1.0 Anaalisis Kritis Sulalatus
Salatin
Antara
karya persejarahan Melayu yang terawal dihasilkan di tanah air kita ialah
Sulalatus Salatin atau sejarah Melayu yang telah diperbaiki atau dikarang
semula oleh Tun Seri Lanang pada tahun 1612 (Ali Ahmad, 1987). Karya ini telah
menjadi sebuah karya persejarahan Melayu yang terpenting dan termasyhur, malah
lebih masyhur daripada pengarangnya sendiri. Karya persejarahan Tun Seri Lanang
ini adalah karya persejarahan tradisi Melayu yang paling popular dan banyak
dikaji. Kini karya ini diangkat sebagai salah sebuah karya agung dalam khazanah
persutaran Melayu. Sehubungan dengan itu, karya ini dipilih untuk dilihat
secara kritis dalam beberapa aspek seperti berikut;
1.1
Sulalatus Salatin Sebagai Karya Persejarahan
Terdapat
beberapa kesukaran bagi seseorang pengkaji yang ingin menilai Sulalatus Salatin
sebagai karya sejarah dari sudut yang sebenar iaitu sejarah yang diukur
mengikut pengertian sejarah moden seperti yang telah dikemukakan oleh ahli
sejarah tempatan mahupun luar negara seperti Collingwood, E.H. Carr, Arthur
Markwick, malah Ibnu Khaldun seorang sejarawan pada kurun ke-14 dahulu (Muhd. Yusuf
Ibrahim, 2010).
Antara sebab utama terdapat
kelemahan dari konteks ciri sejarah dalam Sulalatus Salatin ialah munculnya
ciri yang secara amnya dianggap sebagai ciri kesusasteraan. Teks ini merupakan
teks sastera yang mengandungi ciri dan kandungan seperti puisi, dongeng,
lagenda, kiasan, anakronisme dan percakapan yang kononnya dituturkan oleh
tokoh-tokoh berkenaan. Sebagai contoh berkaitan ciri-ciri itu umpamanya yang
terdapat dalam bahagian awal yang menceritakan asal usul Raja Melayu iaitu Sultan
Melaka dari Bukit Siguntang, kisah perkahwinan antara Sultan Mansur Syah dengan
Puteri Raden Galoh Cindera Kirana dari Empayar Majapahit dan kisah peminangan
Puteri Gunung Ledang oleh Sultan Mahmud.
Percakapan serta dialog dalam teks
Sulalatus Salatin pula dimuatkan dengan banyak sekali. Hal ini boleh dikatakan
setiap tokoh yang penting ada bercakap, termasuklah tokoh-tokoh dalam sejarah
sebelum Empayar Melaka. Kebanyakan percakapan tokoh itu menggambarkan
seolah-olah Sulalatus Salatin ini dipenuhi dengan “all speech and all action”.
Keadaan ini memberi gambaran bahawa teks ini hanya satu bentuk penceritaan dan
tidak sah jika dinilai sebagai teks sejarah mengikut definisi sejarah moden.
Contoh puisi pula ialah beberapa rangkap pantun yang dimuatkan dalam beberapa
bab dalam Sulalatus Salatin, umpamanya dalam Bab V, X, XI, dan XII.
Dengan demikian menyebabkan teks
Sulalatus Salatin tidak dapat dikategorikan sebagai hasil karya sejarah moden
yang sebenar walaupun pengkaji sastera menganggapnya sebagai sebuah teks yang
sarat dengan unsur sejarah. Walaupun begitu, karya ini masih mempunyai ciri
sejarah dan nilainya yang tersendiri (Taib Osman, 1983). Teks ini sama seperti
karya persejarahan tradisi. Selain itu, karya ini juga biasa digunakan sebagai
sumber sejarah terutamanya bagi sejarah Empayar Melayu Melaka yang sumber
tempatannya ternyata begitu kurang. Malah sarjana dan pentadbir Inggeris
seperti R.O Winstedt dan Wilkinson menganggap karya tersebut sebagai sumber
tempatan yang terbaik bagi sejarah empayar Melayu (Muhd. Yusuf Ibrahim, 2010).
