ABSTRAK
Teori Falsafah Bahasa sangat
berkait rapat dalam mencapai tahap kesempurnaan dalam berbahasa. Hal ini dapat
dicapai mengambil kira tiga prinsip asa dalam kesempurnaan berbahasa, iaitu
yang pertama adalah berbahasa mengikut nahu iaitu kita menggunakan bahasa
dengan hukum-hukum tatabahasa yang betul, yang kedua pula adalah berbahasa
untuk menyampaikan maklumat yang benar seperti yang disuruh oleh Allah S.W.T
dan yang terakhir adalah berbahasa untuk tujuan ibadah ataupun mentauhidkan
Allah kerana segala yang dilakukan oleh kita akan dibalas pada kemudian hari
kelak. Kesempurnaan berbahasa ini merangkumi segala hal berkaitan dengan bahasa
termasuk berbahasa melalui lisan ataupun berbahasa melalui tulisan. Lisan
merupakan perbualan seharian dan komunikasi kita bersama masyarakat manakala
tulisan pula melibatkan kaedah penyampaian maklumat melalui pembacaan.
Kedua-dua kaedah ini tidak dapat lari daripada hak untuk mencapai kesempurnaan
berbahasa tertakluk kepada prinsip-prinsip yang sudah termaktub dalam Teori
Falsafah Bahasa. Dalam artikel ini, pantun-pantun dalam Pantun Melayu Bingkisan
Permata menjadi bahan untuk disusuri sejauh mana kesempurnaan berbahasa yang
terkandung di dalamnya. Ternyata tulisan atau pantun-pantun yang dihasilkan
oleh orang-orang zaman Melayu dahulu sudah mencapai tahap kesempurnaan bahasa
yang baik. Maka, tanggungjawab beralih kepada generasi kini untuk meneruskan
kesinambungan kebijaksanaan orang-orang Melayu dalam berbahasa supaya tidak
hilang begitu sahaja.
1.0 PENGENALAN
Dalam
kehidupan seharian kita sebagai manusia, kita tidak dapat mengelakkan diri kita
daripada berkomunikasi dengan orang lain. Walau dalam apa-apa situasi juga,
kita masih perlu berkomunikasi sama ada melalui percakapan, penulisan mahupun
gerak bahasa badan. Namun, perkara yang paling asas dalam berkomunikasi ini
adalah melalui komunikasi berbahasa. Manusia akan sentiasa bercakap dalam
banyak perkara sama ada ingin menyampaikan arahan, sindiran, nasihat dan
pelbagai perkara lagi. Tamadun manusia diangkat apabila sekelompok manusia itu
mempunyai organisasinya yang tersendiri.
Dalam tidak sedar sebenarnya kita sekarang
ini merupakan sebahagian daripada organisasi yang dibina itu. Sesebuah
organisasi dibentuk melalui komunikasi antara pihak atasan sehingga ke
peringkat bawahan. Segala arahan yang diberi merupakan salah satu bentuk
komunikasi berbahasa yang mempunyai maklumat dan tujuannya yang tertentu. Jika
maklumat yang diberi oleh pihak atasan tersebut salah, maka seluruh organisasi
akan menanggung segala kesalahan itu seterusnya bakal memberikan implikasi yang
buruk. Oleh sebab itu, dalam berbahasa sangat penting untuk semua orang
memainkan peranan dan bertanggungjawab ke atas apa yang apa yang disampaikan.
Kaedah berbahasa yang betul dan baik bakal menghasilkan sebuah komunikasi yang
berkesan walau dalam apa juga saluran penyampaian maklumat.
Untuk menghasilkan komunikasi berbahasa
yang berkesan ini, adalah lebih elok jika falsafah dalam berbahasa itu dapat
difahami dan diamati seterusnya dapat dipraktikkan dalam penggunaan bahasa kita
seharian. Secara ringkasnya, Teori Falsafah Bahasa yang diperkenalkan oleh Mohd
Rashid Md. Idris pada tahun 2007 menggariskan tiga prinsip dalam mencapai
kesempurnaan berbahasa oleh seseorang itu. prinsip asas pertama dalam
Teori Falsafah Bahasa adalah berbahasa mengikut nahu, yang kedua pula adalah
berbahasa untuk menyampaikan maklumat yang benar dan prinsip yang ketiga adalah
berbahasa untuk tujuan ibadat atau mentauhidkan Allah S.W.T.
2.0 PRINSIP KESEMPURAAN BERBAHASA DALAM
PANTUN Melayu BINGKISAN PERMATA
2.1 Berbahasa Mengikut Nahunya
Bahasa
adalah sesuatu yang bersistem dan berperaturan. Dari sudut ilmu linguistik,
peraturan yang mengawal sistem kebahasaan itu dikenali sebagai nahu atau
tatabahasa. Bahasa juga adalah entiti yang hidup dan sentiasa berkembang
seiring dengan kemajuan dan peningkatan peradaban manusia penuturnya.
Perkembangan ini menjadikan bahasa semakin kompleks dan rencam. .Nahu merupakan
cabang ilmu linguistik yang berkaitan dengan fonologi, morfologi, sintaksis,
semantik dan pragmatik. Prinsip pertama ini menekankan peri pentingnya
berbahasa mengikut nahu-nahu ini. Proses komunikasi perlu mematuhi nahu-nahu
bahasa ini supaya maklumat yang disampaikan mencapai objektifnya.
