Adat
Istiadat dalam Sulalatus Salatin
Berdasarkan
sejarah Melayu atau Sulalatus Salatin, Yusuf Iskandar, 1977 mendakwa bahawa
adat serta istiadat dalam masyarakat Melayu Melaka dimulakan oleh Sultan
Muhammad Syah. Beliau berpendapat demikian berdasarkan ayat dalam Sejarah
Melayu yang berbunyi;
“
maka Sultan Muhamad pun mengatur takhta
kerajaan baginda”
Dalam
proses mengatur takhta kerajaan atau melaksanakan sistem pemerintahan itu,
Sultan Mahmud Syah tentu sahaja melibatkan undang-undang dan larangan diraja
yang ringkasnya disebut ‘adat’, serta pelaksanaan aturan negeri dan upacara
tertentu yang dikenali dengan ‘istiadat’. Dalam Sulalatus Salatin ini, terdapat
banyak adat istiadat yang telah dihikayatkan oleh Tun Seri Lanang. Dalam
konteks rencana ini, saya membahagikan adat seperti jadual 1 di atas iaitu adat
yang melibatkan hukuman dan adat yang tidak melibatkan hukuman. Secara umumnya,
Terdapat dua jenis adat yang terdapat dalam Sulalat al-Salatin, iaitu adat yang
melibatkan hukuman dan adat yang tidak melibatkan hukuman. Adat yang melibatkan
hukuman terbahagi kepada dua, iaitu undang-undang dan larangan Diraja. Antara
undang-undang yang terdapat dalam Sulalat al-Salatin ialah derhaka, menggunakan
hak raja tanpa izin, merancang untuk merampas kuasa atau seumpamanya, tidak
mengadap raja pada hari-hari tertentu, biadab kepada raja atau wakil, mencuri,
membuat fitnah dan Mengambil isteri orang .Berikut merupakan contoh adat dalam
karya agung Sulalatus Salatin;
3.1
Pelaksanaan Undang-undang
1. Derhaka
Memandangkan
sesuatu undang-undang dan hukumannya tidak dibuat secara nyata dalam Sulalatus
Salatin seperti dalam Undang-Undang Melaka dan seumpamanya, jadi pelaksanaan
undang-undang harus didasarkan kepada sesuatu hukuman yang dipraktikkan.
Hukuman yang dikira paling berat ialah bunuh. Ia boleh dijatuhkan ke atas orang
yang menderhaka, membuat fitnah, mencerca atau biadab dan mengambil isteri
orang (HaronDaud, 153:1998).
Berdasarkan hukuman yang dijatuhkan
ke atas seseorang yang menderhaka dalam Sejarah Melayu, penderhakaan bolehlah
dimaksudkan sebagai orang yang tidak mengikut perintah raja atau mencabar
kedudukan raja. Melalui wa’ad yang terkandung antara Demang Lebar Daun dengan
Seri Teri Buana, pihak raja diberi kuasa untuk membunuh rakyat yang berdosa,
tetapi mereka tidak boleh diaibkan atau dihina oleh raja. Rakyat pula perlu
mematuhi segala arahan raja dan tidak boleh ingkar. Mereka dilarang keras
menggunakan atau memakai sesuatu kepunyaan raja seperti isteri dan gundik
baginda.
Undang-undang yang membawa hukuman
mati ke atas penderhaka buat pertama kalinya dijatuhkan kepada Tun Jana Khatib,
seorang ahli ilmu khayallillah dari Pasai yang ke Singapura. Beliau disifatkan
sebagai penderhaka oleh Paduka Seri Maharaja kerana disyaki cuba menawan hati
isteri baginda dengan menunjukkan kebijaksanaannya membelah pohon pinang
melalui tilikan mata. Kemarahan baginda tergambar dalam kata-katanya yang berbunyi
“Lihatlah kelakuan Tun Jana Khatib, diketahuinya isteri kita menengok, maka ia
menunjukkan pengetahuannya”(Ibid, hal. 50).