1.2
Sumber Rujukan Dalam Sulalatus Salatin
Oleh
sebab istana raja-raja Melayu pada zaman Kesultanan Melayu Melaka merupakan
gedung serta pusat pengembangan ilmu, maka suatu langkah penyelidikan yang
munasabah telah dilakukan oleh Tun Seri Lanang dalam usaha memperbaiki
karya-karya yang terkumpul pada masa itu dengan merujuk kepada sumber-sumber
yang terdapat di istana. Sebagai orang istana malah memegang tampuk
pemerintahan sebagai Bendahara, maka pastinya tidak menjadi satu masalah untuk
beliau mendapatkan seberapa banyak maklumat atau untuk mendapatkan sumber
bacaannya. Kekangan yang utama barangkali hanyalah tugas pembahagian masa untuk
menumpukan kepada penelitian sumber dan tugas sebagai seorang Bendahara
kerajaan pada ketika itu.
Walau bagaimana pun, rujukan kepada
sumber tertentu adalah munasabah dilakukan bagi menghasilkan sebuah karya yang
gemilang. Adalah tidak wajar jika beliau dianggap mengarang dengan merujuk
kepada ingatan dan pengalaman beliau semata-mata. Malah, kedua-dua sumber yang
berupa pengalaman dan ingatan, dan barangkali imaginasi juga wajar digunakan
oleh Tun Seri Lanang atas sebab beliau seorang Bendahara yang dapat mengesan
jurai keturunannya hingga kepada Bendahara Empayar Melayu Melaka. Walau
bagaimana pun, sumber lain turut diperlukan untuk menghasilkan Sulalatus Salatin
ini (Muhd. Yusuf Ibrahim, 2010).
Salah satu sumber yang jelas dan
tersedia kepada beliau boleh didapati di istana diraja. Di samping itu, satu
lagi bentuk sumber yang mungkin digunakan dalam penghasilan Sulalatus Salatin
ini ialah mungkin ucapan atau lisan dengan bertanya kepada orang-orang tua
seperti datuk beliau sendiri atau juga mungkin daripada pembesar istana yang
lain yang mempunyai pengetahuan tentang sumber yang diperlukan. Rujukan beliau
sama ada bertulis atau lisan dapat dikenal pasti melalui penggunaan istilah
yang berkaitan seperti “kata sahibul hikayat”, “kata yang empunya ceritera”,
“alkisah”, “kata rawi”, dan “diceritakan oleh orang yang empunya ceritera”.
Naskhah Raffles 18 pula menyatakan dengan jelas bahawa karangan itu “fakir
himpunkan daripada segala riwayat orang tuha-tuha (tua-tua) dahulukala”.
1.3
Ketelitian dalam Sulalatus Salatin
Tun
Seri Lanang di anggap mempunyai sikap kritis yang tinggi dalam menghasilkan
karya agung Sulalatus Salatin ini. Beliau berusaha untuk mendasarkan kepengarangannya
kepada sumber yang didapatinya. Hal ini bermakna, dengan sumber sedemikian,
beliau dapat melaksanakan usaha untuk memperbaiki Hikayat Melayu. Sungguhpun
karya beliau tidak diangkat sebagai karya sejarah yang kritis dan analitis
terhadap perkara atau peristiwa yang dimuatkan, tetapi beliau telah menunjukkan
ketelitian dalam sikapnya terutamanya dalam mempersembahkan karangannya. Cara
beliau menulis untuk menceritakan sesuatu peristiwa dan menggambarkan seseorang
tokoh jelas menunjukkan ketelitiannya. Beliau harus bersikap sedemikian kerana
motif utamanya ialah untuk menyukakan hati raja-raja. Oleh itu, wajar jika
terdapat anggapan bahawa karya tersebut telah disusun dengan begitu teliti dan
berhati-hati. Malah Tun Seri Lanang sendiri menganggapnya sebagai “mutiara
segala ceritera dan cahaya segala peri umpamanya”.