Melalui
prinsip pertama kesempurnaan bahasa iaitu berbahasa mengikut nahunya, analisis
beberapa aspek akan dilakukan terhadap sebuah karya agung iaitu karya agung
Pantun Melayu ; Bingkisan Permata. Antara aspek yang diteliti ialah aspek
morfologi dan aspek sintaksis. Hal ini demikian, pantun merupakan wadah yang
digunakan oleh orang Melayu untuk mengungkapkan fikiran dan rasa hatinya
tentang makna kehidupan, tentang kelakuan manusia dan hubungannya dengan alam
sekitar. Justeru, amat wajar dilakukan analisis prinsip kesempurnaan bahasa ini
terhadap pantun-pantun Melayu khususnya yang terdapat dalam Pantun Bingkisan
Permata ini. Berikut merupakan analisis tersebut mengikut prinsip kesempurnaan
berbahasa yang pertama.
2.1.1
Aspek
Morfologi
Morfologi
ialah satu bidang yang mengkaji satu struktur gramatikal perkataan, iaitu
kemungkinan adanya perubahan kata, golongan kata dan makna kata akibat
perubahan bentuk kata. Menurut Siti Hajar Abdul Aziz di dalam bukunya Siri
Pendidikan Guru, Bahasa Melayu 1, pada halaman 132, morfologi boleh diertikan
sebagai bidang tatabahasa yang mengkaji perkataan dan cara-cara pembentukannya.
Struktur kata bermaksud
susunan bentuk bunyi ujaran atau lambang (tulisan) yang menjadi unit bahasa
yang bermakna. Bentuk kata pula ialah rupa unit tatabahasa, sama ada berbentuk
tunggal atau hasil daripada proses pengimbuhan, pemajmukan dan penggandaan
(Ahmad Khair Mohd Nor at. El, 2012). Penggolongan kata ialah proses menjeniskan
perkataan berdasarkan keserupaan bentuk atau fungsi, atau bentuk dan fungsinya
(Nik Safiah Karim, Farid M.Onn, hashim haji Musa, dan Abdul Hamid Mahmood,
2011). Tuntasnya, morfologi bahasa Melayu ialah bidang yang mengkaji struktur,
bentuk dan golongan kata dalam Bahasa Melayu.
Dalam Pantun Melayu;
Bingkisan Permata kita dapat melihat adanya aspek-aspek morfologi tersebut
iaitu golongan kata, pembentukan kata, dan strukturnya. Berikut merupakan
contoh yang menjelaskan aspek tersebut;
Merpati terbang ke jalan,
Ikan belanak makan di karang,
Bonda mati bapak berjalan,
Melarat anak tinggal seorang.
(PMBP; 34)
Tengah rembang panas teduh,
Peluh dibadan habis bertitik,
Ayuhai saudara jangan bergaduh,
Lihatlah bonda sudah berbalik.
(PMBP; 31)
Melalui contoh pantun
di atas, kita dapat melihat terdapat golongan kata bahasa Melayu iaitu Kata
Nama, Kata Kerja, Kata Adjektif, dan Kata Sendi Nama. Terdapat banyak kata nama
dalam pantun di atas misalnya, merpati, ikan belanak, bonda, saudara dan
lain-lain. Contoh kata kerja juga diperlihatkan dalam pantun di atas seperti
terbang, makan, bergaduh, lihatlah dan sebagainya. Bagi contoh kata adjektif
pula dalam pantun di atas adalah seperti rembang, panas, dan teduh. Bagi Kata
Sendi Nama yang terdapat dalam pantun di atas seperti ke dan di.
Melalui analisis ini
dapatlah kita simpulkan dalam Pantun Melayu Bingkisan Permata ini terdapat
golongan-golongan kata bahasa Melayu tersebut. Selain melihat golongan kata,
aspek morfologi juga melihat kepada kata dasarnya dan pembentukan kata. Kata
dasar adalah kata akar yang tidak menerima apa-apa imbuhan atau penggandaan.
Kata terbitan pula adalah kata akar yang telah menerima imbuhan atau
penggandaan (Ahmad Khair Mohd Nor, 2007). Secara mudahnya, kita dapat melihat
aspek-aspek tersebut dalam Pantun Melayu Bingkisan Permata ini. Berikut
merupakan contoh yang memperlihatkan aspek tersebut;
Baik-baik bertanam ubi,
Biar rapat jangan jarang,
Baik-baik bertanam budi,
Budi yang mana dikenang orang.
(SBSB; 22)
Kain Bali Selendang Bali,
Serindit makan lada muda,
Jikalau tidak kenang sekali,
Kenang sedikit ada juga.
(PMW; 64)
Cik Minah memakai merjan,
Disinar api cahaya gemerlap,
Bumi mana tak kena hujan,
Manusia mana tak buat silap.
(PPM; 48)
Lalai-lalai mana bubutan,
Bubutan lagi dikelati,
Kakak Tun Telanai mana pungutan,
Pungutan lagi di Tanjung Jati.
(SM; 102)
Melalui pantun di atas
terdapat kata akar dan kata terbitan. Kata akar juga merupakan kata dasar dalam
morfologi dalam pantun di atas adalah seperti ubi, rapat, jarang, budi dan
sebagainya. Selain kata dasar, kata terbitan yang menerima imbuhan awalan dalam
pantun di atas seperti bertanam, dikenang dan sebagainya. Bagi imbuhan sisipan
pula contoh yang terdapat dalam pantun di atas adalah seperti selendang yang
menerima imbuhan –el-, gemerlap yang menerima imbuhan –em- . Selain itu,
terdapat banyak lagi contoh imbuhan sisipan yang terkandung dalam karya agung
Pantun Melayu Bingkisan Permata ini. Bagi imbuhan akhiran pula, contoh yang
terdapat dalam pantun di atas adalah seperti bubutan dan pungutan yang menerima
imbuhan akhiran –an. Contoh bagi imbuhan sisipan pula dalam pantun di atas
seperti dikelati iaitu imbuhan apitan di-i.