2. Menggunakan
Hak Raja Tanpa Izin
Selain
derhaka, adat yang melibatkan hukuman adalah seperti menggunakan hak raja tanpa
izin seperti mengambil gundik baginda. Pelaksanaan undang-undang ini dapat
dilihat pada zaman pemerintahan Sultan Mansur Syah apabila Hang Tuah ‘memakai’
gundik raja. Peristiwa tersebut dirakam dalam Sulalatus Salatin edisi A. Samad
Ahmad, halaman 122 yang berbunyi begini;
“Hatta beberapa lamanya datanglah
hudjatu’l-baligh akan Hang Tuah. Maka Hang Tuah pun berkehendak dengan seorang
dayang-dayang dalam istana raja. Maka ketahuan raja. Maka oleh Sultan Mansur
Syah Hang Tuah disuruh bunuh pada Seri Nara Diraja”.
Hukuman yang dijatuhkan tersebut
telah menunjukkan bahawa tidak ada seseorang pun yang terkecuali daripada
undang-undang menggunakan ‘hak’ raja meskipun dalam konteks ini Hang Tuah telah
banyak berjasa kepada sultan dan negara. Ketegasan undang-undang tersebut
kemudian dicabar oleh Hang Jebat yang setia terhadap sahabatnya Hang Tuah
kerana ingin menuntut bela atas hukuman yang dikenakan kepada Hang Tuah
tersebut. Malangnya, tuntutan tersebut tidak mendapat tempat dalam
undang-undang yang tidak ada sistem penghakiman. Malah, tindakannya membunuh
gundik raja dan bermaharajalela dalam istana telah menambahkan lagi bentuk
penderhakaan yang telah dilakukan oleh beliau dan tentunya akan membawa hukuman
yang lebih berat. Hal ini terbukti apabila Hang Jebat dijatuhkan hukuman bukan
sahaja dibunuh tetapi mayatnya tidak dibenarkan berada di negeri Melaka.
Justeru, kaki tiang dan bekas rumahnya semua dibuang ke laut dan isteri dan
anaknya dibunuh (HaronDaud, 1989 : 155).
3. Merancang
untuk Merampas Kuasa
Undang-undang
juga menetapkan bahawa rakyat atau pembesar tidak boleh merampas kuasa.
Pelaksanaan undang-undang ini agak jelas pada masa pemerintahan Sultan Mahmud
Syah. Baginda telah menjatuhkan hukuman bunuh ke atas bendahara Seri Maharaja
yang memang didendaminya, setelah mendapat aduan daripada Laksamana Khoja
Hassan seperti yang disampaikan oleh Raja Mendeliar. Sejarah itu telah dirakam
dalam teks Sulalatus Salatin, dalam Sejarah Melayu edisi Shellabear, halaman
194 seperti berikut;
“Sahaya mengadap ini, sahaya terlepas
taksir, supaya jangan sahaja dikatakan orang sebicara dengan penghulu sahaya,
kerana sahaya ketahui bahawa Datuk Bendahara hendak derhaka. Hendaklah orang
kaya persembahkan ke bawah Duli Yang Dipertuan, sudah ia berbuat takhta
kerajaan menempa cerek emas dan kaus emas, kasadnya hendak naik raja di dalam
negeri Melaka ini”.
Walaupun berita yang disampaikan
oleh Raja Mendeliar itu adalah fitnah, hukumannya tetap dijatuhkan berdasarkan
undang-undang yakni barang sesiapa yang cuba menggulingkan raja maka ia harus
dibunuh. Tindakan Laksamana Khoja Hassan yang menyampaikan berita itu
disifatkan sebagai sesuatu yang betul di sisi undang-undang. Oleh sebab itu,
laksamana tersebut tidak dikenakan hukuman bunuh kerana beliau hanya
menjalankan tanggungjawab. Walau
bagaimanapun, laksamana tersebut tetap dikenakan hukuman kerana tidak
menyelidik terlebih dahulu akan kesahihan berita tersebut, tetapi hukuman yang
dikenakan adalah hartanya sahaja yang dirampas.
4. Membunuh
Tanpa Izin
Undang-undang
yang dibuat oleh Sultan Melaka ini tidak terbatas kepada negeri naungannya
sahaja, tetapi ia juga meliputi segala negeri di bawah taklukan Melaka.
