Dalam
Sulalatus Salatin, terdapat banyak isu yang dibangkitkan oleh pengarang.
Isu-isu ini diselitkan melalui peristiwa-peristiwa yang terdapat di dalam
Sulalatus Salatin ini. Perkara ini menjadi objektif pengarang bagi melahirkan
nilai dan pengajaran yang boleh diambil daripada isu-isu yang diketengahkan.
Hal ini secara tidak langsung menjadi pedoman bagi generasi yang akan datang.
Di antara isu-isu yang diketengahkan oleh pengarang ialah :
1. Kemuliaan
keturunan raja
Dalam
Sulalatus Salatin, pengarang mengetengahkan isu dengan mengaitkan perkisahan
raja Melaka yang berasal dari keturunan Raja Iskandar Zulkarnain. Kehebatan
Raja Iskandar Zulkarnain dilukis melalui kegagahan dan keberanian baginda
menakluk negeri Kida Hindi lalu baginda mengislamkan pemerintah dan rakyat di
negeri tersebut melalui perkahwinan baginda dengan Puteri Syahrul Bariyah.
Melalui keturunan ini digambarkan keagungan dan ketinggian martabat Raja-raja
Melayu yang dikaitkan dengan pertalian Raja Iskandar Zulkarnain yang Agung.
Kelebihan yang jelas tergambar melalui jurai keturunan ini memperlihatkan
bahawa keturunan raja-raja Melaka berasal daripada raja yang agung, gagah serta
terkenal. Hal ini secara tidak langsung mengangkat martabat raja-raja Melayu di
mata seluruh Alam Melayu dan dunia. Perkaitan keturunan raja-raja Melayu
berasal daripada Iskandar Zulkarnain dapat dilihat pada halaman 8 :
“adapun diceritakan oleh orang yang
empunya ceritera, bahawa Puteri Syahrul-Bariyah, anak Raja Kida Hindi, telah
hamillah ia dengan Raja Iskandar; tetapi Raja Iskandar tiada tahuakan isterinya
hamil itu, dan Tuan Puteri Syahrul-Bariyah pun tiada tahu akan dirinya bunting
itu. Tatkala Tuan Puteri syahrul-Bariyah kembali kepada ayahnya, Raja Kida
Hindi., baharullah ia tahu akan dirinya bunting itu.”
Di samping itu, pada sudut yang lain
pengarang juga mengetengahkan isu raja ataupun pemimpin rakyat yang mempunyai
kuasa sakti dan ajaib yang membezakan golongan pemerintah daripada rakyat
biasa. Pengarang melihat unsur ini sebagai salah satu cara yang paling ideal
untuk menjadikan rakyat supaya taat dan tidak menderhaka kepada raja. Raja di
dalam kitab Sulalatus Salatin ini dikatakan berasal daripada keinderaan yang
mempunyai kuasa luar biasa. Contohnya peristiwa penurunan tiga orang putera raja
di Bukit Si Guntang yang membawa kepada jurai keturunan Raja-raja Melayu Melaka.
Semasa penurunan itu berlaku, kesemua padi yang ada di Bukit Si Guntang berbuah
emas, berdaun perak dan berbatangkan suasa semasa mereka bertiga turun di bukit
tersebut seperti mana pada halaman 20 :
Maka keduanya basuh muka dan makan
sirih lalu turun berjalan. Maka dilihatnya padinya berbuahkan emas, berdaunkan
perak dan berbatangkan suasa. Maka kata Wan Empuk, “ Yang bercahaya semalam
rupanya padi kita ini berbuahkan emas, berdaunkan perak dan batangnya suasa
ini.” Maka sahut Wan Malini, “ Beta pandang semalam di atas Bukit Si Guntang
itu, bukannya padi huma kita ini. “ Maka keduanya naiklah ke Bukit Si Guntang
itu. Maka dilihatnya tanah negara bukit itu menjadi seperti warna
keemas-emasan; maka datang sekarang tanah itu diceritakan orang seperti emas
juga.