Selain kata terbitan
melalui proses pengimbuhan, terdapat juga kata terbitan yang terhasil melalui
proses penggandaan. Dalam Pantun Melayu Bingkisan Permata, terdapat banyak kata
ganda yang digunakan di dalam pantun. Dalam contoh pantun di atas juga kita
dalam melihat kata ganda digunakan misalnya, baik-baik yang menggandakan kata
dasar baik, dan lalai-lalai yang menggandakan kata dasar lalai. Justeru, secara
keseluruhannya Pantun Melayu Bingkisan permata ini memenuhi aspek morfologi.
2.1.2
Aspek
Sintaksis
Sintaksis
ialah cabang ilmu bahasa yang mengkaji bentuk, struktur, dan binaan atau
konstruksi ayat. Sintaksis bukan sahaja mengkaji proses pembinaan ayat tetapi
juga hukum-hukum yang menentukan bagaimana perkataan disusun dalam ayat.
Ringkasnya, bidang sintaksis membincangkan tentang hal berkaitan ayat. Dalam
analisis ini aspek sintaksis yang akan dilihat adalah aspek pola ayat. Pola
ayat ini terdiri daripada subjek dan predikat. Subjek biasanya terdiri daripada
frasa nama, predikat pula terdiri daripada frasa nama (FN), frasa kerja (FK),
frasa adjektif (FA) dan rasa sendi nama (FS) (Ahmad Khair Mohd Nor, 2003).
Berikut merupakan pola ayat dasar dalam Bahasa Melayu;
i. Frasa Nama + Frasa Nama (FN +
FN)
ii. Frasa Nama +
Frasa Kerja (FN + FK)
iii. Frasa Nama + Frasa Adjektif
(FN + FA)
iv. Frasa Nama + Frasa Sendi Nama (
FN + FSN)
Juragan bernama Sutan Tahir,
Muat beras bercampur pulut,
Selama masa adikku lahir,
Telah boleh kawan bergelut.
(PMBP; 29)
Bintang kejora terbit senja,
Terbenam hampir tengah malam,
Hairanlah
hamba memikirkannya,
Musang
disepak induk ayam.
(PMBP; 227)
Belayar perahu dari Berandan,
Menuju ke arah Selat Melaka,
Lebar kepala dari badan,
Apakah itu cubalah teka?
(APM1; 15)
Burung serindit terbang ke hulu,
Berbunyi aur mendayu-dayu,
Laila kata madah dahulu,
Pokoknya rendang daun tak layu.
(SARH; 9)
Dalam
contoh pantun di atas, kesemuanya mengandungi subjek dan predikat. Misalnya dalam
ayat “Juragan bernama Sutan Tahir” subjeknya
adalah “Juragan” manakala predikatnya adalah “bernama Sultan Tahir”. Begitu
juga dengan ayat “Burung serindit terbang ke hulu”, subjeknya adakah “burung
serindit”, manakala predikatnya pula adalah “terbang ke hulu”. Subjek terdiri
daripada FN manakala predikat terdiri daripada FN dan selain dari FN
sebagaimana yang telah dijelaskan.
Bagi
contoh pola ayat dasar yang mengandungi rumus FN+FN dapat dilihat dalam contoh
pantun di atas juga iaitu;
[Juragan] [bernama Sutan
Tahir]---------------------- Contoh 1
Dalam
contoh 1 di atas, Juragan adalah nama orang atau mewakili kepada Frasa Nama
dalam ayat tersebut. “bernama Sutan Tahir” juga merupakan Frasa Nama. Ini
menunjukkan di dalam Pantun Melayu Bingkisan Permata, terdapat pola FN+FN dalam
sintaksisnya. Selain itu, pola FN+FK juga merupakan pola dasar bahasa Melayu.
Frasa kerja merupakan frasa yang menunjukkan sesuatu kerja. Berikut merupakan
contoh pola tersebut yang terdapat dalam contoh pantun yang diberikan di atas;
[Hairanlah hamba]
[memikirkannya]-------------------- Contoh 2
[Musang] [disepak induk
ayam]-------------------------- Contoh 3
Dalam contoh 2 di atas,
subjeknya adalah FN iaitu “hairanlah hamba” dan predikatnya pula adalah FK
iaitu “memikirkannya”. Begitu juga dengan contoh 3 di atas yang mempunyai pola
FN+FK. Subjek bagi contoh 3 di atas adalah FN iaitu “Musang” dan predikatnya
adalah FK iaitu “disepak induk ayam”. Ini menunjukkan di dalam Pantun Melayu
Bingkisan Permata, terdapat pola FN+FK dalam aspek sintaksisnya. Selain itu,
pola dasar bahasa Melayu adalah FN+FA. Sebagaimana yang sedia maklum, frasa
adjektif adalah frasa yang menunjukkan sesuatu sifat. Berikut merupakan contoh
pantun yang mendukung pola FN+FA;
[Terbenam] [hampir tengah malam]--------------------
Contoh 4
[Berbunyi aur]
[mendayu-dayu]------------------------ Contoh 5
[Pokoknya] [rendang daun tak
layu]------------------- Contoh 6
Dalam contoh 4 di atas,
subjeknya “terbenam” dan pradiketnya pula “hampir tengah malam”. “tengah malam”
tersebut menunjukkan sifat iaitu keadaan malam. Jadi, frasa tersebut adalah FA.