Justeru, setiap raja di bawah naungan Sultan Melaka tidak boleh berbuat sesuka
hati tanpa pengetahuan Raja Melaka. Di antaranya, mereka tidak diizinkan
membunuh tanpa kebenaran baginda. Pelaksanaan undang-undang ini dapat dilihat
apabila berlakunya kes pembunuhan Telanai Terengganu oleh Seri Akar Raja dengan
arahan daripada Sultan Muhammad, Pahang. Bagi menunjukkan perbuatan tersebut
adalah salah di sisi undang-undang, Sultan AlauddinRiayat Syah menghantar
Laksamana Hang Tuah ke Pahang untuk menyampaikan kesalahan tersebut secara
kiasan iaitu mengarahkan seorang pengikutnya melakukan pembunuhan. Sepupu Seri
Akar telah dibunuh, tetapi Laksamana tidak membenarkan pembunuh itu dihukum
sebaliknya beliau meletakkan kesalahan tersebut ke atas bahu Seri Akar Raja
kerana telah membunuh Telanai tanpa meminta izin daripada Raja Melaka.
Menjalankan hukuman bunuh tanpa
pengetahuan raja adalah menjadi satu kesalahan kerana tindakan tersebut membawa
pelbagai konotasi. Keadaan ini boleh dikata sebagai menderhaka atau mahu
bermaharajalela. Walau bagaimanapun, undang-undang tersebut mempunyai
kelonggaran kepada pembesar tertentu berdasarkan masa dan tempat yang
ditetapkan sebagaimana yang tercatat dalam Fasal 9.1, Undang-Undang Melaka.
Peruntukan undang-undang tersebut memberi kuasa kepada raja dan
pembesar-pembesar itu menjalankan pembunuhan tetapi pelaksanaannya masih
terikat dengan undang-undang dasar iaitu orang yang membunuh perlu dihukum
bunuh yang merupakan hukum Allah (HaronDaud, 1989).
3.2
Pelaksanaan Larangan Diraja
Raja
menduduki tempat yang paling istimewa dalam masyarakat Melayu tradisional.
Dalam kebanyakan hal, seseorang raja amat berbeza daripada golongan rakyat
jelata, baik dari segi pertuturan, pakaian mahupun peralatan semuanya adalah
berbeza. Bagi memastikan perbezaan itu dikekalkan dan organisasi istana tidak
tercemar maka undang-undang raja dan larangan tertentu telah dikuatkuasakan ke
atas rakyat. Menyentuh tentang isu larangan, sukar bagi kita untuk membezakan
dengan undang-undang kerana kedua-duanya mempunyai hukuman. Lazimnya, larangan
lebih dikaitkan berkenaan dengan soal-soal perhiasan-perhiasan, pakaian, dab
peralatan raja. Pelaksanaannya juga tidaklah seketat pelaksanaan undang-undang.
Menurut Sejarah Melayu, larangan
diraja buat pertama kalinya dimulakan oleh Sultan Muhammad Syah iaitu sebaik
sahaja baginda memeluk Islam. Larangan-larangan tersebut termasuklah seperti
berikut ;
1. Memakai
kain kuning
Orang keluaran tidak
dibenarkan menggunakan sapu tangan, dijadikan tepi tabir, ulasan bantal besar
atau tilam, sebagai pembungkus barang-barang, karangan-karangan benda ataupun
sebagai perhiasan rumah dan sebagainya kecuali dijadikan kain, baju dan destar.
2. Seni
bina rumah
Orang keluaran tidak
boleh membuat rumah beranjung, bertiang gantung ataupun bertiang terus dari
tanah hingga ke atap, ia juga tidak boleh mempunyai ruang atau lubang tempat
angin keluar masuk.
3. Membuat
perahu
Perahu yang dibina
tidak boleh bertingkap berpenghadapan iaitu perahu yang mempunyai tingkap pada
rumah di atas perahu tersebut, dan di dalam perahu itu tidak boleh ada tempat
yang menyerupai tempat duduk sewaktu menghadap raja.
4. Memakai
perhiasan emas
Orang keluaran tidak
dibenarkan memakai perhiasan emas seperti gelang kaki emas dab keroncong iaitu
gelang kaki berloceng, emas berkepala perak, kerana segala orang yang mempunyai
emas bagaimana sekalipun jika mereka tidak dianugerahkan emas oleh raja maka
mereka tidak dibenarkan memakainya. Sekiranya emas tersebut merupakan pemberian
atau anugerah dari raja, maka mereka boleh memakainya.