Walaupun anggapan tersebut boleh
dipersoalkan, tetapi ungkapan tersebut menunjukkan bahawa beliau memang
berhasrat untuk menghasilkan sebuah karya yang tersusun secara meluas. Maka beliau
memohon taufik dan hidayah ke hadrat ilahi dan minta ampun kepada sahabat yang
akrab. Mudah-mudahan dengan itu beliau dapat menghasilkan sebuah karya yang
dapat menyenangkan hati raja-raja seterusnya memberi manfaat kepada generasi
mendatang. Hasrat tersebut adalah munasabah dan beliau berusaha keras untuk
memenuhi hasrat tersebut dan diterjemahkan melalui ketelitian dalam penghasilan
karya tersebut.
Namun, di sebalik anggapan terhadap
karyanya itu sebagai “mutiara segala ceritera”, beliau ada mengingatkan pembaca
supaya tidak “membicarakan bukunya itu dengan sempurna bicara, kerana hikayat
ini tahu akan perkataan sabda Nabi sallalahu alaihi wasallam, tafakkaru fi
alaillahi wala tafakkaru fi zatillah, yakni bicara olehmu segala kebesaran
Allah dan jangan kamu fikirkan pada zat Allah”. Petikan ini mungkin
mengingatkan kepada pembaca bahawa karya beliau bukanlah sesuatu yang sudah
sempurna dan secara mutlaknya tidak boleh dipersoalkan lagi kebenarannya (A.
Samad Ahmad, 2003). Jika anggapan ini benar, maka nyatalah bahawa beliau
menyedari hakikat sejarah lantas mengusahakan penulisannya melalui satu
tatacara yang barangkali diketahui dan dipraktikkan pada zaman beliau.
1.4
Keistimewaan Sulalatus Salatin
Sebagai
sebuah hasil karya persejarahan tradisi, Sulalatus Salatin mengandungi ciri dan
bentuk persejarahan tersebut yang seperti halnya dengan beberapa buah karya
persejarahan tradisi yang dalam peradaban yang lain. Persamaan itu bukan sahaja
dapat dilihat dari sudut adanya unsur kesusasteraan, malah dapat dilihat dari
sudut tujuan penulisan dan kandungan peristiwa yang kerap mengaitkan dengan
peperangan, pengembaraan, dan kepahlawanan. Malah dari segi semangat, karya dan
karya-karya lain juga mempunyai unsur semangat yang diketengahkan seperti
semangat kewibawaan, keagungan serta kegemilangan tokoh-tokoh dan peradaban
yang berkenaan.
Erti sentriknya dilihat kepada
nilai-nilai dan pegangan atau secara keseluruhannya pada zeitgeist (sudut
pandangan atau alam) masyarakat tempatan, iaitu masyarakat Melayu. Lazimnya
sentrik itu tidak terbatas kepada membicarakan berkaitan dunia pengarang dan
peradabannya sahaja, tetapi turut membicarakan dengan penuh sanjungan dan
kekaguman. Namun demikian, hasil persejarahan tradisi Melayu seperti Sulalatus
Salatin mempunyai keistimewaan tersendiri. Malah karya ini merupakan suatu
karya yang unik yang boleh dikatakan tidak terdapat dalam mana-mana karya
persejarahan yang lain.
Perkara tersebut berhubung dengan
unsur kesusasteraan yang khususnya berkaitan dengan fungsi dongeng dan mitos.
Dalam persejarahan Melayu tradisi, unsur seperti tersebut mempunyai fungsi
kemasyarakatan dan sejarahnya. Unsur tersebut dimuatkan dengan tujuan
memberitahu masyarakat tentang sesuatu peristiwa ataupun fenomena yang tidak
boleh dipaparkan secara terus terang dan terbuka. Hal ini kerana, nilai dan
norma masyarakat Melayu pada ketika itu tidak membenarkan sesuatu yang biadab,
memalukan dan seumpamanya dipaparkan secara terbuka. Jika dilakukan juga,
perbuatan itu akan dianggap sebagai perbuatan yang biadab, tidak tahu adat
malah boleh hingga ke tahap derhaka kepada raja (Muhd. Yusuf Ibrahim, 2010).