Begitu juga dengan contoh 5, “berbunyi aur” merupakan FN dan mewakili subjek
ayat, manakala perdikatnya adalah “mendayu-dayu”. Mendayu-dayu tersebut
menunjukkan sifat sesuatu keadaan. Sifat tersebut menunjukkan bahawa frasa
tersebut mendukung frasa adjektif. Dalam contoh 6 juga dapat dilihat pola
FN+FA, FN dalam ayat tersebut adalah “pokoknya” manakala FA adalah “rendang
daun tak layu”. Keadaan ini menunjukkan bahawa dalam Pantun Melayu Bingkisan
Permata, mendukung pola ayat dasar FN+FA.
Selain frasa tersebut,
frasa sendi nama juga terdapat dalam pembinaan pola ayat dasar. Unsur pengisi
FSN ialah kata sendi dan kata nama. Unsur lain seperti kata nama arah, ayat
komplemen dan keterangan merupakan pilihan sahaja. Kata sendi ini hanya hadir
selepas kata nama atau frasa nama. Antara contoh FSN seperti di, ke, dari,
daripada, pada, kepada, untuk, akan, hingga, sampai, dalam dan sebagainya bergantung
konteks ayat. Berikut merupakan pola FN+FSN yang terdapat dalam contoh Pantun
Melayu Bingkisan Permata seperti di atas;
[Belayar perahu] [dari
Berandan]--------------------------- Contoh 7
[Menuju] [ke arah Selat
Melaka]--------------------------- Contoh 8
[Lebar kepala] [dari
badan]---------------------------------- Contoh 9
Dalam ayat contoh 7,
contoh 8 dan contoh 9 di atas Subjeknya adalah FN dan predikatnya adalah FSN.
Misalnya dalam ayat contoh 7, subjeknya ialah “belayar perahu” sebagai FN dan
predikatnya “dari Berendan” sebagai FSN. “dari” tersebut menunjukkan kata sendi
nama. Penggunaan kata tersebut mempengaruhi frasa ayat tersebut. Begitu juga
dengan contoh 8, subjeknya ialah “menuju” sebagai FN, manakala predikatnya
ialah “ke arah Selat Melaka” sebagai FSN. “ke” tersebut menunjukkan penggunaan
Kata Sendi Nama yang mewakili keseluruhan frasa tersebut. Keadaan yang sama
dalam ayat contoh 9, “lebar kepala” dalam ayat tersebut sebagai subjek dan FN,
dan predikatnya “dari badan” sebagai FSN. Kehadiran “dari” tersebut menunjukkan frasa tersebut sebagai FSN.
Secara keseluruhannya,
dapat disimpulkan melalui aspek sintaksis ini, Karya Agung Pantun Melayu;
Bingkisan Permata mematuhi segala aspek-aspek sintaksisnya seperti pola ayat
dasar. Selain pola dasar, pantun yang terdapat dalam Bingkisan Permata ini juga
mempunyai pola-pola yang lebih kompleks tetapi tidak dilihat dalam konteks
kertas kerja ini. Selain itu, aspek semantik dan pragmatik juga tidak dikupas
dalam kajian ini. Namun, sudah semestinya pantun-pantun yang terdapat dalam
Karya Agung ini mempunyai makna yang tersirat kerana pantun dahulunya digunakan
sebagai wadah untuk menyampaikan sesuatu yang tersurat dan tersirat. Dapat
disimpulkan bahawa Karya Agung Pantun Melayu Bingkisan Permata ini mematuhi
prinsip pertama dalam Prinsip Kesempurnaan Berbahasa iaitu berbahasa mengikut
nahunya.
2.2 Berbahasa untuk Menyampaikan Maklumat Yang Benar.
Tujuan
manusia berkomunikasi kebiasaannya adalah untuk saling menyampaikan sesuatu
berita atau sesuatu maklumat. Namun, dalam penyampaian maklumat tersebut kadang
kala terdapat maklumat yang diragui kebolehpercayaannya dan mengakibatkan salah
faham berlaku. Perkara seperti itu sangat bertentangan dengan Teori Falsafah
Bahasa yang sangat menekankan bahawa orang berbahasa dengan tujuan menyampaikan
maklumat atau informasi yang betul dan benar. Oleh sebab itu, sebelum kita
menyampaikan sesuatu perkara atau maklumat, kita harus selidik dahulu sama ada
maklumat tersebut benar atau tidak. Apabila kita sudah pasti maklumat tersebut
benar, barulah maklumat layak untuk disampaikan kepada orang lain pula. Hal ini
sama seperti yang diperintahkan oleh Allah S.W.T dalam al-Quran yang dimuatkan
dalam Rashid Idris (2012), maksudnya:
“wahai orang-orang yang
beriman! Jika seseorang yang fasik datang kepadamu membawa suatu berita, maka
telitilah kebenarannya, agar kamu tidak mencelakakan suatu kaum kerana
kebodohan (kecerobohan, yang akhirnya kamu menyesali perbuatanmu itu.”