5. Memakai
keris tertentu
Orang ramai dilarang
sama sekali untuk menggunakan keris yang bersalut emas atau perak pada sarung
atau pangkalnya. Mereka juga dilarang menyelitkan keris pada bahagian belakang
apabila masuk ke istana untuk menghadap raja.
6. Penggunaan
payung
Orang ramai dilarang
untuk menggunakan payung yang berwarna putih yang mudah kelihatan dari jauh
kerana payung sebegitu dikhaskan untuk golongan diraja. Payung berwarna kuning
juga dilarang digunakan oleh masyarakat kerana payung berwarna kuning dikhaskan
untuk anak raja sahaja. Kedua-dua payung yang berwarna putih dan kuning ini
dilarang digunakan oleh orang keluaran mahupun pembesar-pembesar.
Menurut Ahmad
Ibrahim dalam HaronDaud, 1898, peraturan mengenai pakaian, senjata raja dan
warna kuning seperti yang dinyatakan adalah kesan peninggalan daripada pengaruh
Hindu. Namun, ia tetap menjadi sebahagian daripada budaya Melayu walaupun
setelah kehadiran Islam. Melalui larangan ini, setidak-tidaknya boleh
mengekalkan status quo seseorang raja. Antara kepentingan lain seperti, dapat
menggambarkan keagungan Kerajaan Melayu Melaka, menggambarkan kesetiaan rakyat,
serta mengukuhkan institusi istana dan pembesar Melayu.
3.3 Pelaksanaan Aturan Negeri
Aturan negeri ini juga merupakan
sebahagian daripada adat. Tetapi, aturan negeri ini tertakluk kepada adat yang
tidak melibatkan hukuman. Tradisi masyarakat Melayu Melaka yang dibina pada
awal abad ke-15 begitu terpelihara sekurang-kurangnya hingga pertengahan abad
ke-15 (Haron Daud,1989). Keadaan ini berlaku hasil daripada ketaatan rakyat
kepada rajanya. Justeru, keadaan ini menjadi semakin baik apabila adanya
peraturan negeri, khususnya yang melibatkan istana yang amat mementingkan
protokol. Berikut antara peraturan negeri yang terdapat dalam Sulalatus
Salatin;
1. Negeri
kalah, raja mati.
Salah
satu hal yang menarik dalam peraturan negeri sebagaimana yang telah dirakam
dalam Sejarah Melayu ialah penguasaan raja ke atas sesebuah negeri tersebut.
Walaupun negeri tersebut telah ditawan oleh satu kuasa luar sedangkan rajanya
masih hidup atau melarikan diri, baginda masih berkuasa ke atas negeri
tersebut. Hal ini kerana terdapatnya adat dalam aturan negeri iaitu ‘negeri
kalah, raja mati’. Peraturan tersebut memberi gambaran bahawa sesebuah negara
belum boleh diisytiharkan kalah sekiranya rajanya masih hidup.
Contoh
yang dapat kita lihat melalui Sejarah Melayu apabila kerajaan Melayu Singapura
pernah diserang oleh kerajaan Majapahit pada masa pemerintahan Iskandar Syah
dan begitu juga dengan kerajaan Melaka pada masa pemerintahan Sultan Mahmud
Syah yang telah diserang oleh Protugis. Penguasaan Majapahit di Johor dan
Protugis di Melaka cuma secara de factor. Melaka dewasa itu secara itu secara
de jure masih di bawah kuasa Sultan Mahmud Syah di Kampar. Berdasarkan
peraturan ‘negeri kalah raja mati’ tersebut, negeri Melayu tidak pernah
dikuasai oleh kuasa luar secara mutlak. Mungkin kerana ini juga, negeri dan
raja Melayu berkekalan hingga kini (HaronDaud, 1989).