Sudah pastinya kejadian tersebut
merupakan suatu kejadian yang ajaib dan aneh kerana bagaimana pokok padi
tersebut boleh bertukar menjadi emas, perak dan suasa di atas kuasa luar biasa
yang dimiliki oleh ketiga-tiga putera raja tersebut. Hal ini membuktikan
kesaktian mereka sebagai anak-anak raja yang mana akan menjadi pemerintah bagi
umat manusia ketika itu. Kesaktian itulah yang menjadi pemisah di antara
raja-raja dengan rakyat-rakyat biasa. Selain itu, diceritakan juga kehebatan
dan kesaktian yang dimiliki oleh Sultan Mansur yang mana Raja cina terkena
tulah baginda kerana sifat Raja Cina yang angkuh serta sombong kepada baginda.
Raja Cina telah diserang penyakit gatal-gatal seluruh badan dan sebagai
penawarnya, Raja Cina mestilah mandi dan membasuh badan dengan air basuhan kaki
raja Melaka.
2. Pantang
larang sebagai adat istiadat dan perundangan negara
Dalam
Sulalatus Salatin, turut diceritakan mengenai isu pantang larang sebagai adat
istiadat dan perundangan negara. Dalam Sulalatus Salatin, aspek adat istiadat
dan pantang larang merupakan elemen perundangan dalam pentadbiran negara. Ia
hendaklah dipatuhi oleh semua pihak demi melahirkan ketenteraman dan kemakmuran
Melaka. Antaranya ialah pantang larang berpakaian. Rakyat jelata dilarang dari
menggunakan pakaian yang berwarna kuning, di buat tepi tabir, ulasan bantal
besar dan tilam, bungkusan barang, dijadikan barang perhiasan, kain, baju dan
destar seperti mana yang terdapat pada halaman 74 :
“Syahadan
bagindalah yang pertama-tama meletakkan “kekuningan larangan”; tidak dapat
dipakai orang keluaran, dan diambil akan sapu tangan; dan tiada dapat dibuat
tepi tabir dan ulasan bantal besar dan tilam... Dan larangan berbuat rumah
bermanjungan bertiang gantung, tiada terletak ke tanah; dan bertiang terus dari
atap, dan peranginan; dan jikalau perahu, bertingkat berpenghadapan, dan tidak
dapat orang memakai penduk dan teterapan keris, sebesar-besar orang keluaran
tiada dapat bergelang kaki emas, dan jikalau berkeroncong emas berkepala perak
tiada boleh.”
Dalam petikan ayat juga menyebut
larangan rakyat memiliki emas. Rakyat jelata walau pun ia seorang yang kaya
raya dilarang memakai barangan kemas yang dibuat daripada emas. Rakyat tidak
boleh bergelang kaki emas dan sekiranya berkeroncong emas berkepala
perak pun tidak dibenarkan kecuali ia dianugerahi oleh raja dapatlah dipakai
untuk selama-lamanya. Begitu juga sekiranya ingin masuk ke istana,
seseorang itu harus memakai kain berpancung dan berkeris di hadapan serta
bersebai sekiranya berkeris di belakang akan dirampas oleh pengawal istana.
Perkara-perkara yang disebutkan oleh pengarang yang menjadi pantang larang
adalah bagi memperlihatkan keistimewaan dan kemuliaan raja-raja yang memerintah
pada zaman. Hal ini demikian kerana institusi beraja pada masa itu meletakkan
jurang perbezaan yang jelas bagi memperlihatkan golongan raja yang memerintah
serta golongan rakyat yang diperintah bagi menjamin kesejahteraan rakyat dan
keamanan negara.
3. Taat
setia dan pantang derhaka
Selain
itu, pengarang juga membangkitkan isu kesetiaan di dalam Sulalatus Salatin ini.