Dalam ayat di
atas, Allah memberi perintah kepada manusia supaya manusia meneliti dan
menyelidik dahulu sebarang maklumat yang diterima. Setelah memastikan maklumat
tersebut benar, baru dibenarkan maklumat tersebut disebarkan kepada manusia
yang lain. Selain melalui pertuturan, penulisan juga memerlukan tahap
ketelitian yang tinggi bagi memastikan perkara yang ditulis itu benar yang
tepat untuk disampaikan. Tidak kira dalam apa-apa bentuk genre penulisan sama
ada prosa, puisi, cerita dan lain-lain lagi, unsur-unsur kebenaran mesti
diselitkan bagi menghasilkan satu penulisan yang berkualiti dan benar
berdasarkan fakta.
Karya sastera
merupakan antara corak penulisan yang banyak menyelitkan prinsip asas kedua
dalam Teori Falsafah Bahasa ini. Contoh karya sastera tersebut adalah
pantun-pantun tradisional lama yang dikumpulkan melalui karya Pantun Melayu
Bingkisan Permata.
Ikan
tokak makan meranggung,
Sedap
tekak, badan menanggung
(Bingkisan Permata: 33)
Ikan tokak sejenis ikan yang
bermulut besar dan melahap makanan dengan rakus; ini sesuai dipadankan dengan
tabiat orang yang makan dengan lahap sehingga mendatangkan mudarat pada
kesihatan. Kata orang, apa yang kita makan, itulah yang menjadikan diri kita.
Jika dilihat dalam masyarakat sekarang, pengambilan makanan secara berlebihan
seakan menjadi satu tabiat dalam kehidupan seharian sehinggakan banyak
kempen-kempen yang dianjurkan bagi mengatasi masalah kesihatan yang berpunca
daripada cara pemakanan seharian. Jelas dilihat masyarakat zaman dahulu lagi
telah mempunyai tabiat yang tidak baik dalam pengambilan makanan. Oleh itu
tikak hairanlah keadaannya lebih parah di zaman yang serba canggih kini dengan
adanya fenomena masyarakat skrin seperti yang dipaparkan dalam akhbar Utusan
Online yang bertarikh 30/1/2011 yang membincangkan tajuk Masyarakat Pelahap.
Lengkitang bertimbun-timbun,
Masak dengan putik jagung,
Hantu musang mata rabun,
Datang ayam patuk punggung.
(Bingkisan Permata: 38)
Lurus jalan ke Payakumbuh,
Kayu jati bertimbal jalan,
Di mana hati tidakkan rusuh,
Ibu mati bapa berjalan.
(Bingkisan Permata: 39)
Menyatakan
keburukan tabiat menyabung, berlaga ayam; iaitu suatu bentuk pertaruhan yang
boleh merugikan, membuang masa dan kadangkala menyebabkan pergaduhan. Sama
dengan perjudian yang lain, aktiviti bersabung ayam merupakan aktiviti yang
termasuk dalam dosa besar kerana ia dikaitkan dengan amalan syaitan. Ia juga
dikategorikan sebagai judi yang diketahui membawa banyak keburukan kepada orang
yang suka berjudi. Pengharamannya jelas dinyatakan dalam firman Allah yang
bermaksud:
“Wahai
orang beriman! Sesungguhnya arak, judi, penyembahan berhala dan bertilik nasib
adalah najis (najis) dan ia daripada perbuatan syaitan.” (Surah al-Maidah: ayat
90)
Sehingga hari
ini kita masih mendengar aktiviti bersabung ayam, maka tidak hairanlah jika
zaman dahulu lagi telah wujud kegiatan bersabung ayam dalam masyarakat Melayu.
Jika tumbuh rebung kuali,
Makan kerak berulam lada
Jika sungguh maharaja khayali
Terlebih pula daripada ganja
(Bingkisan Permata: 327)
Keperihalan
tentang khayali- rasa khayal oleh sesuatu, suara yang merdu dan sebagainya,
lebih mengkhayalkan daripada ganja. Pengetahuan terhadap ganja yang memabukkan
memang telah lama wujud dalam masyarakat Melayu Nusantara- namun tidak
semestinya mereka mengamalkan pengambilannya. Dalam masyarakat kini, kita telah
ditetapkan dengan panduan-panduan dan larangan-larangan dalam pengambilan
barangan yang memabukkan bagi memastikan kita tidak mudah terjerumus ke dalam
kegiatan yang tidak sihat. Kini, sekiranya kita terjerumus dalam najis dadah,
amat sukar untuk membebaskan diri. Implikasi terhadap pengambilan dadah juga
akan terkena pada diri penagih dengan mendapat pelbagai jenis penyakit yang
berbahaya.
Adakah perisai bertali rambut
Rambut dipintal akan cemara
Adakah bisai tahu takut
Kami pun muda lagi perkasa.
(Bingkisan Permata: 540)
Perisai ialah
alat untuk menangkis senjata dalam peperangan, diperbuat daripada besi keluli
yang kuat dan teguh. Cemara ialah rerambut yang dipintal menjadi rumbai, atau
ekor binatang seperti kuda atau lembu yang diikatkan kepada senjata, lembing
dan perisai sebagai hiasan. Dalam sesebuah peperangan, perisai sangat berfungsi
bagi melindungi diri daripada terdedah kepada musuh dan memastikan diri menjadi
lebih selamat. Malah di zaman Kesultanan Melayu Melaka juga turut digunakan
perisai semasa pertarungan Hang Tuah dan Hang Jebat. Justeru itu, perisai yang
digunakan Hang Tuah dapat menyelamatkan dirinya daripada ditikam Hang Jebat.