2. Perlantikan
raja melalui keturunan dan wasiat
Cara pelantikan raja
atau pengganti baginda juga merupakan
sebahagian daripada aturan negeri. Apabila seseorang raja mangkat, tempat raja
tersebut harus diganti oleh raja yang baru. Berdasarkan Sulalatus Salatin,
peraturan yang lazim digunakan dalam pelantikan raja baru adalah mengikut
keturunan ayah kepada anak lelaki melalui wasiat. Walau bagaimanapun, anak raja
yang dipilih itu biasanya telah dilantik sebagai Raja Muda atau bakal raja.
Mengikut peraturannya, seseorang raja yang dilantik sebagai raja atau sultan
yang baru mestilah melalui istiadat pertabalan dan penobatan sebelum baginda
diterima sebagai raja rasmi. Selepas itu, barulah pembesar dan rakyat dapat
menjunjung duli (HaronDaud, 1989).
3. Susunan
tempat duduk menjunjung duli
Seperti yang telah
diterangkan, institusi istana masyarakat Melayu tradisional penuh dengan
protokol. Ini termasuklah tentang penyusunan tempat duduk untuk menjunjung duli
dalam istiadat pertabalan. Cara perlantikan atau penggantian raja ini juga
merupakan salah satu perkara yang tertakluk dengan peraturan negeri. Apabila
seseorang raja mangkat, tempatnya harus diganti oleh raja yang baru. Ketika
menghadap raja dan menjunjung duli baginda di istana, terdapat peraturan khusus
mengenainya. Tempat duduk para pembesar serta pegawai istana yang lain disusun
secara bertingkat-tingkat. Tingkat yang paling atas selepas raja dan paling
hampir dengan baginda ialah Bendahara. Penghulu Bendahari pula menduduki tempat
di bawah selepas Bendahara dan tempat seterusnya diduduki oleh hulubalang
besar, sesudah itu barulah tempat para pembesar menteri.
Perkara ini dapat dilihat buat pertama kalinya dipraktikkan
berdasarkan Sulalatus Salatin, ketika Sang Sapurba yakni Seri Teri Buana
dinobatkan dan ditabalkan sebagai Raja Palembang. Peraturan tersebut turut
dilaksanakan di Singapura kemudiannya. Keadaan ini jelas digambarkan ketika
Paduka Seri Pikrama Wira memerintah negeri itu. Di Melaka, peraturan sedemikian
dikekalkan dan hal tersebut digambarkan dengan lebih terperinci oleh Tun Seri
Lanang seperti berikut;
“Adapun
apabila raja dihadap orang di balairung, maka Bendahara dan Penghulu Bendahari
dan Temenggung, dan segala menteri dan orang-orang besar, segala sida-sida
duduk di seri balai; maka segala anak raja-raja itu duduk dikelek-kelekan balai
kiri kanan, dan segala sida-sida yang muda-muda duduk diselang-selang antara
Bentara, dan hulubalang muda-muda berdiri di ketapakan balai memikul pedang…”
(Sulalatus
Salatin , A.Samad Ahmad hal. 70)
4. Peraturan
menghadap raja
Ketika menghadap raja
dan menjunjung duli, terdapat juga peraturan yang perlu dipatuhi. Peraturan
tersebut ialah, mana-mana pembesar termasuklah Bendahara, dan lain-lainnya
tidak boleh disembah sebelum menyembah raja atau di hadapan baginda. Peristiwa
ini tergambar sewaktu pembesar-pembesar duduk di balairung menunggu Sultan
Mahmud Syah keluar untuk berhari raya. Berikut merupakan rakaman dalam teks
Sejarah Melayu edisi Shellabear halaman 191;
“Maka
Raja: Mendeliar; pun datang hendak menyembah Bendahara Seri Maharaja. Maka
ditepiskan Bendahara tangan, Raja Mendeliar, seraya katanya, ‘Ceh, Keling,
tiada tahu bahasa, patutkah tuan hamba menyembah hamba di balai ini? Datang ke
rumah hamba tidakkah boleh? Lagipun pada yang Dipertuan belum kita menjunjung
duli; bagaimana kita akan berjabat tangan dahulu?”
Menurut Fasal 24, Undang-Undang 99 Perak tentang peraturan
ketika menghadap raja atau Orang Besar-Besar iaitu, orang yang hendak menghadap itu hendaklah menundukkan kepalanya serta tidak boleh
meliarkan matanya dan tidak dibenarkan memandang muka baginda. Orang tersebut
juga tidak boleh meninggikan suara ketika bercakap.