Dengan dinyatakan secara halus,
pihak pengarang merasakan para pembaca atau pendengar lain dapat memahami mesej
yang ingin disampaikan dengan lebih jelas lagi. Pihak yang disindir pula dapat
menerima dengan perasaan yang tenang kerana selaran tersebut dilakukan dengan
cara yang penuh santun. Hakikatnya setiap orang yang melakukan kesilapan akan
mengetahui kesilapan tersebut. Oleh itu, mereka akan cuba memperbaiki diri
supaya tidak disindir lagi.
2.0 Sudut Pandangan dalam Sulalatus
Salatin
Sulalatus
salatin dianggap sebagai sebuah karya sejarah yang universal bagi masyarakat
Melayu tradisi, khususnya yang berpusat pada Empayar Melayu Melaka. Hal yang
digambarkan dalam karya tersebut ialah alam masyarakat Melayu tradisi pada masa
tersebut iaitu masyarakat yang merangkumi bidang politik, ekonomi,
kemasyarakatan dan agama. Dalam lingkungan tersebut, perkara yang paling
penting ialah orang Melayu dengan raja-rajanya. Namun, peristiwa yang berlaku
dan peristiwa yang berpunca daripada luar tidak dikira sebagai penting.
Dengan hal yang demikian, kita dapat
melihat orang Melayu Melaka digambarkan sebagai orang yang serba boleh, pintar
dan terkenal dalam masyarakat ketika itu. Dalam Sulalatus Salatin juga terdapat
beberapa contoh yang menggambarkan unsur seperti itu. Antaranya ialah tentang
Sultan Mahmud Syah, atau Raja Kecil Besar, iaitu Raja Melaka yang mula-mula
sekali memeluk agama Islam mengikut cacatan karya tersebut dan menurunkan
peraturan dan tatatertib diraja. Baginda dikatakan raja yang paling adil sekali
dalam memelihara rakyat (A. Samad Ahmad, 2003).
Sultan Alauddin Riayat Syah pula
dianggap sebagai “terlalu perkasa, tiada berbagai-bagai-bagai pada zaman itu.
“orang bijaksana” yang menyamai kebijaksanaan Patih Aria Gajah Mada dari
Majapahit dan Orang Kaya kenayan dari Pasai”. Begitu juga dengan Tun Mutahir
yang dikatakan “saksama serta adil dengan murahnya, dan terlalu baik budi
pekertinya pada membaiki orang, dan terlalu sangat pada memelihara segala
dagang”. Begitu juga perihalnya dengan Hang Tuah yang digambarkan seorang yang
sangat elok rupa parasnya, cerdik dan sangat perkasa dengan hikmatnya. Hang
Tuah juga dikatakan sangat berani sehingga tiada seorang pun yang setanding
dengan keberaniannya (A. Samad Ahmad, 2003).
Begitulah juga gambaran beberapa
orang tokoh yang lain, umpamanya anak Seri Bijai Diraja, iaitu Tun Umar yang
walaupun gila-gila bahasa, dengan beraninya beliau menggunakan perahu yang
olang-aling melanggar perahu-perahu Siam yang datang menyerang Melaka. Selain
itu, kisah Tun Perpatih Putih, ketua utusan yang dititahkan oleh Sultan Mansur
Syah ke Negara China telah berjaya mencari helah untuk melihat wajah dan
singgahsana Maharaja Cina dengan meminta dihidangkan sayur kangkung yang
dibelah tetapi tidak dipotong. Waktu memakannya, maka beliau perlu mendongak ke
atas dan dapatlah melihat dan singgahsana Maharaja Cina tersebut. Mulai detik
peristiwa tersebut, orang cina dikatakan sudah tahu untuk makan sayur kangkung
(A. Samad Ahmad, 2003).
Melalui Sulalatus Salatin ini, kita
dapat melihat banyak lagi contoh yang menggambarkan betapa orang-orang Melayu
Melaka tidak pernah kalah dalam apa-apa juga bidang yang diceburi oleh mereka.