Si kupang berbaju besi,
Akan terumpak si buku buluh,
Dikepung aku tiada mati,
Aku memakai si sangga bunuh.
(Bingkisan Permata: 580)
“ilmu sangga bunuh” ialah ilmu pakaian diri
untuk kebal, tidak lut oleh senjata dan mempunyai kuasa serta gagah dalam
pertarungan. Amalan sangga ini juga merupakan amalan atau ilmu bagi keselamatan
diri dengan bacaan ayat-ayat tertentu. Ilmu ini banyak dipraktikkan oleh mereka
yang mengamalkan ilmu seni bela diri yang bertujuan menjadikan diri mereka
hebat semasa berhadapan dengan musuh ataupun berada di dalam gelanggang
pertarungan.
2.3 Berbahasa untuk Tujuan Ibadah atau
Mentauhidkan Allah
Menurut
Kamus Dewan (2010), ibadah bermaksud bakti (khidmat) kepada Tuhan, perbuatan
dan amalan yang dilakukan sebagai bakti kepada atau kerana Tuhan. Perbuatan
yang boleh membawa kepada ibadah adalah seperti sembahyang, berdoa, bersedekah,
berbuat baik sesama manusia dan lain-lain lagi. Manakala maksud tauhid menurut
Kamus Dewan (2010) pula ialah, keesaan dan ketunggalan (Allah). Ini bermakna
tidak ada tuhan selain Allah seperti mana yang termaktub di dalam makna kalimah
syahadah. Sebagai makhluk Allah, kita disarankan supaya melakukan ibadah dan
ketaatan kepadanya. Hal ini demikian kerana ibadah adalah satu tanda manusia
mengabdikan dan menghambakan diri kepada Allah. Ibadat bukan hanya memenuhi
tuntutan yang terdapat di dalam rukun Islam sahaja, malah ibadat merangkumi
semua perkara yang baik atau mahmudah dengan niat baik yang disandarkan
semata-mata kerana Allah. Perkara ini termasuklah cara manusia berbahasa
ataupun berkomunikasi. Di dalam Islam, umatnya disarankan menjaga lidah yang
menjadi satu alat untuk berbahasa atau berkomunikasi seperti mana Allah SWT
berfirman :
“Tiada
satu kata pun yang diucapkan (manusia) melainkan di depannya (dicatat) oleh
Malaikat pengawas yang selalu hadir.” (Surah Qaf ; 18)
Ayat di atas menegaskan
setiap Muslim hendaklah menjaga lidahnya daripada memperkatakan perkara yang
tidak baik dan sia-sia di dalam setiap tutur bicaranya. Hal ini demikian kerana
apabila lidah tidak dijaga dengan baik, maka komunikasi tersebut akan menjurus
kepada dosa dan merencatkan konsep ibadah yang sempurna kepada Allah.
Berdasarkan
pantun-pantun yang terdapat di dalam Karya Bingkisan Permata, kita dapat
melihat bahawa orang-orang Melayu terdahulu berbahasa untuk mengajak manusia
melakukan ibadah dan mengesakan Allah. Pantun-pantun di dalam karya ini
mengingatkan manusia supaya beribadat kepada Allah bagi menjaga hubungan yang
murni di antara makhluk dengan penciptanya. Sebagai contoh pantun di bawah :
Hendaklah rajin bertanam betik,
Betik rambai banyak faedahnya,
Segala kerja mesti selidik
Kalau tidak buruk padahnya,
(Bingkisan
Permata : 151)
Limau manis dua serangkai,
Lalu dicuri si anak Cina,
Mulut manis jangan dipakai,
Saya sendiri sudah terkena.
(Bingkisan
Permata : 163)
Berdasarkan
pantun yang pertama, pantun menegaskan bahawa setiap pekerjaan yang dilakukan
manusia mestilah diteliti agar tidak mendatangkan mudarat atau dosa kepada
pelakunya. Antara salah satunya ialah cara kita berbahasa. Dalam berbahasa,
kita juga seharusnya menjaga atau menapis bait –bait perkataan yang keluar
daripada mulut kita agar perkara tersebut tidak dikeji dan dibenci oleh Allah.