3.4
Pelaksanaan Istiadat
Istiadat menurut kamus dewan edisi keempat, membawa
maksud peraturan atau cara-cara melakukan sesuatu yang sudah menjadi kebiasaan,
adat kebiasaan, atau resam. Pengertian istiadat ini mempunyai kaitan dengan
adat. HarunDaud, 1989 berpendapat istiadat ini meliputi aturan negeri dan
peraturan dam sesuatu upacara. Jadi apabila kita menyebut adat istiadat, maka
ia membawa dua maksud iaitu berbagai-bagai adat dan upacara termasuk peraturan
pelaksanaannya. Sehubungan dengan itu, istiadat berbeza dengan undang-undang
kerana istiadat ini boleh dikatakan tidak melibatkan hukuman atau denda
tertentu, (HarunDaud , 1989). Dalam adat yang tidak dikenakan hukuman terbahagi
kepada aturan negeri dan istiadat. Terdapat sedikit perbezaan antara aturan
negeri dan istiadat. Antara perbezaannya ialah, aturan negeri dilihat lebih
bersifat protokol dan ada tatatertib bertentu dalam sesuatu majlis rasmi di
istana misalnya, manakala istiadat ini
mengutamakan soal kelengkapan yang disediakan dalam sesuatu upacara
tertentu. Dalam Salatin ada menyatakan istiadat yang diamalkan oleh golongan
raja, antaranya seperti berikut;
1. Perkahwinan
Pelaksanaan
istiadat perkahwinan biasanya secara langsung melibatkan upacara peminangan,
akad nikah, persandingan dan sebagainya. Dalam Sulalatus Salatin, istiadat
perkahwinan ini telah wujud sejak zaman Hindu-Buddha lagi sehinggalah kepada
zaman Melaka. Dalam Sejarah Melayu, buat pertama kalinya memperlihatkan
istiadat perkahwinan raja-raja adalah waktu Seri Teri Buana berkahwin dengan Wan
Sendari anak Demang Lebar Daun di Palembang. Walau bagaimanapun, dalam peristiwa
itu istiadat perkahwinannya tidak disebut secara jelas. Ia sekadar menyebut
Seri Teri Buana menyuruh orang-orangnya pergi meminang dan mereka dikahwinkan.
Ketika ini, upacara istiadat yang dilakukan bukan secara Islam kerana mereka
masih beragama Hindu-Buddha. Walaupun upacara meminang dan akad nikah tidak
disebut secara jelas, upacara permandian serta berjaga-jaga dinyatakan dengan
jelas dalam Sulalatus Salatin. Upacara permandian ini merupakan salah satu
upacara pengaruh Hindu.
Setelah zaman kedatangan Islam,
Istiadat perkahwinan mempunyai sedikit perbezaan. Contohnya, melalui peristiwa
semasa dalam perjalanan ke Johor, Sultan AlauddinRiayat Syah II yang
meninggalkan Kampar telah singgah ke Johor. Di situ, baginda telah berkahwin
dengan Raja Kesuma Dewi dan hasil perkahwinan tersebut lahirlah Raja Fatimah
yang kemudiannya dikahwinkan dengan Raja Umar, cucu kepada Sultan Mansur Syah.
Kedua-dua perkahwinan ini dipenuhi dengan pelbagai upacara seperti yang
digambarkan dengan jelas oleh Tun Seri Lanang dalam Sejarah Melayu.
Istiadat perkahwinan tersebut
dimulakan dengan upacara penghantaran tepak sirih dan emas belanja semasa
pertunangan. Apabila telah tiba masa yang ditetapkan untuk perkahwinan, upacara
berjaga-jaga dengan bersuka ria diadakan. Pada malam pernikahan, pengantin
lelaki diarak dengan gajah dari tempat penginapannya menuju ke rumah pengantin
perempuan. Di situ, kadi akan menikahkan kedua mempelai diikuti dengan upacara
persandingan. Semasa duduk di pelamin, kedua mempelai akan mengadakan upacara
menyuap nasi adap-adapan. Istiadat perkahwinan ini berakhir dengan kedua-dua
mempelai beredar ke bilik peraduan. Jika diteliti, upacara perkahwinan ini
telah menggunakan lunas-lunas Islam, tetapi pengaruh Hindu-Buddha dalam upacara
perkahwinan masih dipraktikkan.