Sebagai sebuah tamadun pula, sejak peringkat awalnya, iaitu bermula
pemerintahan Sultan Mahmmad Syah lagi, Melaka di tuliskan sebagai satu tamadun
yang sangat berjaya yang memiliki jajahan yang luas, aman damai, negeri yang
amat dihormati, dan tempat perhimpunan segala dagang di seluruh dunia.
Pembesar-pembesarnya pula diperihalkan sebagai pembesar yang sangat saksama.
Daripada gambaran demikian, maka
nyatalah bahawa isi kandungan Sulalatus Salatin menampakkan sentrik Melaka
dengan jelas sekali seperti mana persejarahan tradisi dalam peradaban yang lain
juga. Sementelah itu, inti pati isi kandungannya menceritakan tentang sejarah
kebangkitan dan seterusnya perkembangan Empayar Melayu Melaka iaitu daripada
awal hinggalah ia menjadi sebuah entiti politik dan tamadun yang masyhur dan
terbilang. Oleh itu, peranan ketokohan serta asal usul kebanyakan daripada
mereka, terutamanya raja-raja dan juga pembesar-pembesar terpenting dimuatkan
seiring dengan peristiwa sejarah yang berkaitan (Muhd. Yusuf Ibrahim, 2010).
Pada bahagian akhir dimuatkan
tentang kemasyhuran Empayar Melaka tersebut telah menarik sebagai pusat tamadun
Melayu telah menarik minat sebuah kuasa baru Eropah iaitu Portugis yang
kemudiannya datang menyerang dan menawan pusat kegiatan politik, pentadbiran
dan ekonomi perdagangan empayar Melaka. Setelah itu, dimuatkan sejarah
perjuangan Sultan Mahmud dan beberapa orang puteranya untuk merampas semula
bandar tersebut daripada kekuasaan Portugis.
Dengan kata lain, apa-apa yang
digambarkan tentang kemunculan, kegemilangan serta kebesaran Empayar Melayu
Melaka sebagai sebuah pusat tamadun serantau malah di dunia, di mana raja-raja
serta pembesar memainkan peranan masing-masing sama ada dalam usaha
membangunkan empayar tersebut mahupun dalam mengekalkan keunggulan serta
kesejahteraannya. Peranan demikian ialah tugas yang sungguh mencabar, tetapi
orang-orang Melaka telah berjaya mengatasi setiap cabaran tersebut kecuali pada
bahagian akhir apabila mereka menemui kegagalan demi kegagalan untuk
mendapatkan kembali tapak kekuasaan mereka.
Namun demikian, kegagalan itu hanya
dari segi zahir sahaja, ia sebaliknya dengan semangat mereka yang tetap menang.
Ini tergambar dalam perjuangan berterusan oleh pewaris-pewaris pemerintah di
situ untuk merampas semula Melaka daripada kuasa penjajah. Setelah usaha mereka
tidak membuahkan hasil, mereka telah mengasaskan sebuah empayar baru yang
kemudiannya dikenali sebagai Empayar Johor-Riau (Muhd. Yusuf Ibrahim, 2010).
Rujukan
Muhd.
Yusuf Ibrahim (2010) . Sejarah dan Persejarahan Melayu : Warisan &
Kesinambungan. Tinta Publishers . Kuala Lumpur
A.Samad
Ahmad (2003) . Edisi Pelajar : Sulalatus Salatin Sejarah Melayu . Dewan Bahasa
dan Pustaka . Kuala Lumpur
Taib
Osman (1983) . Bunga Rampai Kebudayaan Melayu . Dewan Bahasa dan Pustaka .
Kuala Lumpur
Ali
Ahmad (1987) . Karya-Karya Sastera Bercorak Sejarah . Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kuala Lumpur
Assalamualaikum, first im very thankful to you guys for making this blog about sulalatus salatin. Thank you very much. You help me after all. I can't find a good review about this book for my book research. You guys save me ! TQ!
ReplyDelete