Antara perbuatan-perbuatan yang dikeji Allah dalam berbahasa ialah mengumpat,
mencela, mengejek, menipu, mengadu domba dan lain-lain. Dalam konsep berbahasa
yang menjurus kepada ibadah ini, Allah menyarankan kita berbahasa bagi ke arah
mendatangkan kebaikan dengan memperlihatkan ciri-ciri penyampaian maklumat yang
benar, berbahasa untuk saling menegur, menasihati dan yang paling jelas ialah
penggunaan bahasa sepanjang menuntut ilmu yang bermanfaat. Jelas bahawa
berbahasa yang memperlihatkan kesan positif kepada diri sendiri atau orang lain
merupakan salah satu kaedah kita mengabdikan diri kepada Allah. Pada pantun
yang kedua pula pencipta pantun memperkatakan tentang orang yang suka seperti
‘manis mulut’. Orang yang bercakap ‘manis mulut’ ini merupakan orang yang hanya
bercakap perkara yang sia-sia dan tidak membawa apa-apa kebaikan kepada orang
lain malahan mempermainkan perasaan orang lain. Pencipta pantun menegur perbuatan
orang yang suka ‘bermanis mulut’ ini kerana perbuatan tersebut boleh
mendatangkan kemarahan orang lain. Pantun tersebut memberi contoh bahawa
sesuatu teguran dan nasihat tersebut boleh membawa ibadah kepada Allah dengan
nasihat yang membawa kebaikan kepada manusia sejagat. Di dalam karya ini juga,
penulis pantun juga membuat pantun yang menyebut tentang keesaan Allah. Di
antara pantun-pantunnya ialah :
Anak ayam turun dua,
Mati seekor tinggallah satu,
Ilahi Rabbi makbulkan doa,
Masuk ke syurga Tuhan Yang Satu,
(Bingkisan
Permata : 135)
Anak ayam turun satu,
Mati seekor habislah sudah,
Masuk ke syurga Tuhan Yang Satu,
Mudah-mudahan di perkenan Allah
(Bingkisan
Permata : 135)
Berdasarkan
dua pantun di atas, kita dapat melihat unsur ketuhanan yang esa diterapkan di
dalam kedua pantun tersebut. Ini membuktikan bahawa tujuan pantun ini juga
menyeru ataupun menyedarkan manusia untuk mengesakan Allah. Pantun merupakan
satu khazanah bangsa yang mempunyai nilai yang amat tinggi dalam kalangan
masyarakat Melayu. Masyarakat Melayu dahulu amat mementingkan adat dan ajaran
Islam. Maka tidak hairanlah jika unsur-unsur agama dimasukkan ke dalam pantun
bagi mengajak manusia mengenal tuhan dan sebagai satu dakwah kepada masyarakat
Melayu yang lain. Pantun juga berperanan dalam menyampaikan nasihat dan
dijadikan salah satu medan supaya pembaca pantun mengenal Tuhannya yang esa
melalui bait-bait pantun yang diciptakan oleh penulis. Terdapat pelbagai cara
bagi kita mengakui keesaan dan ketauhidan Allah termasuklah dari segi
perbuatan, perkataan dan iktikad hati. Di antara salah satu cara mentauhidkan
Allah adalah melalui bait-bait pantun yang menyebut tentang keesaan Allah dan
menyeru kepada pembaca untuk mengenalnya. Kepercayaan masyarakat alam Melayu sebelum kedatangan
Islam dipengaruhi oleh animism dan dinamisme yang mempercayai setiap perkara
atau benda mempunyai semangat atau roh yang member kesan baik atau buruk serta
mempercayai kuasa roh nenek moyang.
Walau bagaimanapun selepas kedatangan agama Islam, dengan
menerapkan amalan tauhid yang sememangnya menjadi akidah Islam kepada
masyarakat alam Melayu akan melahirkan amalan yang sebaris dengan syariat Islam
terutama ibadah khusus seperti solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadhan,
memberi zakat, mengerjakan haji bagi yang berkemampuan, membaca Al-Quran serta
seumpamanya. Jadi pengaruh akidah, ibadah dan tasawur Islam sangat
membantu di dalam kehidupan masyarakat di alam Melayu serta mengukuhkan lagi
agama Islam sehingga kini dan susah untuk dipisahkan antara Melayu dengan
Islam. Dengan ini menjadikan masyarakat Melayu ingin membina tamadun yang lebih
gemilang berbanding zaman sebelumnya. Hal ini secara tidak langsung
elemen-elemen keislaman ini termasuk dalam penulisan dan karya-karya orang
Melayu terdahulu sebagai salah satu cara menyeru masyarakat supaya mentauhidkan
Allah.
Di dalam pantun tersebut juga mengandungi unsur nasihat dan pengajaran yang
membawa kita kepada mengenal agama. Pantun tersebut diistilahkan atau
dikategorikan sebagai pantun agama iaitu pantun yang menekankan isi-isi yang
berkaitan dengan agama.
Di
samping itu, pantun-pantun yang terdapat di dalam Karya Bingkisan Permata ini
juga membawa kepada nilai-nilai murni, pengajaran serta nasihat kepada pembaca.
Penyusunan pantun yang diolah dengan rapi dan disusun indah mengandungi seribu
satu maksud yang amat mendalam, yang menjadi wadah dalam menyampaikan nasihat,
sindiran, gurauan dan luahan perasaan. Setiap lagu dan ungkapan yang digunakan
bukan sahaja memperlihatkan irama yang indah, tetapi juga disusun dengan begitu
teliti agar pemilihan perkataan yang digunakan dapat membayangkan corak
pemikiran yang kritis. Masyarakat Melayu yang amat terkenal dengan budi bahasa
dan budaya ketimuran yang mementingkan “air muka” dan adab sopan telah
menjadikan pantun sebagai alat kritik sosial yang amat berkesan. Penggunaan
pantun sebagai satu alat kritik sosial mencerminkan satu bentuk ketekalan minda
yang dimiliki oleh masyarakat Melayu yang tidak mungkin ditelan zaman. Konsep
pantun itu sendiri itu bertujuan untuk mengkritik dengan cara yang baik seperti
mana prinsip memberi pengajaran dan nasihat yang baik seperti mana yang
disarankan oleh Islam.