Kesetiaan kepada pemerintah menjadi unsur penting dalam setiap urusan pada
zaman kesultanan Melayu Melaka. Hal ini demikian kerana kesetiaan rakyat kepada
pemerintah akan menjamin jatuh turunnya sesebuah pemerintahan itu. Hamba Melayu
yang taat setia kepada raja bersedia untuk melakukan apa-apa sahaja demi
memuliakan kedudukan raja serta untuk memelihara keselamatan raja walaupun
terpaksa menggadaikan nyawa dan harta benda mereka. Pada masa yang sama,
sifat taat setia dapat mencegah hamba Melayu daripada menyanggah dan
melanggar suruhan raja sebagaimana yang ditegaskan oleh Bendahara Paduka
Raja Tun Perak sebelum beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir disebut pada
halaman 190 :
,'. .. raja itu umpama ganti Allah
dalam dunia, kerana ia zillu'llah
fil'alam. Apabila berbuat kebaktian kepada raja, serasa berbuat
kebaktian kepada nabi Allah, serasa berbuat kebaktian kepada Allah Taala
...,
Hamba Melayu atau rakyat yang tidak
menuruti perintah raja atau melakukan penentangan serta pengkhianatan terhadap
raja tergolong sebagai penderhaka. Penderhakaan terhadap raja merupakan
suatu kesalahan yang amat besar dan jika ada hamba Melayu yang melakukan
perkara yang sedemikian, mereka bakal berdepan dengan musibah dan tulah.
Contoh kesetiaan yang diceritakan oleh pengarang dalam Sulalatus Salatin ialah
kesetiaan Hang Tuah yang merupakan
laksamana dalam kesultanan Melayu Melaka. Dalam hal ini, sifat taat setia itu terserlah
semasa beliau dijatuhi hukuman bunuh oleh Sultan Mansur Syah atas tuduhan yang
belum dibuktikan kebenarannya. Beliau langsung tidak menentang
hukuman tersebut sebaliknya menerimanya dengan penuh taat. Beliau juga
bersedia untuk membunuh sahabat karibnya sendiri berbekalkan sikap
taat setianya kepada Rajanya. Begitu juga demi kesetiaannya, beliau
sanggup menyelamatkan kuda baginda sultan yang telah masuk ke dalam kolam najis
setelah tiada seorang hamba pun sanggup untuk melakukannya. Dalam
Sulalatus Salatin ada juga menyebut kesetiaan Tun Ali Hati. Selepas Sultan Ahmad Syah
dibunuh oleh Sultan Mahmud Syah, ayahandanya sendiri, semua pembesar kembali
bernaung di bawah pemerintahan Sultan Mahmud Syah. Walau bagaimanapun, Tun
Ali Hati, salah seorang pembesar kesayangan Sultan Ahmad Syah, enggan
berbuat demikian kerana beliau "tiada
mau memandang muka orang yang lain". Dengan kata lain, kesetiaan
Tun Ali hatinya tertumpah pada Sultan Ahmad seorang. Oleh itu,
beliau telah meminta Sultan Mahmud membunuhnya kerana beliau
lebih rela mati bersama-sama dengan Sultan Ahmad
daripada bertuankan sultan yang ada sekarang.
Pada satu sudut, pengarang juga ada
menyebut tentang balasan rakyat yang tidak setia dan derhaka. Tujuan pengarang
membangkitkan isu ini bagi memperlihatkan balasan kepada orang yang derhaka
kepada raja. Rakyat jelata adalah ditegah sama sekali melakukan penderhakaan
kepada raja. Hal ini sesuai dengan pepatah Melayu yang mengatakan raja
merupakan payung rakyat tempat berteduh, pantang Melayu menderhaka, sekiranya
seseorang itu menderhaka maka balasan buruk bakal menanti, iaitu hukuman bunuh.
Bagi penderhaka, ia tidak layak untuk berada di atas bumi. peristiwa ini dapat
dilihat dalam peristiwa Hang Jebat yang mati di bunuh apabila bertindak
menderhaka ke atas Sultan Mansor menyebabkan beliau mati dibunuh di tangan
sahabatnya sendiri, Hang Tuah. Begitu juga dengan mayatnya turut dibuang ke
laut serta anak isterinya turut dibunuh. Kaki tiang dan tanah bekas rumahnya
turut dibuang ke laut. Betapa besarnya kesalahan menderhaka yang dianggap tidak
layak untuk berada di bumi seperti mana yang diceritakan pada halaman 142:
“maka bangkai Hang Jebat pun
ditarik oranglah, dibuang ke laut, maka segala anak bininya semuanya habis
diumbut, datang kepada kaki tiang dan tanah bekas rumah pun habis digali
dibuang ke laut.”
4. Sikap
sultan atau pemimpin
Dalam
Sulalatus Salatin, pengarang telah mengetengahkan isu mengenai sikap pemimpin.