2. Melenggang
perut
Lazimnya,
pasangan yang berkahwin akan menimang cahaya mata. Mengikut adat Melayu,
seseorang bakal ibu sebelum melahirkan anak sulung terlebih dahulu diadakan
istiadat melenggang perut. Ia dilakukan setelah genap tujuh bulan hamil.
Menurut kepercayaan mereka, istiadat itu sebaik-baiknya dilangsungkan pada 19,
21 dan 23 hari bulan Islam dan seelok-eloknya jatuh pada hari Rabu atau Khamis
kerana tarikh dan hari yang lain dikhuatiri keluarga tersebut akan ditimpa
kesusahan. Istiadat tersebut diadakan kononnya bertujuan agar membetulkan
kedudukan anak di dalam kandungan dan menyenangkan kelahirannya kelak.
Bagi melaksanakan istiadat tersebut,
beberapa alat diperlukan. Antaranya ialah tujuh helai kain, minyak kelapa,
pucuk nipah, air, daun kelapa dan berenang setukal. Bidan akan memulakan dengan
menyusup kain-kain itu di bawah pinggang dan melenggangkannya di atas perut
orang berkenaan. Ia diikuti dengan menyapu minyak pada perut itu dan
melancarkan pucuk nipah dari paras perut hingga ke kaki. Seterusnya orang berkenaan
akan dimandikan dengan pelbagai jenis air. Antaranya termasuklah air
bunga-bungaan yang diperbuat dengan daun kelapa dan sebagainya. Kemudian benang
tukal dilingkarkan di atas kepala yang ditinggalkan tempurungnya dan perempuan
itu akan ditepungtawarkan. Setelah dimandikan dengan air tolak bala dan doa
selamat, pakaiannya dipersalin dan akhir sekali diberi makan nasi kunyit.
Sebagaimana beberapa istiadat Melayu
lain, istiadat melenggang perut juga dikatakan oleh Winstedt adalah diwarisi
dari peradaban Hindu (HaronDaud, 1989). Berdasarkan Sejarah Melayu baik pada
masa pemerintahan raja-raja Hindu mahupun Islam, istiadat itu tidak pernah
disentuh. Namun, waris Kesultanan Melaka di Perak mempraktikkannya. Perkara ini
dapat dilihat pada ketika Raja Budak Rasul, isteri Sultan Iskandar, hamil tujuh
bulan. Tetapi upacara yang dijalankan tidaklah selengkap seperti yang telah
dinyatakan di atas. Ia lebih mengutamakan upacara berpesta iaitu berjaga-jaga
dengan bersuka ria selama 40 hari 40 malam(Raja Chulan, Misa Melayu, 1966, hal.
82).
3. Menyambut
kelahiran anak
Istiadat
melenggang perut tersebut kemudiannya diikuti dengan istiadat menyambut
kelahiran bayi. Dalam Sulalatus Salatin ada memperlihatkan perkara ini iaitu
ketika Tun Fatimah, permaisuri Sultan Mahmud Syah, Melaka, yang melahirkan anak
lelakinya di Kopak. Sebaik sahaja putera itu dilahirkan, Sultan Mahmud Syah
memerintah orang untuk memalu gong dan gendang serta memasang bedil sebagai
tanda kesukaan. Bayi itu kemudiannya dimandikan dan seterusnya diazankan oleh
kadi. Tujuh hari kemudian, istiadat bercukur pula dijalankan. Tugas mencukur
rambut putera raja itu diserahkan kepada Bendahara Paduka Raja, Tun Khoja Ahmad
dan Temenggung Seri Udani ditugaskan untuk mengarak air mandi. Setelah
bercukur, putera raja itu terus diberi nama iaitu Raja Ali. Setelah berusia 40
hari, Raja Ali ditabalkan sebagai pengganti raja bergelar Sultan AlauddinRiayat
Syah II. Pada hari itu juga, istiadat permandian Tun Fatimah diadakan bagi
menandakan beliau telah lepas pantang (A. Samad Ahmad, Sulalatus Salatin).