Seperti
mana yang disarankan dalam Islam yang menyeru umatnya menyampaikan nasihat dan
pengajaran yang baik sesama mereka. Di sini kita boleh lihat pantun sebagai
salah satu cara berbahasa yang sangat sesuai bagi membawa ke arah kebaikan
kerana dalam pantun itu sendiri sudah mengandungi nilai-nilai murni yang boleh
diambil pengajaran melaluinya. Dalam konteks prinsip falsafah bahasa ini,
pencipta pantun menggunakan pantun sebagai satu cara berbahasa dan ibadah untuk
menegur manusia dan menyampaikan nasihat kepada pembaca. Manakala pembaca boleh
menyerapkan nilai-nilai yang baik yang terdapat dalam pantun dan menerapkan
nilai-nilai murni tersebut di dalam kehidupan seharian mereka sebagai satu
ibadah kepada Allah. Di sini kita dapat lihat pencipta dan pembaca pantun
saling melengkapi dan berkaitan dalam berbuat ibadah dalam konteks saluran
pantun tersebut. Di antara pantun-pantun yang menyeru kepada ibadah dan
menggesa pembaca mengambil pengajaran ialah :
Buah remenia bawa ke huma,
Untuk dimakan sambil menjerat,
Hidup di dunia tidaklah lama,
Patut amalkan bekal akhirat.
(Bingkisan
Permata : 142)
Daun terup di atas dulang,
Anak udang mati dituba,
Dalam kitab ada terlarang,
Perbuatan haram jangan dicuba,
(Bingkisan
Permata : 147)
Pantun – pantun di atas sedikit sebanyak memberi satu gambaran
yang jelas bahawa pantun juga boleh dikategorikan sebagai satu alat berbahasa
atau berkomunikasi yang memberi pengajaran kepada pembacanya. Hal ini sangat
bertepatan juga dengan budaya serta adat Melayu dan juga agama Islam sebagai
agama umat Melayu. Oleh sebab itulah, banyak pantun-pantun Melayu terdahulu
banyak membicarakan tentang kehidupan seharian orang Melayu yang terdahulu
pantun seperti membicarakan tentang budi bahasa , kasih sayang masyarakat,
adat istiadat, perkahwinan dan sebagainya.. Daripada penelitian kepada
perbuatan itulah terciptanya pantun yang berfungsi memuji, mengkritik, menegur
dan lain-lain lagi.
3.0 Penutup
Secara keseluruhannya, Teori Falsafah Bahasa ini
telah merungkai sejauh mana tahap kesempurnaan bahasa yang terkandung di dalam
Pantun Melayu Bingkisan Permata. Ternyata setiap prinsip yang menjadi nadi
kepada teori ini mampu menyelusuri kebanyakan pantun yang terdapat dalam karya
Pantun Melayu Bingkisan permata. Walaupun keutamaan yang ketara terhadap
penghasilan pantun-pantun ini kebanyakan berkaitan dengan adat-adat orang
dahulu, kisah percintaan, kisah-kisah hidup orang dahulu dan nasihat kepada
orang ramai, karya-karya pantun yang dihasilkan secara tidak langsung telah
memenuhi prinsip kesempurnaan bahasa yang diperkenalkan ini.
Begitulah kebijaksanaan orang-orang
lama yang sepatutnya boleh menjadi contoh kepada kita masyarakat hari ini
supaya menggunakan bahasa yang elok, kemas dan rasional kerana jelas dapat
dilihat walaupun pantun-pantun ini dibuat setelah sekian lamanya, kita masih
mengangkat pantun-pantun ini sebagai panduan hidup kita pada hari ini. Oleh
itu, kita harus sedar bahawa bahasa sesuatu bangsa itu diangkat oleh bangsa itu
sendiri, bukan oleh orang lain. Teori Falsafah Bahasa ini sedikit sebanyak
memberi kesedaran dan panduan kepada kita untuk berbahasa dengan lebih baik dan
berkesan bertepatan dengan prinsip yang telah digariskan melalui teori ini.
Melalui kesedaran ini, dapat kita
fahami bahawa ketiga-tiga prinsip bahasa yang dibincangkan di atas
menggambarkan kepada kita bahawa berbahasa merangkumi kemahiran tatabahasanya,
berbahasa untuk menyampaikan maklumat benar dan akhirnya kita berbahasa,
segala-galanya akan kembali semula kepada Allah dalam mentauhid-Nya. Kita harus
sedar apa setiap yang diungkapkan oleh kita akan dihisab setiap satunya. Oleh
itu, amanah dan tanggungjawab walau dalam berbahasa perlulah dijaga dan diambil
berat.
Rujukan
Ahmad Khair Mohd
Noor, Raminah Hj. Sabran, Nawi Ismail, Mohd Zaini Othman,
Ton Ibrahim
(2012) . Tatabahasa Asas . Selangor : Persatuan Pendidikan Bahasa Melayu
Malaysia . .
Ahmad Khair Mohd
Nor (2007) . Pembentukan Kata dalam Bahasa Melayu. Kuala Lumpur : Pustaka Salam Sdn
Bhd .
Ahmad Khair Mohd
Nor (2003) . Siri Pengajian dan Pendidikan Utusan ; Pengantar Sintaksis
Bahasa Melayu . Kuala
Lumpur : Utusan Publication & Distributors Sdn Bhd .
Harun
Mat Piah (2007). Pantun Melayu : Bingkisan Permata. Kuala Lumpur : Yayasan Karyawan
Mohd
Rashid Md Idris. (2012). Teori Falsafah Bahasa (Teori Rashid). Tanjong Malim : Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Mohd Rashid Md
Idris, Abd. Rahman Napiah (2014). Karya Agung Melayu : BMS 3022.
Tanjong Malim : Universiti
Pendidikan Sultan Idris.
Mohd Rahsid Md
Idris, Abu Hassan Abdul (2010). Falsafah Pendidikan Bahasa. Tanjong Malim:
Emiretus Publications.
Nik Safiah
Karim, Farid M. Onn, Hashim Hj. Musa, Abdul Hamid Mahmood (2011) .
Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga . Kuala
Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.