Pemimpin janganlah mengikut hawa nafsu syahwat. Seorang pemimpin mestilah
menunjukkan contoh teladan yang baik kepada rakyat-rakyatnya. Hal ini demikian
kerana Sultan atau pemimpin merupakan orang yang mempunyai kedudukan paling
tinggi yang seharusnya dipenuhi dengan sifat dan sikap yang baik. Di dalam
Sulalatus Salatin, terdapat banyak peristiwa yang menggambarkan sikap pemimpin
yang menunjukkan contoh yang tidak baik untuk diteladani. Sebagai contoh, Sultan
Mahmud Melaka digambarkan seorang sultan terlalu mengikut hawa nafsu syahwatnya
menyebabkan dia dibenci oleh rakyatnya. Semasa pemerintahannya juga, Raja
Pahang berhasrat untuk menyerang Melaka setelah tunangannya Tun Teja dilarikan
oleh Laksamana ke Melaka kerana sifat Sultan Mahmud yang mengikut hawa nafsu
menginginkan Tun Teja. Selain itu, Tun Biajid juga menimang lembing untuk
membunuh Sultan Mahmud yang telah berlaku curang dengan isterinya seperti mana
yang diceritakan pada halaman 191:
“Maka Tun Biajid pun tahu akan
Sultan Mahmud syah bermain dengan isterinya itu; jikalau hendak dibunuhnya pada
masa itu dapat, kerana tiada berapa orang yang mengiringkan baginda; daripada
ia hamba Melayu, tiada ia mahu mengubahkan setianya, sekadar lembingnya
ditimang-timangnya, katanya, “ Hei Sultan Mahmud, demikian pekerjaan tuan hamba
akan hamba? Sayang tuan hamba tuan kepada hamba, jika tidak lembing ini
kuterbangkan di dada itu”
Selain
itu, seseorang pemimpin atau raja perlu menyiasat setiap aduan dengan teliti.
Raja perlu menyiasat setiap aduan dari pembesar atau rakyat dengan teliti
sebelum menjatuhkan hukuman. Kecuaian dalam membuat keputusan akan menyebabkan
golongan tidak bersalah dizalimi. Mangsa akan marah dan akan menentang raja. Hal
ini telah berlaku kepada Sang Rajuna Tapa telah menentang Raja Iskandar Syah
kerana anaknya difitnah dan dihukum oleh raja. Akibatnya kerajaan Singapura
runtuh akibat daripada Sang Rajuna Tapa yang bersekongkol dengan majapahit
kerana ingin membalas dendam kepada Raja Iskandar Syah di atas tindakan raja
yang membuat tuduhan tanpa usul periksa serta mengaibkan anaknya di khalayak
ramai. Cerita ini ada disebut pada halaman 69 :
“maka Raja Iskandar Syah pun sangat
murka, lalu disuruh baginda percanggaikan di hujung pasar. Maka Sang Rajuna
Tapa pun amat malu melihat anaknya itu. Maka katanya, “Jika sungguh sekalipun
anak hamba berbuat jahat, bunuhlah ia; mengapakah diberi malu sedemikian?”
Di samping itu, seorang raja
mestilah pandai membuat keputusan. Perkara ini dapat dilihat melalui peristiwa
Singapura dilanggar todak selepas pembunuhan Tun Jana Khatib. Apabila seseorang
pemimpin membuat keputusan atau menjatuhkan hukuman hendaklah dengan setimpal.
Hukuman yang dikenakan ke atas pesalah perlulah setimpal dan tidak harus
melampaui batas. Demang Lebar Daun juga telah meminta hukuman dikenakan oleh
raja biar bertepatan dengan syariat seperti mana yang terdapat di dalam
perjanjian waad bersama raja. Dalam kes pembunuhan Tuan Jana Khatib di
Singapura menunjukkan sikap terburu-buru dan tanpa usul periksa raja membuat
keputusan. Akibatnya Singapura dilanggar todak kerana sumpahan yang telah
dilakukan oleh Tun Jana Khatib dan beribu-ribu orang telah terbunuh akibat
kesilapan raja. Perkara ini ada disebutkan pada halaman :
“maka gemparlah orang
berlari-larian ke sana ke mari, semuanya mengatakan, “Todak datang menyerang
kita; banyaklah sudah mati ditikamnya.”
No comments:
Post a Comment