Buku Dewan Bahasa dan Pustaka. ataupun di kedai buku online DBP.
Delete